Boleh ke ‘bersama’ masa haid? Ni soalan yang ramai pasangan malu nak tanya, terutamanya waktu darah haid dah tinggal sikit-sikit. Bila keinginan datang, terus rasa nak bersama.

Tapi sebelum teruskan, kena faham dulu baik buruknya. Walaupun guna kondom atau cuma buat pada hari pertama haid, risiko jangkitan kuman dan hukum agama tetap kena ambil tahu.

Hukum Bersama Ketika Haid Dalam Islam

Dari sudut agama, para ulama menegaskan bahawa hukum bersetubuh semasa haid adalah haram.

bersama ketika haid
Adakah bersetubuh ketika haid boleh hamil?

Ini berdasarkan ayat dalam Surah Al-Baqarah ayat 222, yang bermaksud:

Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh itu, jauhilah perempuan di waktu haid, dan janganlah kamu mendekati mereka sebelum mereka suci.”

Ayat di atas jelas menunjukkan larangan melakukan persetubuhan di antara suami dan isteri ketika di dalam keadaan haid. Mengikut Mazhab Syafi’i, jika perkara ini berlaku, suami disunatkan bersedekah satu dinar (4.24 gram emas) sekiranya dilakukan pada awal haid, atau setengah dinar jika berlaku pada penghujung haid.

Larangan bersama masa haid ni sebenarnya nak elak mudarat pada suami mahupun isteri. Sama juga dengan perbuatan memasukkan jari atau zakar palsu ke dalam faraj ketika haid, tetap tak dibolehkan sebab berisiko tinggi bawa jangkitan dan bahayakan kesihatan isteri.

Bersama Ketika Haid Hari Pertama

Hari pertama haid ni sebenarnya waktu yang paling berisiko kalau nak bersama. Masa ni, pangkal rahim tengah terbuka sikit dan dinding rahim tengah luruh, jadi bahagian dalam isteri tengah ekstra sensitif.

Bila buat hubungan intim masa ni, darah haid tu jadi medium paling pantas untuk bakteria membiak. Risiko jangkitan saluran kencing (UTI) atau jangkitan organ pembiakan boleh kena pada kedua-duanya, bukan isteri sahaja.

Malah, sakit senggugut isteri pun boleh jadi makin teruk. Jadi, kalau datang keinginan untuk bersama pada hari pertama haid ni, tahanlah kejap nafsu tu. Boleh je nak bermanja macam peluk atau cium, cuma elakkan penetrasi.

Risiko Kesihatan Jika Bersama Ketika Haid

Sebenarnya ada sebab kenapa tubuh wanita perlu ‘rehat’ masa ni. Bila dipaksa juga, ini antara risiko kesihatan yang boleh datang tanpa diundang:

  • Risiko Jangkitan Kuman (UTI & PID): Masa haid, pangkal rahim terbuka sedikit untuk keluarkan darah. Darah tu pula medium yang sangat ‘disukai’ bakteria untuk membiak. Bila penetrasi berlaku, bakteria senang sangat masuk ke dalam organ pembiakan isteri hingga boleh sebabkan jangkitan pelvik atau jangkitan saluran kencing pada suami dan isteri.
  • Penyakit Bawaan Darah (STIs): Virus macam Hepatitis B, Hepatitis C, atau HIV paling mudah berjangkit menerusi cecair badan dan darah. Jadi, hubungan intim waktu haid meningkatkan risiko jangkitan penyakit kelamin berbanding hari biasa.
  • Senggugut Makin Teruk: Melakukan hubungan seks boleh merangsang pengecutan rahim secara drastik. Kesannya, isteri mungkin rasa kram perut atau sakit senggugut yang jauh lebih menyucuk selepas tu.
  • Luka / Kerengsaan Dinding Faraj: Dinding faraj waktu haid agak sensitif. Geseran boleh menyebabkan luka-luka kecil atau kerengsaan yang meningkatkan rasa pedih.

Pendek kata, walaupun nafsu tengah naik, lebih baik utamakan kesihatan dulu. Tahan kejap, tunggu darah kering sepenuhnya barulah ‘kembali beraksi’ dengan selamat.

bersama ketika haid
Selamatkah bersama ketika haid hari pertama?

Bersama Ketika Haid Pakai Kondom

Guna kondom boleh kurangkan risiko jangkitan kuman dan elak kotor. Tapi hakikatnya, ia tak bermaksud terus jadi 100% selamat atau ‘halal’ tau!

Dari sudut kesihatan, kondom tetap ada risiko bocor atau terbalik. Dinding faraj isteri yang tengah sensitif masa haid masih boleh luka atau pedih disebabkan geseran. Tambahan pula, perubahan pH dalam faraj waktu berdarah buatkan persekitaran kat situ tetap mudah kena iritasi, walaupun ada ‘pelindung’.

Dari sudut agama, kondom cuma pelindung fizikal. Hukum haram bersetubuh masa haid tetap sama sebab larangan itu terpakai pada perbuatan bersetubuh itu sendiri, bukan sama ada guna kondom atau tidak.

Kenapa Nafsu Boleh Tinggi Masa Haid

Jangan rasa pelik atau serba salah, keinginan untuk bersama dengan pasangan ketika haid ini memang respon semula jadi badan. Antara punca kenapa nafsu isteri boleh mendadak naik masa haid:

  • Permainan Hormon: Bila haid datang, hormon estrogen dan progesteron turun mendadak. Masa ni, kadar hormon testosteron iaitu hormon yang kawal nafsu intim, akan dominan lebih sikit. Itu yang buat libido melonjak.
  • Aliran Darah Lebih Pergi Kat Pelvis: Waktu keluar darah, peredaran darah kat kawasan pinggul dan organ sensitif memang tengah tinggi. Kesannya, kawasan tu rasa lebih ‘penuh’, lembap, dan jadi extra sensitif bila tersentuh.
  • Minda Rasa Lebih Relax: Ada sesetengah wanita rasa kurang stress sebab dalam kepala rasa “peratus nak pregnant rendah waktu ni”. Bila tak ada tekanan minda, badan pun lagi senang nak rasa ghairah.
bersama ketika haid
Bolehkah bersama ketika haid pakai kondom?

Adakah Bersetubuh Ketika Haid Boleh Hamil?

Jawapan ringkasnya ialah boleh. Walaupun peratusannya agak rendah, peluang mengandung tu tetap ada dan bukan satu perkara yang mustahil.

Kenapa boleh jadi macam tu? Ni puncanya:

  • Sperma Boleh ‘Bertahan’ Lama: Ramai tak tahu yang sperma lelaki mampu hidup dalam rahim wanita sehingga 5 hari.
  • Kitaran Haid Pendek / Tak Menentu: Kalau isteri jenis kitaran haid pendek (contohnya 21 hari), waktu subur atau ovulasi boleh berlaku sangat awal. Jadi kalau ‘bersama’ waktu haid, sperma yang masih hidup tadi boleh bertembung dengan telur yang keluar beberapa hari kemudian.
  • Tersilap Sangka Spotting: Kadang-kadang darah yang keluar tu bukan darah haid sebenar, tapi pendarahan kecil (spotting) disebabkan waktu subur/ovulasi. Waktu ni sebenarnya peluang nak mengandung sangat tinggi.

Tubuh badan setiap wanita ni unik dan tak sama. Jangan anggap waktu haid ni sebagai safe zone 100%. Selain berisiko dari segi kesihatan dan hukum agama, perancangan keluarga pun boleh ‘terbabas’ kalau main redah je.

Adakah Fasa Pra Haid Boleh Mengandung?

Fasa pra-haid biasanya merujuk kepada beberapa hari sebelum darah haid keluar. Waktu ni dikira sebagai fasa luteal, iaitu fasa di mana waktu subur (ovulasi) sebenarnya dah pun berlalu.

Kenapa peratusan nak pregnant tu sangat rendah waktu ni?

  • Telur Dah Mati: Telur yang dilepaskan masa ovulasi cuma mampu bertahan sekitar 12 hingga 24 jam sahaja. Kalau tak disenyawakan dalam tempoh tu, telur akan hancur dan paras hormon akan turun untuk sediakan dinding rahim luruh (jadi darah haid).
  • Dinding Rahim Dah Sedia Nak Luruh: Persekitaran rahim masa fasa pra-haid memang tak berapa sesuai untuk penempelan janin.

Tapi, kenapa masih ada risiko boleh pregnant?

  • Tersilap Kira Waktu Subur: Kitaran haid wanita bukannya sentiasa tepat. Stres, penat, atau perubahan hormon boleh buatkan ovulasi teranjak lewat dari biasa tanpa anda sedar.
  • Kitaran Haid Tak Menentu: Bagi yang haidnya tidak teratur, sangat susah nak pastikan sama ada fasa tu betul-betul “pra-haid” atau sebenarnya waktu subur yang terlambat.
  • Sperma Boleh ‘Tunggu’ Dalam Rahim: Sperma yang berkualiti boleh hidup sehingga 5 hari dalam saluran pembiakan wanita. Kalau bersama dan ovulasi rupa-rupanya baru nak berlaku, pendarahan yang anda ingatkan haid tu mungkin sebenarnya pendarahan implantasi.

Berapa Hari Selepas Period Boleh Mengandung?

Boleh jadi seawal 1 hingga 7 hari selepas darah haid berhenti, bergantung pada kepanjangan kitaran haid individu. Tapi nak bagi faham betul-betul, jom fahami proses ini:

  • Untuk Kitaran Normal (28 hari): Secara puratanya, waktu subur atau ovulasi (saat telur dilepaskan) berlaku sekitar hari ke-14. Kalau haid keluar selama 7 hari, bermakna waktu paling subur untuk mudah mengandung adalah sekitar 5 hingga 7 hari selepas darah berhenti.
  • Untuk Kitaran Pendek (contohnya 21-24 hari): Haa, ni kena ekstra hati-hati. Wanita yang kitaran haidnya pendek akan ovulasi awal! Telur boleh dilepaskan seawal 1 hingga 3 hari sahaja selepas haid berhenti.
  • Faktor Sperma Boleh ‘Sembunyi’: Ingat tau, sperma yang kuat boleh hidup dalam rahim wanita sehingga 5 hari. Kalau ‘bersama’ hari ke-2 lepas period berhenti, sperma tu boleh duduk dalam rahim sampai telur dikeluarkan beberapa hari kemudian. Nah, terus lekat!

Buat pasangan yang tengah ikhtiar hamil (TTC), masa terbaik untuk ‘bersama’ adalah secara konsisten 2 hari sekali, bermula sebaik sahaja darah haid dah bersih sepenuhnya.

Cara Layan Suami Ketika Haid

Jangan risau, walaupun penetrasi fizikal ‘off’ kejap dari segi hukum dan kesihatan, tak bermaksud hubungan suami isteri kena ‘berpuasa’ sepanjang minggu. Banyak je cara nak bagi suami rasa disayangi dan manja.

Antara idea yang boleh anda cuba:

  • Tukar Vibe dengan Sentuhan Mesra: Tak semestinya kena pergi jauh. Baring berpelukan sambil usap kepala, urut bahu dia lepas balik kerja, atau cium pipi/ leher pun dah cukup buat suami rasa ‘diperhatikan’.
  • Sentuhan ‘Zon Selamat’: Manfaatkan teknik keintiman tanpa penetrasi. Bagi sentuhan atau belaian kat kawasan sensitif suami, atau bantu dia capai kepuasan guna cara lain yang dibenarkan dalam Islam.
  • Pakai Baju Menggoda tapi ‘Berdisiplin’: Masih boleh pakai pakaian yang menarik atau wangian kat rumah. Feeling romantik tu tetap ada, cuma beritahu secara lembut tak boleh sampai berhubungan badan.
  • Sembang Flirty & Usik-Usik: Hantar mesej usikan manja time dia kat pejabat. Flirting ringan macam ni buat fikiran suami sentiasa teringat pada anda.

Kesimpulan

Kesimpulannya, bersama ketika haid bukan saja haram dari sudut agama, malah berisiko dari segi perubatan seperti jangkitan kuman dan senggugut teruk.

Sama ada hari pertama yang masih ‘pekat’ atau sekadar darah sikit, elakkan penetrasi sehingga betul-betul suci.

Nak kekal mesra tak semestinya kena bersama secara fizikal. Pelukan, belaian dan komunikasi jujur dah cukup buat rumah tangga makin intim. Jangan ragu untuk rujuk doktor atau ustaz jika ada kemusykilan, dan kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan demi kesihatan serta kebahagiaan bersama!

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Could I Get Pregnant if I Have Sex During My Period?
  2. Can you have sex on your period?
  3. Sex On Your Period
  4. Is it possible to get pregnant if I have sex during my period?
  5. The truth about period sex
  6. Can you get pregnant if you have sex during your period?
  7. Melakukan Hubungan Intim (Seks) Ketika Haid Boleh Menyebabkan Kehamilan
  8. Bersama Dengan Isteri Haid Dengan Memakai Kondom

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.