Ibu bapa mana yang tak risau bila tengok si manja mula sembelit, kembung perut, atau muntah lepas minum susu. Bila tanda-tanda ini keluar, mulalah terdetik dalam fikiran mak bapak untuk tukar jenama susu rumusan lain.
Tapi nanti dulu, jangan terus tukar mendadak! Proses dan cara tukar susu formula sebenarnya ada tekniknya yang tersendiri supaya sistem penghadaman bayi tak ‘terkejut’. Kalau silap cara, masalah perut anak boleh jadi makin melarat.
Jom fahami langkah selamat yang mak ayah perlu tahu sebelum mula bertukar ke susu baru.
Disclaimer penting:
WHO & KKM menyarankan penyusuan susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan dan diteruskan sehingga usia 2 tahun. Susu formula hanyalah pilihan sekiranya penyusuan ibu tidak dapat diteruskan atau memerlukan sokongan tambahan.
Boleh Ke Nak Tukar Susu Formula Anak?
Persoalan ini memang kerap bermain di fikiran mak ayah, terutamanya bila si manja tunjuk tanda tidak selesa. Pendek kata, jawapannya memang boleh tukar susu anak.
Tapi tunggu dulu! Prosesnya wajib dibuat secara berperingkat. Ini kerana sistem penghadaman bayi masih rapuh. Kalau tukar secara drastik, perut si kecil boleh ‘terkejut’ lalu memicu masalah seperti cirit-birit, muntah atau kembung perut yang teruk.
Biasanya, anak yang dah masuk umur 1 tahun lebih mudah menyesuaikan diri sebab perut mereka dah makin matang.
Kebiasaannya, ini antara punca utama ibu bapa mula terfikir nak tukar jenama susu:
- Perut anak kerap kembung atau berangin.
- Masalah sembelit yang berlarutan.
- Ada tanda alahan pada kulit atau pernafasan.
- Tumbesaran terganggu (berat badan susah nak naik).
- Perubahan tekstur dan warna najis yang pelik.
- Si kecil mula menolak atau tak lalu nak minum.
Walau apa pun alasannya, kuncinya cuma satu saja. Lakukan peralihan secara perlahan-lahan demi keselesaan perut si manja.
Jenis-Jenis Susu Formula Untuk Bayi 1 Tahun Ke Atas

Bila anak dah masuk usia 1 tahun ke atas, pilihan susu formula semakin banyak. Setiap jenis ada kelebihan dan tujuan tertentu.
Ini membantu ibu bapa tentukan susu mana yang lebih sesuai untuk anak sebelum mula mencari cara tukar susu formula.
1) Susu Formula Standard (Cow’s Milk-Based)
Ini susu formula paling biasa di pasaran.
Ia guna protein susu lembu yang telah diproses supaya lebih mudah dicernakan oleh bayi.
Sesuai untuk:
- Anak yang tiada masalah penghadaman.
- Anak tanpa alahan.
2) Susu Formula Lactose-Reduced / Lactose-Free
Diperbuat untuk anak yang ada masalah intoleransi laktosa (lactose intolerance).
Tanda intoleransi laktosa:
- Najis cair.
- Perut kembung.
- Kentut berlebihan.
- Kerap buang air selepas minum susu.
3) Susu Formula Soya
Susu berasaskan tumbuhan tanpa protein haiwan.
Sesuai untuk:
- Anak yang alah teruk pada protein susu lembu.
- Anak yang diarahkan doktor cuba alternatif protein.
4) Susu Formula Hypoallergenic (HA)
Protein dipecahkan kepada bentuk lebih kecil partially hydrolyzed atau lebih mudah dihadam.
Sesuai untuk:
- Anak dengan ekzema ringan.
- Anak yang sensitif pada susu lembu, tetapi bukan alergi teruk.
5) Susu Formula Protein Terhidrolisis Sepenuhnya (Fully Hydrolyzed)
Ini adalah susu khas menggunakan protein yang sangat halus.
Sesuai untuk:
- Anak dengan alergi teruk pada susu lembu.
- Masalah penghadaman kronik.
6) Susu Formula A2
Diperbuat daripada susu lembu jenis A2 beta-casein yang lebih lembut pada perut.
Sesuai untuk:
- Anak yang selalu kembung.
- Anak dengan sensitiviti pada susu biasa.
Setiap jenis susu ada fungsi masing-masing.
Sebab itu penting untuk ibu bapa kenal pasti dahulu tanda anak perlu tukar susu sebelum buat peralihan.
Boleh dapatkan susu rumusan kanak-kanak 1 tahun ke atas di sini.
Tanda Bayi Tidak Sesuai Susu Formula!
Sebelum tergesa-gesa beli tin susu baharu, penting untuk mak ayah sahkan dulu sama ada si kecil betul-betul tak serasi dengan susu sekarang.
a) Perubahan Pada Najis Bayi
Ini isyarat paling mudah untuk dipantau. Kenali tanda warna najis bayi tidak sesuai susu formula. Kalau tekstur najis tiba-tiba jadi terlalu cair, berlendir, hijau pekat, atau baunya berbeza daripada biasa, itu tandanya usus si kecil sedang ‘protes’.
b) Kerap Kembung Dan Meragam
Anak menangis lepas menyusu, kentut berterusan atau gelisah waktu malam? Ini tanda perutnya masuk angin akibat susu formula yang kurang sesuai.
c) Reaksi Pada Kulit (Ruam & Ekzema)
Kemunculan bintik merah, ruam gatal atau ekzema yang tiba-tiba flare up biasanya berpunca daripada sensitiviti terhadap protein susu lembu.
d) Muntah atau Regurgitasi Berlebihan
Muntah sikit tu normal. Tapi kalau bayi asyik muntah dalam kuantiti banyak setiap kali lepas menyusu, ada sesuatu yang tak kena dengan penerimaan perutnya.
e) Tumbesaran Terhenti (Berat Tak Naik)
Kalau anak minum banyak tetapi berat tak naik, mungkin nutrien penyerapan tak optimum.
f) Sembelit Atau Cirit-Birit Berpanjangan
Susu yang tak sesuai boleh mengganggu sistem penghadaman bayi. Ciri utama sistem penghadaman terganggu apabila najis anak terlalu keras hingga sakit nak membuang, atau sebaliknya terlalu kerap cirit-birit.
Jika si manja menunjukkan lebih daripada dua tanda ini, memang sudah sampai masanya untuk pertimbangkan cara tukar susu formula dengan betul.
Cara Tukar Susu Formula Dengan Selamat (Langkah Demi Langkah)

Ini bahagian paling penting!
Bila nak tukar susu, jangan terus tukar 100% kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan seperti sakit perut, muntah atau najis tak normal.
Gunakan kaedah 7 Hari Peralihan:
Cara Tukar Susu Formula Hari 1-2:
Campur 75% susu lama dan 25% susu baru
Hari 3-4:
Campur 50% susu lama dan 50% susu baru
Cara Tukar Susu Formula Hari 5-6:
Campur 25% susu lama dan 75% susu baru
Hari ke-7:
100% susu baru
Selain itu, mak ayah perlu pantau najis anak, perut (kembung), mood & selera si manja serta pantau kulit anak.
Jika ada tanda mencurigakan, hentikan dahulu dan rujuk doktor.
Cara Tukar Susu Formula Side Effects
Kadang-kadang, walaupun tukar susu secara berperingkat, tetap akan ada side effect atau kesan sampingan.
Jangan panik!
Ini normal semasa fasa penyesuaian.
Di bawah ini ialah kesan sampingan yang paling biasa berlaku dengan cara tukar susu formula.
1. Najis Berubah Warna
Semasa tukar susu, warna najis bayi tidak sesuai susu formula boleh berlaku.
Ia boleh jadi hijau, kuning pucat atau lebih gelap.
Ini biasanya normal kerana usus sedang menyesuaikan diri dengan jenis protein dan lemak yang berbeza.
Bila perlu risau:
- Najis berdarah.
- Hitam pekat.
- Berlendir berlebihan.
2. Perut Kembung

Sistem penghadaman kanak-kanak mungkin ambil masa untuk biasakan dengan formula baru.
Gas meningkat adalah perkara biasa.
Cara bantu anak:
- Sendawakan lebih lama.
- Beri susu perlahan.
- Elakkan bayi minum sambil baring.
3. Sembelit
Sesetengah formula lebih pekat atau mengandungi protein yang lebih sukar dihadam. Ini boleh buat najis keras seketika.
Apa ibu boleh buat:
- Pastikan anak cukup air.
- Bagi buah seperti betik, pear, prune (untuk 1 tahun ke atas).
- Kurangkan makanan berasaskan tepung terlalu banyak.
4. Cirit-Birit Ringan
Cirit ringan berlaku sebab perubahan bakteria dalam usus. Biasanya akan stabil dalam beberapa hari.
Bila perlu jumpa doktor:
- Cirit lebih 5 hari.
- Anak muntah dan cirit.
- Anak tak aktif.
5. Anak Kurang Selera Minum
Anak mungkin ambil masa untuk menerima rasa susu baru.
Ini normal dalam tempoh 3-7 hari pertama.
Cara atasi:
- Bagi susu ketika anak lapar.
- Kurangkan snek sementara.
- Jangan paksa anak (buat mereka lagi trauma).
Direct Tukar Atau Selang-Seli? Pengalaman Ibu-Ibu Di Threads Bila Nak Tukar Susu
Isu nak bertukar susu formula ini memang tak pernah sunyi daripada ruang perbincangan mak-mak. Kat platform Threads contohnya, bila ada ibu yang bertanyakan soalan “macam mana korang start tukar susu formula daripada satu brand ke brand lain, terus tukar ke?”, pelbagai respon dan pengalaman praktikal yang dikongsikan oleh komuniti ibu bapa.
Antara yang dikongsikan adalah:
“Saya biasa buat macam ni bila anak dah umur atas setahun. Nak tukar, saya terus tukar je, lepas tu ambil masa seminggu tengok dia okay tak. kalau on the spot asyik cirit je, saya tukar balik yang lama atau tukar brand lain, tapi kalau sembelit teruk, kurangkan scoop susu dulu. nanti dah 3 atau 4 hari baru try buat ikut scoop dia.
Awak nak tukar susu, kene study dulu anak awak jenis yang macam mana. Anak saya dedua jenis sembelit, jadi nak kena cari yang ada sayur/ buah prebiotic semua tu,” jawab salah seorang ibu dalam ruangan tersebut.
Kesimpulan
Sebenarnya, cara tukar susu formula taklah susah mana cuma perlukan kesabaran dan pemantauan. Yang penting, kenal pasti tanda bayi tidak sesuai susu formula dan buat peralihan secara perlahan.
Jika ada kesan sampingan ringan, itu normal. Tetapi jika simptom berlarutan atau makin teruk, dapatkan nasihat doktor.
6 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.