Cara urutan untuk keluarkan susu badan ni memang penyelamat kalau ibu selalu kena bengkak susu atau saluran tersumbat. Mana taknya, bila susu tak keluar lancar, sakitnya Tuhan saja yang tahu.

Tapi ingat, urut bengkak susu bukan setakat gosok-gosok manja. Kena guna teknik yang betul baru susu memancut keluar dan dada rasa lega. Kalau perlu, gandingkan sekali dengan petua tradisional atau ubat daripada doktor.

Paling penting, jangan tertekan. Kombinasi cara urutan untuk keluarkan susu badan, jaga makan dan rehat yang cukup pasti buat perjalanan menyusukan anak makin tenang dan menyeronokkan. Bayi kenyang, ibu pun gembira.

Bengkak Susu Selepas Bersalin

Bengkak susu atau breast engorgement adalah keadaan di mana payudara menjadi terlalu penuh, tegang, keras dan rasanya sangat sakit.

Ia biasanya berlaku dalam tempoh 2 hingga 6 hari selepas bersalin, iaitu apabila susu awal (kolostrum) mula bertukar menjadi susu matang dan penghasilan susu meningkat dengan drastik (milk comes in).

Bagaimana Bengkak Susu Terjadi?

Bengkak susu bukan sekadar “terlalu banyak susu” semata-mata, tapi ia adalah kombinasi daripada beberapa faktor di dalam tisu payudara:

  • Pengumpulan Susu yang Tidak Dikeluarkan: Bila susu tak dikeluarkan secara kerap (penyusuan jarang atau bayi tak menyusu dengan berkesan), susu akan terkumpul dan bertakung di dalam salur susu.
  • Peningkatan Aliran Darah & Cecair: Apabila badan mula menghasilkan susu matang, aliran darah dan cecair limfa ke kawasan payudara bertambah dengan cepat.
  • Tisu Membengkak & Salur Tersumbat: Pembengkakan tisu dan pengumpulan cecair ini menghimpit salur susu. Bila salur susu tersumbat, susu jadi makin sukar untuk keluar, lalu menyebabkan payudara rasa makin tegang, keras dan sangat sakit.

Kenapa Urutan Susu Badan Penting?

Ramai ibu tak tahu bahawa cara urutan untuk keluarkan susu badan yang betul sebenarnya boleh bantu banyak perkara, bukan sekadar mengurangkan kesakitan.

1. Melancarkan Aliran Susu

Urutan bantu buka saluran susu tersumbat. Bila saluran lancar, bayi dapat menyusu dengan lebih mudah.

2. Elak Bengkak Susu & Sakit Payudara

Bila susu tidak keluar sepenuhnya, payudara jadi bengkak. Dengan cara urutan keluarkan susu badan, tekanan dapat dikurangkan dan sakit pun reda.

3. Rangsang Hormon Susu

Urutan lembut bantu aktifkan hormon oksitosin dan prolaktin iaitu dua hormon penting untuk cara banyakkan susu badan secara semula jadi.

cara urutan untuk keluarkan susu badan
Cara urutan keluarkan susu badan yang berkesan melancarkan pengaliran susu ibu.

Cara Urutan Keluarkan Susu Badan

Bila payudara mula rasa tegang dan keras, jangan terus main tekan kuat-kuat tau. Silap cara urut, makin sakit dibuatnya. Sentuhan kena lembut dan santai je.

Ini cara urutan untuk keluarkan susu badan yang ibu boleh amalkan kat rumah:

  • Mula dengan usapan lembut: Guna hujung jari, usap dari bahagian atas payudara perlahan-lahan menuju ke arah puting. Buat gerakan ni sekitar 1 ke 2 minit untuk “kejutkan” saraf dan rangsang hormon pancing susu.
  • Tepuk-tepuk manja: Ketuk atau tepuk lembut sekeliling payudara guna hujung jari. Nampak macam tak ada apa, tapi gerakan halus ni sebenarnya membantu sangat untuk melonggarkan salur susu yang mula nak tersumbat.
  • Guna teknik C-hold: Letak ibu jari kat bahagian atas dan jari lain di bawah payudara (membentuk huruf C). Tekan sedikit ke arah dada, kemudian sorong perlahan ke depan untuk tolak aliran susu keluar.
  • Golek jari melingkar: Buat pusaran kecil guna hujung jari di kawasan yang rasa berbiji atau tegang. Ingat ya ibu, tekan perlahan je, tak perlu kuat.
  • Picit hingga keluar susu: Akhir sekali, picit dan pusing lembut kawasan sekitar areola sampai nampak susu mula menitis.

Buat rutin ni beberapa minit sebelum mengepam atau bagi bayi menyusu. Bila konsisten, gerenti aliran susu rasa makin lancar dan dada pun lega sangat.

cara urutan untuk keluarkan susu badan
Apakah cara urutan susu badan yang betul?

Waktu Sesuai Buat Urutan

Waktu yang sesuai juga penting untuk hasil lebih efektif:

  • Sebelum menyusu: Bantu susu keluar lancar.
  • Selepas menyusu: Kosongkan baki susu elak bengkak.
  • Waktu mandi air suam: Air bantu longgarkan tisu payudara.

Jadikan cara urutan untuk keluarkan susu badan ini rutin harian selama 5-10 minit pun cukup untuk kesan positif.

Ubat Untuk Keluarkan Susu Badan

Kadang-kadang walau dah cuba urutan, susu masih kurang. Dalam situasi ini, doktor boleh cadangkan ubat untuk keluarkan susu badan bagi bantu pengeluaran lebih stabil.

Berikut beberapa jenis ubat untuk keluarkan susu badan:

  1. Domperidone (Motilium) :Ubat ini bantu tingkatkan hormon prolaktin, yang merangsang penghasilan susu.
  2. Metoclopramide (Maxolon): Berfungsi sama, tapi perlu diambil dengan nasihat doktor kerana boleh beri kesan sampingan seperti mengantuk.
  3. Ubat Herba atau Suplemen Semula jadi: Halba dan fenugreek juga dianggap ubat untuk keluarkan susu badan secara semula jadi.

Peringatan:

Elak ambil sebarang ubat tambah susu badan tanpa nasihat doktor. Walaupun nampak seperti “milk booster”, setiap ibu berbeza. Gabungkan ubat dengan cara urutan untuk keluarkan susu badan supaya hasilnya lebih semula jadi dan selamat.

Cara Tradisional Tambah Susu Badan

Bercakap pasal cara tradisional nak tambah susu badan ni, petua orang tua-tua dulu memang terbaik. Tak payah bahan pelik-pelik, guna apa yang ada kat dapur je. Nah, ini antara ikhtiar semula jadi yang Ibu boleh cuba:

  • Minum air rebusan halba: Halba ni memang popular dari dulu sebagai milk booster. Rebus sesudu halba dan minum airnya dua kali sehari. Aliran susu biasanya makin galak lepas amalkan ni.
  • Susu kurma dengan habbatus sauda: Campurkan susu suam dengan kurma yang dihancurkan dan sedikit serbuk habbatus sauda. Bukan setakat pancing susu, tapi bagi Ibu tenaga ekstra bila kena bangun malam.
  • Makan sup ikan haruan & ulam pegaga: Menu wajib masa pantang. Sup ikan haruan bantu sembuhkan luka dalaman, manakala pegaga pula kaya nutrien untuk lancarkan susu.
  • Air barli & daun kelor: Air barli bagus sangat untuk pastikan badan kekal terhidrasi. Daun kelor pulak penuh zat besi dan kalsium yang buat susu Ibu makin pekat dan berkhasiat.
cara urutan untuk keluarkan susu badan
Cara tradisional tambah susu badan membantu menggalakkan penghasilan susu.

Cara Banyakkan Susu Badan Secara Semula Jadi

Selain urutan, ada banyak cara semula jadi yang Ibu boleh amalkan untuk tambah penghasilan susu tanpa bergantung pada ubat. Yang penting, kena faham konsep demand and supply. Lagi kerap susu dikeluarkan, lagi banyak badan akan hasilkan susu.

Berikut cara banyakkan susu badan dengan berkesan:

  • Susukan bayi secara kerap: Tiada jadual tetap menyusukan anak. Susukan mengikut kehendak si manja (on demand). Lagi kerap si manja menghisap, lagi banyak isyarat dihantar ke otak untuk proses buat susu baru.
  • Minum air secukupnya: Cecair dalam badan cepat berkurang bila menyusu. Pastikan ibu minum sekurang-kurangnya 8 hingga 10 gelas air sehari supaya badan tak dehidrasi dan hasil susu kekal lancar.
  • Amalkan pemakanan seimbang: Banyakkan makanan tinggi protein macam ikan, telur, ayam dan kekacang. Jangan lupa sayuran hijau macam bayam atau sawi yang penuh dengan nutrien penting.
  • Cari masa untuk rehat: Bila ibu terlalu penat atau tertekan, hormon oksitosin (hormon lancarkan susu) akan drop. Bila bayi tidur, ibu pun cuba dapatkan lelap kejap ya.
  • Urutan lembut payudara: Buat urutan ringkas sebelum menyusu atau mengepam untuk bantu kelenjar susu bekerja lebih aktif dan elak salur tersumbat.
  • Cuba penggalak susu (milk booster): Bahan macam oat, kurma atau halba memang membantu. Tapi ingat, kesannya beza ikut badan masing-masing, jadi cari mana yang paling serasi dengan ibu.

Pengalaman Urutan Keluarkan Susu Badan

Bila teringat semula episod bengkak susu waktu selepas bersalin dulu, bagi saya sendiri agak trauma dan menyakitkan. Ketika itu melahirkan anak pertama dan langsung tiada pengalaman menyusukan bayi. Ditambah pula anak tak pandai menghisap, saya terpaksa menggunakan pam susu.

Hari ketiga selepas bersalin saya perasan bengkak susu melarat hingga bawah ketiak juga bengkak sangat besar. Masa tu ada kakak dan ibu saya yang mahir urutan lancarkan susu. Pada mulanya saya agak malu sebab kena ‘serah diri’ dan bagi mereka urut dekat kedua-dua bahagian payudara.

Kakak saya lumurkan sedikit minyak dan mula urut secara perlahan, buat gerakan kecil dan membentuk huruf C. Dia juga picit perlahan puting payudara sebab saluran susu tersumbat. Saya waktu tu tebalkan muka sahaja sebab dah tak tertahan sakitnya. Ibu saya juga ambil sikat rambut yang lembut dan gosokkan pada payudara dengan perlahan.

Lebih kurang 10 minit selepas urutan, keluarlah susu badan yang pertama. Waktu tu saya rasa sangat lega, bengkak payudara makin berkurang dan bermulalah perjalanan penyusuan saya selama dua tahun.

Kesimpulan

Kesimpulannya, urutan payudara ni memang rutin penting untuk setiap ibu menyusu. Bila ibu gabungkan teknik urutan ni dengan petua tradisional, pemakanan sihat atau ubat yang disyorkan doktor, aliran susu pasti jadi lebih lancar. Paling best, dada rasa lega dan ibu pun makin yakin.

Ingat ya, penyusuan bukan sekadar nak bagi si manja kenyang, tapi momen indah untuk jalin ikatan kasih sayang. Jaga diri baik-baik, urut perlahan dan nikmati perjalanan indah ini.

Suka dengan tip ini? Kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan ibu yang lain dan jangan lupa baca artikel berkaitan tempoh susu badan bertahan di luar dan pil perancang untuk ibu menyusu.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

9 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Breastfeeding: Breast Fullness and Engorgement
  2. Breastfeeding and Massage
  3. The Effect of Lactation Massage Combination and Postpartum Breast Care Aged One to Three Days on the Experience of Adequate Breastfeeding
  4. Dr. Tengku Nur ‘Atiqah: An Insight on Breastfeeding & Massage
  5. Breast Self-Massage for Lactating Mothers
  6. 6 Benefits of Breast Massage (and How To Get Started Today)
  7. Cara Urutan Bengkak Susu
  8. Punca Payudara Bengkak dan Cara untuk Melegakan
  9. Mastitis Semasa Penyusuan Susu Ibu

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.