Memasuki trimester ketiga, macam-macam perubahan badan yang buat kita rasa serba tak kena. Bila perut makin sarat, tiba-tiba kena cirit-birit pula terus terdetik dalam hati, adakah ini tanda-tanda baby nak keluar? Tapi dalam masa yang sama, terfikir juga kalau-kalau silap makan waktu malam tadi.

Kebimbangan begini memang biasa sangat berlaku dalam kalangan bakal ibu. Jom kita fahami punca sebenar masalah ini, beza antara cirit-birit biasa dengan tanda awal bersalin, serta langkah selamat yang ibu boleh buat di rumah.

Punca Cirit Birit Ketika Hamil Trimester 3

Masalah cirit-birit waktu dah nak dekat due date sebenarnya berpunca daripada pelbagai faktor. Bukan semuanya bahaya, tapi ada beberapa perkara biasa yang selalu jadi punca:

  • Hormon Kehamilan Naik Turun: Perubahan hormon sepanjang pregnant memang cepat kacau sistem penghadaman. Sesetengah ibu ada yang kena sembelit teruk, ada pula yang asyik berulang ke tandas sebab perut memulas.
  • Perut Makin Sensitif Pada Makanan: Bila mengandungkan bayi, apa yang kita makan sebelum ini mungkin dah tak serasi. Makanan yang terlalu pedas, berminyak atau produk tenusu tertentu atau susu mudah sangat buat perut rasa senak.
  • Jangkitan Kuman Pada Perut: Kadang-kadang ia bukan sebab kehamilan pun, tapi jangkitan virus atau bakteria macam Salmonella. Kalau ada sekali pakej mual dan muntah, ibu kena cepat-cepat jumpa doktor.
  • Kesan Suplemen Pranatal: Tak semua suplemen sesuai dengan perut kita. Sesetengah vitamin atau ubat tambah darah (seperti zat besi) memang boleh buat cirit-birit sebaik sahaja diminum.
  • Tubuh Mula Bersedia Untuk Bersalin: Menariknya, perubahan hormon sebelum kontraksi bermula boleh melonggarkan otot usus. Ini seolah-olah cara semula jadi badan ‘membersihkan’ ruang perut sebagai persediaan nak bersalin.

Tanda-Tanda & Gejala Cirit Birit Ketika Hamil

cirit birit ketika hamil trimester 3
Ibu hamil yang mengalami cirit birit akan kehilangan banyak air dalam badan, sekali gus menyebabkan tubuh lesu.

Bila masuk trimester 3, badan ibu jadi lebih sensitif. Jadi, antara tanda sakit perut memulas dan cirit birit ketika hamil yang biasa dialami ialah:

  • Najis berair lebih daripada 3 kali sehari.
  • Perut kembung, berangin dan rasa memulas.
  • Kekejangan perut yang berulang.
  • Rasa lemah atau pening sebab kehilangan air.
  • Kadang-kadang disertai muntah atau demam.

Kalau cirit-birit berterusan lebih daripada 2 hari, itu tanda badan dah mula dehidrasi. Pada ibu hamil, ini agak berbahaya kerana boleh jejaskan kandungan.

Risiko & Kesan Cirit Birit Ketika Hamil Trimester 3

Walaupun nampak macam masalah perut biasa, cirit-birit di trimester ketiga tak boleh diambil mudah. Bila badan kerap hilang cecair, ada beberapa risiko yang boleh beri kesan pada ibu dan kandungan:

  • Tubuh kekurangan air (Dehidrasi). Ini bahaya utama bila asyik berulang ke tandas. Bila badan hilang banyak cecair dan garam mineral, ibu mudah rasa pening, berpusing, letih teruk sampai tekanan darah pun boleh mendadak turun.
  • Mencetuskan kontraksi awal. Ramai tak tahu yang dehidrasi teruk sebenarnya boleh merangsang hormon oxytocin. Kesannya, rahim mula kecut dan boleh mencetuskan rasa sakit bersalin sebelum waktunya (premature labor).
  • Penyerapan nutrisi terganggu. Bila makanan lalu terlalu cepat dalam usus tanpa sempat diserap, bekalan zat dan nutrisi penting untuk perkembangan bayi di akhir kehamilan ini pun boleh terjejas.
  • Komplikasi daripada jangkitan kuman. Kalau cirit-birit itu berpunca daripada jangkitan bakteria yang serius, racun daripada kuman tersebut boleh masuk ke dalam sistem badan dan memberi risiko pada kesihatan janin.

Cirit Birit Tanda Bersalin, Betul Ke?

cirit birit ketika hamil trimester 3
Betul ke cirit birit tanda bersalin?

Ramai ibu tanya, betul ke cirit birit tanda bersalin? Jawapannya ya, mungkin.

Dalam minggu-minggu terakhir kehamilan, tubuh mula keluarkan hormon prostaglandin yang bantu lembutkan serviks dan mencetuskan kontraksi. Kesan sampingan hormon ni boleh menyebabkan usus lebih aktif, lalu ibu alami cirit-birit.

Tapi, kalau cirit-birit berlaku terlalu awal (sebelum minggu ke-37), itu bukan tanda bersalin, sebaliknya mungkin ada masalah lain. Jadi, ibu kena tahu beza antara cirit-birit biasa dengan tanda nak bersalin. Kalau disertai sakit pinggang, kontraksi teratur, atau keluar lendir bercampur darah, itu lebih jelas tanda bersalin.

Makanan Sesuai & Perlu Elak Semasa Cirit Birit Ketika Hamil Trimester 3

Pemakanan yang betul sangat penting bila ibu alami cirit birit ketika hamil trimester 3. Salah makan boleh buat keadaan jadi lebih teruk.

KategoriMakanan Sesuai DimakanMakanan Perlu Dielakkan
KarbohidratNasi putih, bubur nasi, roti bakar, kentang rebusMakanan bergoreng, mi segera, makanan berminyak
Buah-buahanPisang, epal (dikupas), buah pirBuah sitrus (oren, limau), mangga, jambu batu (sebab tinggi serat & boleh iritasi perut)
ProteinAyam rebus, ikan stim, telur rebusDaging berlemak, makanan laut mentah, telur separuh masak
SayuranLobak merah rebus, labu, bayam yang dimasak lembutSayur mentah, sayur berangin (kubis, brokoli, bunga kubis)
MinumanAir kosong, air kelapa, ORS (oral rehydration salts), sup jernihMinuman berkafein (kopi, teh pekat), minuman berkarbonat, jus buah masam
Snek & Lain-lainBiskut tawar, sup ayam jernihCoklat, makanan pedas, makanan tinggi gula

Dengan jadual ni, ibu lebih senang nak rancang pemakanan sepanjang cirit birit. Ia juga boleh bantu kurangkan gejala sakit perut memulas dan cirit birit ketika hamil, sekali gus elakkan risiko dehidrasi.

Cara Atasi Cirit Birit Ketika Hamil

cirit birit ketika hamil trimester 3
Cara cepat atasi cirit birit ketika hamil.

Berita baiknya, kebanyakan kes cirit birit ketika hamil trimester 3 boleh pulih sendiri dalam beberapa hari. Tapi ibu boleh cuba beberapa langkah mudah ini:

  1. Minum air secukupnya. Elakkan dehidrasi dengan minum air kosong, sup jernih atau air kelapa.
  2. Ambil makanan ringan. Pilih makanan mudah hadam seperti nasi kosong, bubur, pisang dan roti.
  3. Elakkan makanan pencetus. Kurangkan makanan pedas, berminyak atau produk tenusu kalau perut makin teruk selepas makan.
  4. Rehat cukup. Badan perlukan tenaga untuk lawan jangkitan atau pulih daripada keletihan.
  5. Ubat cirit birit untuk ibu mengandung. Bukan semua ubat selamat. Biasanya doktor akan cadangkan oral rehydration salts (ORS) atau ubat lembut yang sesuai untuk ibu hamil. Jangan sesekali ambil ubat farmasi tanpa nasihat doktor.

Bila Perlu Jumpa Doktor?

Walaupun kebanyakan cirit-birit akan pulih sendiri, namun ibu perlu segera jumpa doktor kalau:

  • Cirit-birit lebih daripada 2 ke 3 hari.
  • Najis bercampur darah atau lendir pekat.
  • Disertai demam tinggi atau muntah berterusan.
  • Perut kerap memulas dengan kontraksi kuat.
  • Ibu rasa bayi kurang bergerak dalam kandungan.

Pengalaman Bakal Ibu Alami Cirit-birit Bila Dah Nak Dekat Due Date

Bila baca kat komuniti ibu mengandung, isu cirit-birit waktu trimester ketiga ini rupa-rupanya pengalaman yang biasa sangat berlaku. Lain orang, lain pula cerita dan respon badan masing-masing.

Antara pengalaman yang dikongsikan pembaca komuniti Info Ibu Hamil Official di Facebook ialah:

  • Ingatkan Cirit Biasa, Rupa-rupanya Dah Ada Bukaan: Ada ibu yang terus ke hospital untuk pemeriksaan bila mula rasa memulas teruk 4 hingga 5 kali sehari. Walaupun belum ada tanda turun darah atau pecah ketuban, bila doktor periksa PAC (Pelvic Assessment Centre), rupanya laluan dah pun terbuka 1cm!
  • Pengalaman False Alarm: Tidak kurang juga ada ibu yang dimasukkan ke wad sebab cirit-birit berserta muntah waktu minggu ke-34. Selepas dipantau 2 hari dan diberikan ubat serta masuk air, bukaan tetap kekal 1cm dan disahkan belum masanya lagi untuk bersalin.
  • Akibat Tekanan Janin Pada Usus: Bagi sesetengah ibu pula, kerap ke tandas ini berlarutan dari minggu ke-31 hingga nak beranak. Menurut doktor, bayi yang makin membesar dan mula turun ke bawah memberi tekanan secara fizikal pada kawasan usus, membuatkan sistem pencernaan ibu jadi terlalu ‘lawas’.

Kesimpulan

Pendek kata, cirit birit ketika hamil trimester 3 memang boleh jadi pengalaman yang tak selesa, tapi selalunya tidak berbahaya. Puncanya boleh jadi daripada makanan, hormon, jangkitan atau malah tanda tubuh sedang bersedia untuk bersalin.

Yang penting, ibu jangan panik. Pastikan cukup minum air, jaga pemakanan dan dapatkan rawatan segera kalau gejala makin teruk.

Kalau ibu rasa ragu-ragu atau bimbang dengan keadaan diri dan bayi, jangan tunggu lama, jumpa doktor untuk kepastian. Ibu sedang alami cirit-birit atau risau dengan tanda yang dialami?

Jangan tangguh lagi. Dapatkan nasihat doktor segera supaya ibu dan bayi sentiasa selamat.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Diarrhea During Pregnancy
  2. Diarrhea in Early Pregnancy, Gastroenteritis in Pregnancy and other Gut Problems
  3. Diarrhoea and vomiting in pregnancy
  4. 3rd trimester pregnancy: What to expect
  5. Common health problems in pregnancy
  6. Third trimester
  7. Memahami Trimester Ketiga Kehamilan Anda

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.