Bila tengah tunggu berita gembira, setiap perubahan kecil pada badan pasti buat kita terpikir, lekat ke kali ini? Padahal baru je seminggu bersama, tapi dah nak try UPT. Tapi boleh ke ke kadar hCG dah boleh dikesan seawal minggu pertama?

Secara fizikalnya, hormon Human Chorionic Gonadotropin (hCG) ni baru je dirembeskan sebaik proses penempelan berlaku. Walaupun bacaannya masih agak rendah, ia tetap penanda penting untuk tahu hamil ke tidak.

Jom kita semak kadar hCG 1 minggu hingga 10 minggu, apa maksudnya dan faktor yang mempengaruhi keputusan.

Kenali Hormon hCG & Peranannya Seawal Minggu Pertama

Hormon Human Chorionic Gonadotropin (hCG) sebenarnya mula dihasilkan oleh plasenta sejurus selepas telur yang disenyawakan melekat elok pada dinding rahim. Cuma pada minggu pertama, bacaannya memang masih sangat kecil. Malah kadangkala ujian air kencing biasa pun belum mampu kesan lagi.

Antara tugas utama hormon hCG ini termasuklah:

  • Pelihara korpus luteum: Memastikan struktur dalam ovari ini terus rembeskan progesteron, iaitu hormon wajib untuk pertahankan kandungan awal.
  • Kekalkan ketebalan rahim: Menjaga suasana dinding rahim kekal kukuh untuk menyokong janin yang baru nak membesar.
  • Hentikan haid: Menghantar isyarat jelas pada sistem badan supaya kitaran haid seterusnya terhenti serta-merta.

Info tambahan yang ramai tak tahu, paras hCG pada minggu awal selepas persenyawaan ini biasanya sekitar 5 hingga 50 mIU/ml sahaja. Setiap badan wanita bertindak balas berbeza, jadi angkanya tak semestinya sama untuk semua orang.

Tanda Bacaan Hormon hCG Tinggi Seawal Kehamilan

kadar hcg hamil 1 minggu
Kehamilan kembar antara faktor kadar hcg tinggi sewaktu awal kehamilan.

Walaupun kadar hCG hamil 1 minggu biasanya rendah, namun ada sesetengah wanita yang mempunyai bacaan tinggi sejak awal.

Ada kalanya bacaan hCG ni boleh melonjak lebih tinggi daripada kebiasaan. Selalunya situasi ini berlaku sebab persenyawaan berlaku lebih awal daripada jangkaan (salah kira usia kandungan), atau mungkin juga petanda awal bakal timang cahaya mata kembar.

Bila paras hormon ini naik mendadak, antara simptom yang biasa wanita rasa termasuk:

  • Alahan mengandung teruk (morning sickness): Rasa loya dan muntah-muntah berpanjangan yang agak keterlaluan berbanding biasa.
  • Payudara ekstra sensitif: Bahagian dada terasa cepat bengkak, sengal dan lebih sensitif walau baru disentuh sedikit.
  • Badan lesu luar biasa: Rasa mengantuk dan letih yang teramat sangat walaupun tidak melakukan aktiviti berat.
  • UPT terang lebih awal: Keputusan double line pada ujian air kencing kelihatan amat jelas walaupun belum sampai tarikh sepatutnya haid.

Namun perlu diingat, jika nilai hCG terlampau tinggi melebihi julat normal, doktor biasanya akan buat pemeriksaan lanjut bagi memastikannya bukan berpunca daripada kehamilan anggur (molar pregnancy) atau isu kesihatan lain.

Nak tahu hamil ke tak? Beli UPT anda di sini.

Anggaran Bacaan hCG Mengikut Minggu Kehamilan

kadar hcg hamil 1 minggu
Kadar hCG hamil dari minggu 1 hingga minggu 9.

Satu benda unik pasal hormon kehamilan ini, bacaannya boleh berlipat ganda hampir setiap dua ke tiga hari pada fasa awal. Julat nombor di bawah sekadar panduan umum untuk faham pergerakan biasa hCG dari minggu ke minggu:

  • Minggu 1: 5 – 50 mIU/ml
  • Minggu 2: 50 – 500 mIU/ml
  • Minggu 3: 100 – 5,000 mIU/ml
  • Minggu 4: 1,000 – 10,000 mIU/ml
  • Minggu 5: 5,000 – 20,000 mIU/ml
  • Minggu 6: 10,000 – 100,000 mIU/ml
  • Minggu 7: 20,000 – 200,000 mIU/ml
  • Minggu 8: 32,000 – 210,000 mIU/ml
  • Minggu 9: 60,000 – 200,000 mIU/ml

Perlu diingat, angka ini bukannya piawaian tegar. Ada saja ibu yang dapat bacaan luar daripada julat purata ini tapi kandungan tetap membesar dengan sangat sihat. Jadi jangan terlalu panik memikirkan nombor semata-mata.

Jadual Lengkap Perubahan Kadar hCG dari Minggu 1 hingga Minggu 10

Berikut adalah anggaran purata kadar hCG hamil mengikut minggu, bermula dari kadar hCG hamil 1 minggu sehingga minggu ke-10.

Nilai ini adalah anggaran biasa, tetapi setiap wanita mungkin berbeza sedikit.

Minggu KehamilanJulat Bacaan hCG (mIU/ml)Catatan
Minggu 15 – 50Masih sangat awal, ada yang belum dapat dikesan oleh ujian kehamilan biasa.
Minggu 250 – 500Paras hCG mula meningkat, sebahagian wanita sudah dapat keputusan positif pada ujian air kencing.
Minggu 3100 – 5,000Implantasi biasanya sudah berlaku, tanda awal kehamilan mula terasa.
Minggu 41,000 – 10,000Minggu yang biasanya kitaran haid terhenti, ujian kehamilan hampir pasti positif.
Minggu 55,000 – 20,000hCG meningkat pesat, kebanyakan wanita mula mengalami morning sickness.
Minggu 610,000 – 100,000Denyutan jantung janin boleh mula dikesan melalui ultrasound.
Minggu 720,000 – 200,000Simptom atau tanda kehamilan biasanya semakin kuat; mual, keletihan dan perubahan emosi.
Minggu 832,000 – 210,000Puncak peningkatan hCG, hormon progesteron dan estrogen juga tinggi.
Minggu 964,000 – 210,000Paras hCG mula stabil di tahap tinggi, perkembangan janin semakin pesat.
Minggu 1060,000 – 200,000Hormon mula plateau (mendatar) sebelum perlahan-lahan menurun selepas trimester pertama.

Nota penting:

  • Ujian darah (quantitative hCG test) lebih tepat berbanding ujian air kencing, terutamanya untuk kadar hCG hamil 1 minggu hingga minggu ke-3.
  • Kadar hCG berganda setiap 48-72 jam di awal kehamilan adalah tanda positif perkembangan janin.
  • Bacaan yang terlalu rendah atau tidak berganda seperti sepatutnya boleh menjadi tanda masalah kehamilan dan perlu pemeriksaan lanjut.

Kadar hCG Hamil Kembar

Jika anda hamil kembar, biasanya kadar hCG hamil 1 minggu akan lebih tinggi daripada purata kerana terdapat dua atau lebih embrio yang menghasilkan hormon tersebut.

Ini boleh menyebabkan gejala awal kehamilan terasa lebih kuat, seperti mual yang teruk, cepat letih dan ujian kehamilan positif lebih awal.

Namun, satu-satunya cara untuk mengesahkan kehamilan kembar adalah melalui pemeriksaan ultrasound, biasanya selepas minggu ke-6 atau ke-7.

Mungkinkah Hormon hCG Tinggi Tapi Tidak Hamil?

kadar hcg hamil 1 minggu
Terdapat kemungkinan kadar hcg tinggi tetapi tidak hamil.

Ya, walaupun jarang berlaku, ada keadaan di mana bacaan hCG tinggi tetapi seseorang tidak benar-benar hamil.

Keadaan ini dikenali sebagai false positive.

Antara puncanya termasuk:

  • Masalah kesihatan tertentu seperti tumor yang mengeluarkan hCG.
  • Kesan ubat kesuburan yang mengandungi hCG.
  • Ujian kehamilan yang rosak atau bacaan tidak tepat.

Jika anda mendapat keputusan ujian positif tetapi tidak mengalami gejala kehamilan atau bacaan hCG tidak meningkat secara konsisten, sebaiknya buat pemeriksaan doktor.

Faktor Yang Mempengaruhi Bacaan hCG

Beberapa faktor yang boleh mempengaruhi kadar hCG hamil 1 minggu termasuk:

  • Masa ujian dilakukan (pagi biasanya lebih tepat).
  • Sama ada menggunakan ujian darah atau ujian air kencing (ujian darah lebih sensitif).
  • Perbezaan masa ovulasi (wanita tidak semestinya ovulasi pada hari ke-14 kitaran).
  • Masalah kesihatan tertentu.

Kesimpulan

Kadar hCG hamil 1 minggu mungkin masih rendah dan belum dapat dikesan melalui ujian biasa, tetapi ini adalah langkah pertama dalam perjalanan kehamilan.

Perubahan paras hormon ini memberi petunjuk penting tentang perkembangan janin dan kesihatan ibu.

Jika anda ingin memantau bacaan hCG, sebaiknya lakukan ujian darah di klinik untuk hasil yang lebih tepat.

Dan ingat, bacaan hCG bukanlah penentu tunggal kesihatan kandungan; pemeriksaan berkala oleh doktor adalah yang paling penting.

Kalau anda sedang menanti berita gembira atau ingin tahu lebih lanjut tentang kadar hCG hamil 1 minggu, jangan malu untuk berjumpa doktor dan dapatkan nasihat profesional.

Untuk bacaan lanjut tentang kesihatan ibu mengandung, terus ikuti artikel kami di sini supaya anda kekal maklum dan bersedia dalam setiap fasa kehamilan.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

6 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. What are HCG Levels?
  2. hCG levels
  3. Beta hCG doubling time calculator and charts
  4. First-trimester bleeding with falling HCG
  5. Human Chorionic Gonadotropin
  6. Bacaan Hormon HCG Ketika Hamil

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.