Ramai yang keliru, bila gugur, wajib ke berpantang ketat macam lepas bersalin biasa? Hakikatnya, tubuh wanita tetap lalui proses fizikal yang penat, lebih-lebih lagi rahim nak kembali bersih dan sembuh.
Sebab tu, penjagaan awal amat penting supaya badan tak ‘terkejut’ atau kena komplikasi kemudian hari.
Jom kita fahami dulu berapa lama nak kena rehat, petua pemulihan dan senarai makanan yang selamat serta yang perlu dielak dulu sepanjang tempoh ini.
Berapa Lama Sebenarnya Kena Berpantang Selepas Keguguran?
Ramai ibu keliru bab tempoh rehat. Jawapan ringkasnya: ia banyak bergantung pada usia kandungan anda semasa keguguran berlaku.
- Kandungan Awal (1-12 minggu): Pendarahan biasanya berlarutan sekitar 1 hingga 2 minggu. Tubuh cepat stabil, tapi tetap perlukan rehat secukupnya.
- Kandungan Trimester Kedua (13-20 minggu): Masa pemulihan fizikal ambil masa lebih lama, selalunya antara 2 hingga 4 minggu untuk rahim kembali bersih.
- Kandungan Matang (21 minggu ke atas): Keadaan keguguran ini dah hampir sama macam bersalin biasa. Jadi, seeloknya amalkan tempoh berpantang penuh hingga 44 hari.
Walau badan rasa dah sihat dan boleh buat kerja rumah, jangan terburu-buru. Amalan berpantang bukan saja-saja! Ia penting untuk bantu rahim mengecut dengan betul, cepatkan luka dalaman sembuh dan kembalikan tenaga yang hilang. Izinkan tubuh anda berehat seketika, ya!
Kenapa Kena Berpantang, Walaupun Hanya Keguguran?

Tanggapan bahawa keguguran tak perlukan pantang ketat adalah silap. Walau sebesar mana pun usia janin, badan tetap lalui trauma fizikal yang besar. Ini beberapa sebab utama kenapa proses berpantang lepas keguguran ini tak boleh dipandang remeh:
- Bantu Rahim Sembuh Semula: Selepas keguguran, rahim ibarat organ yang baru terluka. Makanan yang salah atau pergerakan kasar boleh melambatkan rahim mengecut dan kembali ke saiz asal.
- Elak Masalah Angin & Badan Lenguh: Tubuh ibu yang baru kehilangan kandungan biasanya agak rapuh. Tanpa penjagaan awal, kesan lenguh urat, sakit sendi dan badan rasa ‘bisa’ mudah melanda.
- Kawal Pendarahan Berlebihan: Sesetengah makanan tajam atau panas boleh memicu pendarahan berpanjangan. Berpantang bantu melancarkan proses pembersihan rahim secara bertahap dan selamat.
- Beri Ruang Emosi Berehat: Keguguran bukan cuma tentang fizikal, tapi emosi yang terkesan. Berpantang bagi anda masa untuk berehat, bertenang dan memulihkan semangat yang turun.
Senarai Makanan Dilarang Semasa Pantang Keguguran
Sekarang, kita masuk bab paling penting iaitu senarai makanan dilarang semasa pantang keguguran.
Kalau boleh, elakkan jenis makanan ini supaya pemulihan jadi lebih cepat dan lancar.
Makanan Dilarang Semasa Pantang Keguguran 1. Makanan Sejuk dan Berangin
Makanan sejuk seperti timun, kubis, kacang panjang dan kangkung biasanya dianggap “berangin” dalam tubuh.
Selepas keguguran, sistem pencernaan wanita lebih sensitif, jadi makanan ini boleh menyebabkan perut kembung, angin berlebihan dan rasa tidak selesa di bahagian perut serta pinggang.
Lebih teruk, makanan dilarang semasa pantang keguguran ini boleh membuatkan badan terasa bisa dan sendi lenguh. Sebaiknya gantikan dengan sayuran yang lebih neutral seperti bayam atau sawi rebus.
2. Makanan Laut
Udang, sotong, ketam dan kerang tergolong dalam kategori makanan laut yang boleh mencetuskan alahan atau rasa gatal. Untuk wanita selepas keguguran, rahim dan tubuh sedang dalam proses pemulihan luka dalaman.
Jika ambil makanan laut gatal, ia berisiko melambatkan penyembuhan luka, menyebabkan keradangan dan rasa tidak selesa pada kulit. Elakkan makanan laut ini sekurang-kurangnya sepanjang tempoh pantang untuk beri peluang badan pulih sepenuhnya.
Jadi, ingat masukkan makanan laut dalam senarai makanan dilarang semasa pantang keguguran ya, Mama!
3. Makanan Bergoreng dan Berminyak, Makanan Dilarang Semasa Pantang Keguguran
Selepas keguguran, badan perlukan makanan yang ringan dan mudah hadam. Makanan bergoreng dan berminyak seperti ayam goreng, keropok atau makanan segera boleh membebankan perut dan membuatkan badan cepat letih.
Selain itu, minyak berlebihan dalam badan boleh mengganggu perjalanan darah nifas, meningkatkan risiko sembelit dan menambah angin. Sebagai alternatif, pilihlah masakan kukus, rebus atau panggang yang lebih sihat untuk sistem badan ketika berpantang.
4. Makanan Pedas dan Berempah

Masakan berempah dan pedas seperti sambal belacan, kari atau rendang memang menyelerakan, tapi ia tidak sesuai untuk wanita yang sedang berpantang keguguran.
Kandungan rempah yang tinggi boleh menyebabkan perut mudah meragam, iritasi usus, malah boleh mencetuskan cirit-birit. Keadaan ini akan buat badan semakin lemah kerana kehilangan banyak cecair. Selain itu, makanan pedas boleh merangsang darah nifas keluar lebih banyak daripada biasa.
Lebih baik elakkan makanan dilarang semasa pantang keguguran ini buat sementara waktu.
Makanan Dilarang Semasa Pantang Keguguran 5. Minuman Berkafein dan Bergas
Kopi, teh pekat dan minuman berkarbonat mungkin jadi kegemaran ramai, tapi selepas keguguran ia sebaiknya dielakkan. Minuman ini mengandungi kafein dan gas yang boleh mengganggu tidur, menyebabkan badan berdebar dan melambatkan proses pemulihan rahim.
Selain itu, ia boleh menyebabkan dehidrasi serta membuatkan tubuh lebih mudah letih. Lebih baik ambil air kosong atau air herba suam seperti air halia dan serai yang membantu menghangatkan badan.
6. Makanan Mentah, Makanan Dilarang Semasa Pantang Keguguran
Makanan mentah seperti sushi, kerang separuh masak atau daging yang tidak dimasak sempurna sangat berisiko selepas keguguran.
Tubuh wanita pada ketika ini masih lemah dan lebih mudah dijangkiti bakteria. Jika termakan makanan mentah, ia boleh mengakibatkan keracunan makanan, cirit-birit, atau jangkitan pada rahim.
Untuk elakkan komplikasi kesihatan yang lebih serius, pastikan semua makanan dimasak hingga benar-benar masak dan selamat untuk dimakan.
| Kategori Makanan | Contoh | Sebab Dilarang |
|---|---|---|
| Makanan Sejuk dan Berangin | Timun, kubis, kacang panjang, kangkung | Boleh sebabkan perut kembung, badan lenguh dan angin susah keluar |
| Makanan Laut Gatal | Udang, sotong, kerang, ketam | Melambatkan penyembuhan luka dalaman dan menyebabkan kegatalan |
| Makanan Bergoreng dan Berminyak | Ayam goreng, makanan segera, kerepek | Susah hadam, lekat minyak pada perut dan buat badan lebih cepat letih |
| Makanan Pedas dan Berempah | Sambal belacan, kari, rendang | Boleh iritasi perut, menyebabkan cirit-birit serta buat darah nifas keluar lebih banyak |
| Minuman Berkafein dan Bergas | Kopi, teh pekat, air berkarbonat | Boleh ganggu tidur, tambah rasa berdebar dan melambatkan pemulihan badan |
| Makanan Mentah | Sushi, sate separuh masak, kerang mentah | Tinggi risiko bakteria dan boleh sebabkan jangkitan |
Makanan Berpantang yang Sesuai
Kalau dah tahu apa yang tak boleh, kita kena tahu juga makanan pantang yang bagus untuk dimakan.
Ini senarai ringkas:
- Ikan Haruan & Ikan Selar bagus untuk sembuhkan luka dalaman.
- Sup Ayam Kampung beri tenaga, mudah hadam.
- Halia & Lada Hitam bantu buang angin dalam badan.
- Sayur Rebus (Bayam, Sawi, Lobak Merah) kaya vitamin untuk cepatkan pemulihan.
- Air Rebusan Herba. Contohnya air halia, kunyit, serai, bagus untuk hangatkan badan.
Makanan jenis ini bantu kuatkan rahim, tingkatkan tenaga dan bagi badan rasa lebih ringan.
Pengalaman Ibu Berpantang Selepas Keguguran
Menariknya bila membaca luahan dalam hantaran Facebook MAHN (Masak Apa Hari Ni), perkongsian ibu yang baru pertama kali lalui pengalaman keguguran ini membuka mata ramai.
Pelbagai nasihat dan reaksi diberi termasuk:
- Petua Tradisional vs Nasihat Moden: Ada ibu berkongsi amalan minum air kunyit untuk kurangkan sakit di bahagian ari-ari, di samping menu berpantang seperti ikan selar atau tenggiri bakar bersama sayur sawi dan lada hitam.
- Pendekatan Lebih Fleksibel: Ramai juga yang menyarankan agar tidak terlalu menyekat makanan sehingga memudaratkan. Merujuk nasihat pakar perubatan seperti Dr. Imelda Balchin, fasa pemulihan sebenarnya lebih memerlukan pemakanan seimbang iaitu cukup protein, zat besi dan vitamin C untuk kembalikan tenaga serta memulihkan rahim.
- Fokus Utama Penjagaan: Apa yang penting, elakkan kerja-kerja berat, jauhi minuman ais atau bergas buat sementara waktu dan utamakan makanan bernutrisi tinggi berbanding sekadar mengikut diet yang terlampau ketat.
Buah Apa yang Bagus Dimakan (dan Patut Elak) Masa Pantang Keguguran?

Soalan bab buah memang kerap timbul. Yalah, ada buah yang membantu menyegarkan badan, tapi ada juga jenis yang orang tua-tua kata ‘sejuk’ atau tajam untuk rahim yang tengah nak memulih.
Buah yang Bagus Dimakan:
- Betik Masak: Sangat lembut pada perut dan bantu elak masalah sembelit bila kena rehat atas katil.
- Epal (Terutamanya Epal Merah): Kaya serat dan vitamin untuk bantu kekalkan tenaga harian.
- Kurma: Pilihan terbaik untuk naikkan semula bacaan darah dan bagi tenaga segera.
- Delima: Bagus untuk melancarkan peredaran darah serta bantu pemulihan tisu rahim.
Buah yang Perlu Dijauhi Dulu:
- Nanas: Mengandungi enzim yang boleh mencetuskan rasa memulas atau mengecutkan rahim secara berlebihan.
- Tembikai: Sifatnya agak ‘sejuk’ dan tinggi kandungan air, risau buat perut kembung atau badan cepat lenguh.
- Mangga Muda: Sifatnya yang terlalu berasid boleh mengganggu perut yang masih sensitif.
Pendek kata, pilihlah buah yang penuh khasiat dan mudah dicerna, tapi elakkan dulu yang jenis terlalu tajam atau menyejukkan badan sepanjang tempoh pemulihan ini.
Kesimpulan
Secara ringkas, menjaga pemakanan ketika berpantang keguguran adalah sangat penting. Elakkan makanan dilarang semasa pantang keguguran seperti makanan laut gatal, sejuk, pedas dan bergoreng.
Sebaliknya, lebihkan makanan berpantang yang mudah hadam, berkhasiat serta buah-buahan yang sesuai.
Pantang bukan sekadar tradisi, tetapi keperluan untuk kesihatan rahim, tenaga badan dan keseimbangan emosi. Jadi, ambil masa untuk berehat, jaga pemakanan dan dapatkan sokongan keluarga supaya proses pemulihan lebih mudah.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.