Pernah tak secara tak sengaja terlepas makan pil perancang harian, atau tiba-tiba kondom bocor waktu bersama suami? Situasi cemas macam ni memang boleh buat mana-mana wanita panik.

Sebab itulah pil perancang kecemasan selalu jadi pilihan penyelamat untuk elak kehamilan yang tidak dirancang. Tapi masalahnya, masih ramai yang keliru bab dos dan cara makan yang betul. Silap langkah, ubat tak dapat berfungsi secara optimum.

Sebelum anda beli ubat ini di farmasi, fahami dulu jenis yang ada, waktu paling ideal untuk makan, serta kesan sampingannya supaya kesihatan diri kekal terjaga.

Fahami Fungsi & Jenis Pil Perancang Keluarga

Ringkasnya, pil perancang ialah kaedah kawalan kehamilan berasaskan hormon. Fungsinya mudah, ubat ini menyekat ovari daripada melepaskan telur (ovulasi) setiap bulan. Pada masa sama, ia menebalkan cecair di leher rahim supaya sperma ‘tersangkut’ dan sukar berenang ke dalam.

Secara umum, ada dua jenis pil yang biasa diguna wanita:

  • Pil Perancang Harian: Kena makan secara konsisten setiap hari, sebaiknya pada waktu yang sama. Ia mengawal kitaran haid sambil cegah hamil untuk jangka panjang.
  • Pil Perancang Kecemasan (Emergency Contraceptive Pill): Digunakan waktu terdesak sahaja. Contohnya bila kondom terbalik atau bocor, terlupa makan pil harian beberapa hari atau terbabas bersama pasangan tanpa perlindungan.

Walaupun kedua-duanya bertujuan elak kehamilan tak dirancang, cara ia bekerja dan tahap keberkesanannya berbeza. Jangan main makan saja, kena faham beza fungsi supaya perancangan keluarga anda betul-betul menjadi.

Jenis Emergency Contraceptive Pill

pil perancang kecemasan
Pil pencegah kehamilan di farmasi.

Ada beberapa jenis pil perancang kecemasan yang biasa dijual di farmasi. Pil ini biasanya dibahagikan kepada dua kategori:

1. Pil Levonorgestrel

Ini adalah jenis paling biasa dan popular di Malaysia.

Nama yang paling dikenali adalah Postinor-2. Ia mengandungi hormon levonorgestrel 0.75mg setiap biji.

Biasanya, cara makan postinor 2 biji sekali gus .Namun, ada juga yang makan satu biji postinor diambil secepat mungkin selepas hubungan intim, dan satu lagi selepas 12 jam.

Nota penting: Semakin cepat diambil, semakin tinggi keberkesanan.

2. Pil Ulipristal Acetate

Pil ini mengandungi bahan aktif ulipristal acetate. Jenama popular: ellaOne.

Ia diambil satu biji sahaja, dan lebih efektif berbanding levonorgestrel jika diambil dalam masa 5 hari. Namun, ellaOne lebih susah didapati di Malaysia dan mungkin memerlukan preskripsi doktor.

3. Pil perancang kecemasan gabungan estrogen + progestin

Jenis ini kurang popular dan biasanya digunakan hanya apabila jenis lain tiada. Ia perlu diambil dalam dos yang lebih tepat dan teliti, jadi anda disarankan untuk mengikut saranan doktor.

Kesimpulannya, emergency contraceptive pill yang biasa anda jumpa di farmasi Malaysia ialah jenis levonorgestrel, dan yang paling dikenali tentulah Postinor-2.

Bolehkah Beli Pil Perancang Kecemasan Di Farmasi?

Jawapannya ya, memang boleh. Kebanyakan farmasi komuniti di Malaysia ada menjual ubat ini (seperti Postinor-2 atau Escapelle) secara terus di kaunter tanpa perlu surat doktor.

Cuma bila sampai di kaunter nanti, jangan terkejut kalau ahli farmasi mula menyoal. Biasanya mereka akan:

  • Bertanyakan soalan asas. Contohnya bila kali terakhir anda bersama. Ini bagi memastikan ubat ini masih sempat berfungsi.
  • Menerangkan dos dan cara makan yang betul supaya ubat efektif.
  • Meminta kad pengenalan untuk tujuan rekod pendaftaran ubat (bergantung pada polisi farmasi tersebut).

Tips Mudah Bila Beli Di Kaunter:

  • Terus Sebut Nama Ubat: Boleh minta terus jenama seperti “Postinor” atau sebut “pil kecemasan” pada ahli farmasi.
  • Minta Kepastian Dos: Jangan malu untuk bertanyakan waktu terbaik untuk makan ubat tersebut.
  • Simpan Kotak Ubat: Boleh buat rujukan sekiranya berlaku sebarang kesan sampingan nanti.

Satu perkara penting yang perlu diingat adalah pil ini khas untuk situasi kecemasan sahaja. Jangan sesekali gunakannya sebagai kaedah harian untuk cegah hamil sebab dos hormonnya agak tinggi.

Cara Makan Pil Emergency

pil perancang kecemasan
Ambil tahu cara makan pil perancang untuk memastikan keberkesanannya.

Soalan yang paling kerap ditanya bagaimanakah cara makan pil perancang kecemasan yang betul dan berkesan?

Cara makan postinor:

  • 1 biji secepat mungkin (dalam masa 72 jam selepas hubungan).
  • 1 biji lagi selepas 12 jam ATAU
  • Makan postinor 2 biji sekali gus (jika nak cepat dan mudah).

Bila perlu makan?

  • Lagi cepat anda ambil selepas hubungan intim, lagi tinggi kadar keberkesanan pil emergency ini.
  • Diambil dalam masa 24 jam pertama: 95% keberkesanan.
  • Diambil antara 48-72 jam: turun ke 58%.

Tips makan:

  • Makan selepas makan berat (elak rasa loya).
  • Kalau muntah dalam masa 2 jam, makan semula pil.
  • Jangan ambil lebih dari dua kali dalam satu kitaran haid.

Tanya Doktor

“Doktor, Postinor tu sebulan boleh berapa kali makan?”

Ini antara soalan yang selalu ditanya pada doktor. Mengikut perkongsian Poliklinik Anna, pil kecemasan seperti Postinor seboleh-bolehnya hanya diambil 1 kali sahaja dalam satu kitaran haid (sebulan).

Sebabnya, Postinor mengandungi dos hormon tinggi yang direka khas untuk keadaan terdesak, bukannya ubat pencegah hamil harian. Kalau anda telan berulang kali dalam masa sebulan:

  • Hormon jadi huru-hara: Kitaran haid anda boleh terganggu teruk, period jadi tak menentu, turun terlalu cepat atau terlewat sampai buat anda panik.
  • Kesan sampingan bertambah: Risiko mual, sakit kepala dan pendarahan ringan (spotting) jadi lebih tinggi.
  • Keberkesanan berkurang: Ia tidak memberi perlindungan berterusan jika anda kerap bersetubuh selepas itu.

Jika anda dapati diri kerap terpaksa mengambil ubat ini melebihi sekali sebulan, itu tandanya anda perlu beralih ke kaedah perancang harian yang lebih selamat seperti pil perancang harian, suntikan, atau IUD.

Harga Pil Emergency

Harga pil perancang emergency boleh berbeza mengikut jenama dan farmasi.

Secara umum:

JenamaKandunganHarga Anggaran
Postinor-2Levonorgestrel 0.75mg x2RM10 – RM25
EllaOneUlipristal Acetate 30mgRM60 – RM100 (jarang dijual di Malaysia)
Jenama generik lainLevonorgestrelRM8 – RM20

Jika anda beli di farmasi besar seperti beli pil pencegah kehamilan di Watson, Guardian atau farmasi komuniti, biasanya harga adalah berpatutan. Tapi pastikan anda beli dari tempat sah, bukan secara online yang tidak sah atau meragukan!

Pil Emergency 24 Jam Berkesan?

Ada juga yang guna istilah pil pencegah kehamilan 24 jam, yang sebenarnya merujuk kepada pil perancang kecemasan.

Istilah ini mungkin buat kita fikir ia hanya boleh diambil dalam masa 24 jam, tapi sebenarnya:

  • Ia boleh diambil sehingga 72 jam selepas bersama pasangan.
  • Lebih cepat diambil, lebih berkesan.

Ingat: Pil ini bukan “ajaib” untuk cegah kehamilan 100%, tetapi ia cara kecemasan yang selamat jika diambil dengan betul.

Adakah Pil Ini Selamat Diambil?

Secara umum, pil perancang emergency adalah selamat untuk digunakan oleh kebanyakan wanita.

Tapi, harus diingat bahawa ada kesan sampingan ringan yang mungkin dialami, seperti:

  • Loya atau muntah.
  • Sakit kepala.
  • Payudara rasa tegang.
  • Kitaran haid jadi tidak teratur (awal/ lambat sedikit).
  • Rasa penat.

Morning-after pill tidak sesuai untuk:

  • Wanita yang sedang hamil (tak beri kesan, tapi tak diperlukan).
  • Wanita yang ada alahan terhadap bahan aktif.
  • Penggunaan kerap setiap bulan.

Apa Perlu Buat Selepas Ambil Pil?

pil perancang kecemasan
Apa perlu buat selepas ambil pil perancang kecemasan?
  1. Perhatikan kitaran haid anda selepas ambil pil.
  2. Jika haid lewat lebih 1 minggu, sila buat ujian kehamilan.
  3. Jangan jadikan pil ini sebagai rutin, sebaliknya guna kaedah perancang lain untuk jangka panjang.
  4. Boleh jumpa doktor untuk bincang pilihan alat perancang terbaik.

Pilihan Bijak Untuk Situasi Kecemasan

Pil perancang kecemasan bukan untuk diguna selalu, tetapi ia sangat berguna dalam keadaan tertentu.

Ia selamat, mudah diakses dan memberi perlindungan tambahan apabila ‘terlupa’ atau ada masalah semasa hubungan seks.

Paling penting, ambil tindakan segera, makan ikut arahan dan rancang kesihatan anda dengan lebih teliti selepas ini.

Untuk lebih banyak tips kesihatan wanita dan kehamilan, layari BukuPink.my rujukan #1 ibu moden di Malaysia!

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

7 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Morning-After Pill
  2. Morning-after pill
  3. What is the emergency contraceptive pill (morning after pill)?
  4. Emergency contraception or the morning after pill
  5. 'Morning after' pill (emergency contraception pill)
  6. Postinor-2
  7. Waktu Penggunaan Pil Perancang Kecemasan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.