Bila dah berbulan-bulan mencuba tapi belum ada rezeki, mesti terdetik kat fikiran, “Kenapa susah sangat nak lekat ni?” Jangan risau, anda dan pasangan tak keseorangan.

Ramai ingat ujian kesuburan ni untuk wanita je, tapi hakikatnya masalah kesuburan ni 40% berpunca daripada lelaki, dan 40% lagi daripada wanita. Bakinya pula mungkin gabungan faktor kedua-duanya. Jadi, ujian ini bukan untuk menuding jari, tapi lebih kepada langkah awal nak faham situasi sebenar badan masing-masing.

Tak perlu takut nak jalani pemeriksaan dan test kesuburan. Ada pasangan yang sekadar nak semak tahap hormon, kualiti sperma atau simpanan telur sebelum mula merancang. Dari jenis ujian, anggaran kos sampai ke persediaan awal, kami sediakan panduan lengkap ini khas untuk anda.

Test Kesuburan Di Klinik Kerajaan: Murah & Selamat

Nak buat fertility test tapi risau bajet tersasar? Sebenarnya klinik kerajaan ada sediakan perkhidmatan ini pada harga serendah beberapa ringgit sahaja.

Biasanya, anda dan pasangan akan bermula di Klinik Kesihatan (KK) atau Klinik Nur sebelum dirujuk ke bahagian Obstetrik & Ginekologi (O&G) hospital kerajaan.

Bagaimana test kesuburan dilakukan di klinik kerajaan?

Prosedur asas yang akan anda jalani di KK:

  • Sesi semakan sejarah kesihatan: Doktor akan tanya secara terperinci tentang kitaran haid, gaya hidup dan tempoh anda berdua mencuba untuk hamil (TTC).
  • Ujian darah & hormon: Untuk isteri, ujian ini semak paras hormon penting (seperti FSH, LH dan Progesteron) bagi memastikan ovulasi berlaku secara teratur.
  • Imbasan ultrasound (pelvis): Melihat keadaan rahim dan mengira antral follicle untuk menganggar baki simpanan telur.
  • Analisis ujian sperma: Ujian wajib untuk suami bagi menilai kepekatan, bentuk dan kelajuan pergerakan sperma.
test kesuburan
Analisis sperma suami.

Kelebihan buat di klinik kerajaan:

  1. Kos sangat murah dan langsung tak membebankan poket.
  2. Ada sistem rujukan terus ke pakar O&G di hospital besar.
  3. Pilihan terbaik buat pasangan yang baru pertama kali nak buat pemeriksaan.
  4. Rekod perubatan tersusun rapi dan mudah dipantau untuk jangka panjang.

Kekurangannya pula:

  1. Kena bersedia mental untuk masa menunggu yang agak lama.
  2. Slot temu janji selalunya cepat penuh.
  3. Sesetengah ujian lanjutan mungkin perlukan rujukan ke fasiliti lain.

Kalau anda tak kisah menunggu dan nak mula langkah pertama tanpa tekanan kos, fasiliti kerajaan memang paling berbaloi.

Test Kesuburan Perempuan

Ramai wanita fikir test kesuburan perempuan hanya sekadar kiraan telur, tapi sebenarnya ada banyak faktor lain yang menentukan potensi untuk hamil.

Bahagian ini paling penting untuk mereka yang dah cuba setahun tapi belum berjaya.

Antara ujian yang biasa dilakukan untuk wanita:

a) Ujian Hormon (Day 2-5 Test)

Ini adalah “ujian wajib”. Tujuannya menilai:

  • FSH: mengukur fungsi ovari.
  • LH: mengawal ovulasi.
  • AMH: stok telur (lebih rendah, lebih sukar hamil).
  • Estradiol.
  • Progesteron: biasanya diuji selepas ovulasi.

Ujian hormon adalah asas test kesuburan kerana ia memberi gambaran awal sama ada ovari berfungsi normal.

b) Ultrasound Ovari & Rahim

Doktor akan periksa sama ada:

  • ada cyst (PCOS).
  • ada fibroid.
  • dinding rahim tebal atau nipis.
  • bilangan follicle (AFC count).

Stok telur adalah penentu besar kepada peluang hamil.

c) HSG (Hysterosalpingogram)

Ujian X-ray untuk tengok sama ada tiub fallopio tersumbat atau tidak.

Kalau tersumbat, sperma memang tak boleh bertemu ovum. Ini antara punca utama pasangan susah hamil.

d) Ujian darah tambahan

• gula (diabetes).
tiroid.
• vitamin D.
• antibodi tertentu.

Ujian Kesuburan Lelaki

Biasanya orang perempuan yang paling bersemangat nak buat pelbagai ujian kesuburan. Bab si suami pula, kadang-kadang ada yang rasa segan atau risau nak melangkah ke klinik. Tapi hakikatnya, test kesuburan lelaki sebenarnya jauh lebih cepat dan tidak meletihkan berbanding ujian wanita.

Antara perkara utama yang akan dinilai melalui analisis air mani:

  1. Jumlah sperma: Memastikan bilangannya mencukupi untuk persenyawaan.
  2. Bentuk sperma (morphology): Melihat struktur fizikal sperma sama ada normal atau abnormal.
  3. Pergerakan sperma (motility): Menilai kebolehan sperma berenang menuju ke telur.
  4. Kecairan & jangkitan: Memeriksa kelikatan air mani serta kewujudan bakteria atau sel darah putih.

Kenapa ujian ini sangat penting? Selalu terjadi di mana punca sukar hamil sebenarnya berpunca daripada kualiti sperma yang kurang aktif. Lagipun, ujian ini lansung tak menyakitkan, kosnya agak berpatutan dan keputusannya boleh didapat dengan cepat.

Sekiranya keputusan awal menunjukkan kualiti sperma agak rendah, jangan panik. Masalah ini selalunya boleh dibantu melalui perubahan gaya hidup, pengambilan suplemen seperti CoQ10, Zink, dan L-Carnitine atau rawatan hormon mengikut nasihat doktor.

Berapa Kos Check Kesuburan Di Malaysia?

Ramai pasangan tahan diri nak buat test hanya kerana tak tahu bajet.

Di sini kami ringkaskan harga check kesuburan mengikut tempat.

Harga Anggaran Test Kesuburan (Malaysia):

Kerajaan

  • Ujian darah hormon: RM1-RM15.
  • Ultrasound: RM1-RM15.
  • Analisis sperma: RM1-RM10.
  • HSG: RM10-RM50.

Total: RM20-RM100 sahaja

Swasta

  • Ujian hormon lengkap: RM120-RM400.
  • Ultrasound pelvis: RM80-RM250.
  • Analisis sperma: RM80-RM250.
  • AMH test: RM180-RM500.
  • HSG: RM350-RM900.

Total: RM800-RM2,000+ untuk pakej kesuburan lengkap

Walaupun harga swasta lebih tinggi, kelebihannya adalah temujanji lebih cepat, keputusan lebih pantas dan konsultasi lebih menyeluruh.

Pilihan Rawatan Kesuburan

test kesuburan
Doktor akan mencadangkan rawatan kesuburan yang perlu selepas pemeriksaan subur suami isteri.

Selepas buat test kesuburan, doktor akan cadangkan rawatan kesuburan yang sesuai berdasarkan punca.

a) Rawatan ubat kesuburan untuk wanita

Antara ubat subur yang paling biasa:

  • Clomiphene Citrate (Clomid)– Merangsang ovulasi.
  • Letrozole (Femara)– Alternatif kepada Clomid, biasa untuk PCOS.
  • Progesteron– Stabilkan fasa luteal.
  • Metformin– Untuk wanita PCOS yang ada insulin resistance.

Ini pilihan paling asas sebelum pergi ke rawatan yang lebih mahal.

b) Rawatan kesuburan untuk lelaki

  • Vitamin C, E, D.
  • Zinc.
  • CoQ10.
  • L-carnitine.
  • Ubat hormon (jika testosteron rendah).

Rawatan lelaki biasanya fokus meningkatkan motility & jumlah sperma.

c) Rawatan lanjutan

Jika ubat biasa tidak berkesan:

1. IUI (Intrauterine Insemination)

Sperma diproses dan dimasukkan terus ke rahim dalam proses IUI.
Harga: RM1,200-RM3,000

2. IVF (Tabung Uji)

Persenyawaan dibuat di makmal.
Harga: RM12,000-RM25,000+

3. ICSI

Sperma dimasukkan terus ke dalam ovum menggunakan jarum halus. Biasanya untuk kes sperma lemah.

Proses Step by Step Cek Kesuburan Wanita di Klinik

test kesuburan
Test kesuburan wanita di klinik.

Ramai wanita takut kerana tak tahu apa yang dijangka semasa cek kesuburan wanita di klinik.

Ini ringkasannya:

  1. Temu bual kesuburan. Doktor akan tanya sejarah haid, tahap stress, tempoh mencuba dan gaya hidup.
  2. Ujian darah hormon. Dibuat hari ke-2 hingga ke-5 haid.
  3. Ultrasound. Scan rahim dan ovari.
  4. Ujian ovulasi. Doktor mungkin minta buat ujian LH test strip di rumah.
  5. HSG jika disyaki tiub fallopio tersumbat.
  6. Review keputusan untuk tentukan rawatan kesuburan yang sesuai.

Proses ini biasanya ambil 1-2 bulan untuk lengkap.

Pengalaman Pasangan Jalani Rawatan Kesuburan

Bila baca perkongsian di Threads, ramai pasangan tampil berkongsi perjalanan mereka melakukan test kesuburan untuk ikhtiar hamil. Ada yang mulanya sangka proses di fasiliti kerajaan lambat dan rumit, tapi pengalamannya jauh lebih teratur berbanding apa yang dibayangkan.

Antara pengalaman yang dikongsikan oleh netizen:

  1. Bermula dari Klinik Kesihatan biasa: Kebanyakan pasangan berkongsi mereka hanya perlu buat temu janji di Klinik Kesihatan (KK) berdekatan terlebih dahulu. Doktor KK akan jalankan ujian darah dan ujian air mani awal sebelum mengeluarkan surat rujukan (referral letter).
  2. Ujian penuh di Hospital Kerajaan / LPPKN: Lepas dapat rujukan, pasangan dirujuk ke klinik pakar O&G hospital kerajaan atau LPPKN. Kat sini, ujian lebih terperinci macam HSG (ujian tiub falopio) dan imbasan pakar dilakukan dengan bayaran yang sangat minimal.
  3. Peluang buat IUI & IVF kos rendah: Ramai yang bersyukur sebab dapat jalani prosedur IUI mahupun IVF pada harga subsidi yang jauh lebih rendah berbanding klinik swasta. Malah ada yang berjaya hamil menerusi percubaan pertama.
  4. Kena sedia mental bab masa menunggu: Satu pesan penting yang selalu diulang di Threads ialah faktor kesabaran. Disebabkan permintaan tinggi, sela masa antara satu temu janji ke temu janji seterusnya memang memakan masa beberapa bulan.

Perkongsian jujur macam ni sekurang-kurangnya beri harapan baharu untuk pasangan yang teringin nak ikhtiar hamil (TTC), tapi terhad dari segi bajet.

Cara Mudah Tahu Hari Subur Menerusi Kalkulator Kesuburan

Ramai wanita suka guna kalkulator kesuburan kerana ia cepat dan mudah. Biasanya hanya perlu masukkan:

  • tarikh hari pertama haid.
  • panjang kitaran.
  • jangkaan ovulasi.

Kalkulator kesuburan membantu menentukan hari paling subur untuk meningkatkan peluang hamil.

Walaupun ia tidak 100% tepat, namun sangat membantu bagi wanita yang ada kitaran haid teratur.

Cara mudah nak tahu waktu subur, boleh dapatkan kit ovulasi di sini.

Kesimpulan

Secara ringkas, test kesuburan adalah langkah paling penting untuk memahami apa yang berlaku dalam tubuh apabila sudah lama cuba hamil tetapi belum berjaya.

Dengan memahami proses test dan rawatan kesuburan, pasangan boleh membuat keputusan tepat tanpa rasa risau atau keliru.

Yang paling penting ingatlah, setiap ujian bukanlah hukuman, tetapi panduan untuk memulakan rawatan kesuburan yang paling sesuai.

Lagi awal mula cek kesuburan wanita di klinik, lagi tinggi peluang untuk berjaya hamil.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Fertility Tests
  2. Infertility
  3. Fertility testing
  4. Tests Fertility problems
  5. Male Fertility Tests & Procedures
  6. Infertility
  7. Apa yang Dijangkakan Semasa Ujian Kesuburan di Malaysia
  8. Penilaian Kesuburan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.