Bangun pagi ibu hamil terus rasa loya, bila lalu kat dapur terbau nasi yang tengah ditanak pun boleh buat ibu terus berlari ke tandas. Macam ni lah rutin biasa kebanyakan ibu bila pregnant. Paling geram, sabun mandi kesayangan sendiri pun boleh buat rasa nak muntah! Memang letih, tapi hormon hamil yang melonjak naik tu sebenarnya tanda badan anda tengah ‘bekerja keras’.

Jom tengok bila alahan mengandung ni nak habis dan cara paling berkesan nak legakan mual tu.

Apa itu Alahan Mengandung?

alahan mengandung
Simptom morning sickness ibu hamil.

Alahan mengandung atau mabuk hamil (morning sickness) merujuk kepada simptom-simptom tidak selesa yang dialami oleh wanita semasa hamil, terutamanya pada awal kehamilan.

Simptom ini biasanya melibatkan:

  • Loya.
  • Muntah.
  • Pening kepala.
  • Sensitif terhadap bau.
  • Hilang selera makan.

Alahan ini terjadi disebabkan oleh perubahan hormon dalam badan, terutamanya hormon hCG (human chorionic gonadotropin) dan estrogen yang meningkat dengan cepat pada trimester pertama.

Nmaun, jangan risau!

Mabuk hamil ini adalah sangat biasa dan dialami oleh lebih 70% wanita hamil, terutamanya dalam 3 bulan pertama.

Ia dianggap sebagai tanda bahawa kehamilan sedang berkembang dengan baik.

Beberapa punca alahan mengandung termasuk:

  • Peningkatan hormon kehamilan.
  • Deria bau yang jadi lebih sensitif.
  • Perubahan sistem penghadaman.
  • Faktor emosi atau tekanan.

Walaupun tidak semua wanita mengalami alahan dan tahapnya berbeza-beza antara individu, namun ia tetap dianggap normal selagi tidak mengganggu kesihatan ibu dan bayi secara serius.

Alahan Mengandung Seawal Berapa Minggu Sebenarnya Bermula?

alahan mengandung
Alahan mengandung seawal berapa minggu?

Bakal ibu selalu tertanya-tanya, bila sebenarnya mual dan muntah ni akan mula terasa? Hakikatnya, tubuh setiap orang tak sama. Ada yang rasa tenang saja, tapi ramai yang mula ‘tumbang’ seawal minggu ke-5 atau ke-6 kehamilan.

Semuanya gara-gara lonjakan hormon human chorionic gonadotropin (hCG) yang bekerja keras menyokong kandungan. Peningkatan hormon inilah yang buat perut rasa senak, kepala berpusing dan deria bau jadi terlampau sensitif.

Namun, tidak pelik jika ada yang mula rasa mual seawal minggu ke-4 (malah mungkin sebelum anda sempat buat ujian kehamilan pun!) Pada masa sama, ada sesetengah ibu bertuah yang terus zero alahan sepanjang sembilan bulan.

Jangan risau, tak mengalami alahan langsung tak bermakna bayi dalam kandungan tak sihat.

Pendek kata, tak perlu risau atau bandingkan simptom anda dengan ibu lain. Selagi perkembangan bayi dipantau doktor, semuanya dalam keadaan baik.

Alahan Mengandung Berapa Lama & Bila Akan Hilang?

Soalan ni memang selalu bermain dalam fikiran, terutamanya bila badan dah mula rasa serba tak kena. Biasanya, alahan akan mencapai ‘kemuncak’ sekitar minggu ke-9 hingga ke-11. Waktu ni, rasa mual dan lemau memang boleh tahan mencabar ya.

Berita baiknya, kebanyakan ibu mula rasa kembali bertenaga apabila melangkah ke trimester kedua, iaitu sekitar minggu ke-13 hingga ke-16. Hormon badan waktu ni selalunya dah mula stabil.

Walau bagaimanapun, tak semua ibu merasai pengalaman yang sama. Ada sebilangan kecil ibu yang terpaksa menghadap alahan ni sampai ke bilik bersalin.

Jika loya dan muntah masih tak beransur selepas minggu ke-20, lagi-lagi kalau sampai berat badan anda turun atau mengalami loya keterlaluan, sebaiknya terus berbincang dengan doktor. Jangan tahan sorang-sorang, sebab doktor boleh bekalkan ubat alahan yang selamat untuk bantu anda lalui fasa ni dengan lebih selesa.

Morning Sickness Teruk Sampai Tak Boleh Makan Langsung

Bagi sesetengah ibu, mabuk hamil bukan sekadar rasa loya biasa.

Ia boleh jadi sangat teruk sampai tak boleh makan atau minum langsung.

Keadaan ini dikenali sebagai hyperemesis gravidarum.

Ibu akan muntah banyak kali sehari, menyebabkan dehidrasi dan kehilangan berat badan yang ketara.

Simptom alahan mengandung teruk termasuk:

  • Muntah lebih dari 3-4 kali sehari.
  • Tidak boleh menyimpan makanan atau air dalam perut.
  • Badan jadi lemah, letih dan tak bertenaga.
  • Tanda dehidrasi: bibir kering, air kencing pekat, jarang buang air kecil.

Jika anda mengalami simptom ini, penting untuk dapatkan rawatan segera!

Kadang-kadang, doktor akan beri ubat tahan muntah atau minta anda dimasukkan ke hospital untuk hidrat semula melalui drip.

Jadi, jika anda mengalaminya, jangan malu untuk minta bantuan!

Mual Teruk Sebab Mengandung Anak Perempuan, Mitos Atau Fakta?

“Mual teruk ni, mesti mengandungkan anak perempuan!” Mesti anda biasa dengar cakap-cakap macam ni, kan? Petua orang tua-tua memang selalu kaitkan alahan yang kuat dengan jantina bayi, tapi sejauh mana kebenarannya?

Secara umumnya, pakar perubatan menegaskan tiada bukti saintifik yang mengesahkan jantina bayi menjadi penentu langsung tahap alahan seseorang ibu. Walaupun ada kajian lama dari Sweden yang menunjukkan ibu hamil anak perempuan sedikit lebih cenderung mengalami mual yang teruk, tapi ia bukanlah garis panduan yang mutlak.

Punca utama loya dan muntah sebenarnya datang daripada lonjakan hormon hCG serta perubahan fizikal badan, bukannya disebabkan jantina di dalam kandungan. Jadi, tak perlu terlalu bergantung pada mitos ini. Sama ada anak lelaki atau perempuan, setiap kehamilan membawa pengalaman yang tersendiri bagi setiap ibu.

Hanis Zalikha Kongsi Pengalaman Morning Sickness

Pelakon, Hanis Zalikha pernah berkongsikan pengalamannya berdepan alahan teruk semasa mengandungkan anak kedua (Alisya), yang disifatkan sama mencabar seperti kehamilan pertamanya, Yusuf Iskandar.

Hanis mendedahkan yang alahannya agak teruk sehingga terpaksa menghadap muntah hampir setiap kali selepas makan, dan situasi ini berlarutan sehingga usia kandungannya sembilan bulan. Namun katanya, keadaan hanya reda sedikit sewaktu memasuki trimester kedua.

Walaupun memenatkan, Hanis titip pesan supaya semua ibu yang sedang berdepan situasi sama terus kuat semangat demi si comel dalam kandungan.

Cara Hilangkan Mual & Loya Semasa Mengandung

alahan mengandung
Minum banyak air kosong untuk menghilangkan mabuk hamil.

Walaupun morning sickness tidak boleh “disembuhkan” sepenuhnya, namun terdapat banyak cara yang boleh membantu mengurangkan rasa mual.

Di bawah ini, beberapa tips dan cara hilangkan alahan mengandung yang ibu hamil boleh amalkan:

1. Makan Dalam Kuantiti Kecil Tapi Kerap

Jangan biar perut kosong terlalu lama.

Cuba makan snek ringan setiap 2-3 jam, seperti biskut, roti kering, atau buah.

2. Elak Makanan & Bau Yang Kuat

Setiap ibu ada “bau pantang” sendiri, boleh jadi nasi panas, minyak wangi atau sabun.

Cuba jauhi bau atau makanan yang boleh mencetuskan loya ibu.

3. Halia

Minum air halia suam atau makan gula-gula halia boleh bantu kurangkan rasa mual.

Namun, pastikan ia tidak berlebihan ya.

4. Minum Air Secukupnya

Minum air perlahan-lahan tapi kerap.

Jika tak lalu minum air kosong, cuba air lemon suam atau jus buah yang tidak berasid.

5. Cuba Ubat Dari Doktor

Jangan ragu-ragu untuk bertanya pada doktor tentang ubat anti-loya yang selamat untuk ibu hamil.

Contohnya seperti metoclopramide atau vitamin B6.

Bila Perlu Risau?

Walaupun morning sickness adalah normal, namun ada situasi yang memerlukan perhatian perubatan segera.

Antara tanda-tanda bahaya termasuk:

  • Tidak boleh langsung makan atau minum selama lebih 24 jam.
  • Kehilangan berat badan yang ketara.
  • Muntah dengan darah atau muntah yang sangat kerap.
  • Air kencing sangat pekat atau tidak membuang air kecil langsung.

Jika mengalami mana-mana tanda ini, jangan tunggu!

Dapatkan pemeriksaan doktor segera untuk pastikan anda dan bayi selamat.

Bersabar, Ibu! Ini Sementara Sahaja

Morning sickness memang boleh buat kita rasa tertekan, terbaring sepanjang hari, dan hilang selera makan.

Tapi percayalah, ini semua hanya sementara.

Apabila trimester kedua menjelma, kebanyakan ibu akan rasa lebih bertenaga dan loya pun hilang dengan sendirinya.

Jadi, jangan risau kalau sekarang anda tengah bergelut dengan muntah setiap pagi atau tak lalu makan.

Tubuh anda sedang bekerja keras untuk menyokong kehidupan baru dalam rahim.

Itu sesuatu yang luar biasa dan membanggakan.

Chaiyok, Mommies!

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

9 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Morning Sickness
  2. Pregnancy - morning sickness
  3. Vomiting and morning sickness
  4. Pregnancy sickness (nausea and vomiting of pregnancy and hyperemesis gravidarum)
  5. Morning sickness
  6. Is nausea during pregnancy a good sign?
  7. Does greater morning sickness predict carrying a girl? Analysis of nausea and vomiting during pregnancy from retrospective report
  8. Memahami Mabuk Hamil dalam Kehamilan
  9. Mabuk Hamil Semasa Kehamilan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.