Bila tengok ada kesan pendarahan dekat seluar dalam, terus rasa berdebar, kan? Tambah pulak kalau tengah cuba nak hamil (TTC) atau bila period pulak yang tiba-tiba lambat beberapa hari. Mulalah fikir “Eh, ni darah haid biasa ke atau aku sebenarnya keguguran?”
Kekeliruan macam ni memang biasa sangat berlaku. Ramai wanita kerap tersilap beza darah haid dan darah keguguran, terutamanya bila pendarahan tu keluar dekat-dekat dengan tarikh sepatutnya anda datang haid.
Ada juga yang dah gembira tengok dua garis halus dekat ujian kehamilan (UPT), tapi tiba-tiba keluar darah. Rasa panik tu tuhan je tahu.
Kenapa Penting Untuk Tahu Beza Darah Period & Keguguran?
Mengetahui beza darah period dan keguguran sangat penting kerana pendarahan pada awal kehamilan boleh membawa maksud yang berbeza. Ada yang normal, ada yang memerlukan rawatan segera.
Berikut sebab-sebab utama kenapa penting untuk tahu beza darah haid dan darah keguguran:
1. Tidak Terlepas Tanda Keguguran Awal
Keguguran awal selalunya berlaku sebelum wanita sedar diri sedang hamil. Tanpa memahami beza darah period dan keguguran, ramai menganggapnya sebagai haid normal.
Sedangkan keguguran awal memberi petunjuk kesihatan rahim dan hormon yang penting untuk kehamilan seterusnya.
2. Untuk Kenal Pasti Bila Perlu Jumpa Doktor
Haid biasa jarang memerlukan rawatan, tetapi darah keguguran boleh membawa risiko seperti:
- kehilangan darah banyak.
- jangkitan.
- tisu kehamilan tertinggal dalam rahim.
Dengan memahami beza darah period dan keguguran, wanita boleh ambil tindakan cepat sebelum keadaan menjadi serius.
3. Pantau Kesihatan Rahim
Jika pendarahan berlarutan, wanita perlu tahu sama ada itu:
- haid.
- tanda masalah hormon.
- atau darah selepas keguguran yang memerlukan rawatan.
Pengetahuan ini membantu merancang kehamilan akan datang dan memastikan rahim sembuh dengan baik.
4. Penting Untuk Ibadah & Hukum Nifas
Bagi wanita Muslim, soal pendarahan berkait rapat dengan:
- solat.
- puasa.
- mandi wajib.
- hukum nifas.
Tanpa tahu beza antara darah haid dan darah keguguran, sukar menentukan sama ada pendarahan itu termasuk nifas, haid atau istihadah.

Beza Darah Haid dan Darah Keguguran
Setiap kali keluar pendarahan di luar kebiasaan, mestilah timbul rasa bimbang kan? Lagi-lagi kalau tarikh period dah terlepas beberapa hari atau ibu memang tengah menunggu berita gembira. Mesti terdetik dekat fikiran sama ada itu cuma pendarahan biasa ataupun tanda keguguran.
Kekeliruan ni memang selalu berlaku. Supaya anda tak terus tertanya-tanya, jom kita tengok beza darah haid dan darah keguguran:
1. Warna Darah
Warna darah ialah petunjuk paling awal yang anda boleh nampak.
- Darah Haid: Warna selalunya berubah mengikut kitaran. Hari pertama coklat gelap atau merah pekat, masuk hari ke-2 dan 3 bertukar merah terang, lepas tu kembali gelap atau kehitaman sebelum berhenti.
- Darah Keguguran: Selalunya berwarna merah yang terlalu terang atau kadang-kadang ada rona keunguan. Warnanya keluar secara random dan tak mengikut corak haid yang biasa anda alami.
2. Tekstur & Ketulan
Satu lagi perkara penting ialah apa yang ada bersama darah tersebut.
- Darah Haid: Ibu mungkin nampak ketulan darah beku (clots) kecil yang lembik macam jeli. Saiznya jarang lebih besar daripada ibu jari.
- Darah Keguguran: Darah berketul yang keluar biasanya lebih pejal dan bukannya jeli. Anda mungkin akan nampak ketulan tisu berwarna keputihan atau kelabu. Saiznya lebih besar dan boleh keluar berulang kali.
3. Rasa Sakit & Kejang Perut
Senggugut biasa dengan sakit akibat keguguran sangat berbeza rasanya.
- Darah Haid: Sakitnya datang dan pergi dengan rasa mencucuk atau menarik. Selalunya masih boleh ditahan, hilang bila tuam air suam atau makan ubat tahan sakit.
- Darah Keguguran: Rasa sakitnya macam contraction kecil dengan ada tekanan kuat dari bahagian bawah rahim yang terasa seolah-olah nak ‘menolak’ sesuatu keluar. Sakitnya datang dalam gelombang, lebih tajam, dan bertahan lebih lama.
4. Aliran & Jumlah Pendarahan
Berapa kerap anda kena tukar pad juga memainkan peranan.
- Darah Haid: Aliran darah haid biasanya lebih stabil. Paling banyak pada hari ke-2 atau ke-3, tapi makin berkurang hari demi hari tanpa perlu tukar pad tebal setiap jam.
- Darah Keguguran: Pendarahan sangat kuat dan tiba-tiba. Ibu mungkin kena tukar pad setiap 30 hingga 60 minit sebab banyak. Malah pendarahan boleh mengalir deras walaupun ibu tengah berbaring.
5. Masa & Tempoh Pendarahan
Ibu boleh agak beza darah haid dan darah keguguran dari segi masa (timeline).
- Darah Haid: Datang ikut kitaran biasa dan berlarutan sekitar 3 hingga 7 hari sahaja.
- Darah Keguguran: Berlaku di luar jadual kitaran haid biasa, contohnya bila anda lewat period 1 hingga 2 minggu atau selepas UPT tunjuk garis samar. Tempoh pendarahan juga boleh berlarutan melebihi seminggu.

Pendarahan Tidak Selalunya Tanda Keguguran
Dr. Raihana Ismail ada berkongsikan bahawa keguguran sebenarnya tak semestinya berlaku dengan pendarahan yang teruk sahaja. Setiap kehamilan itu berbeza, jadi tanda-tanda yang dialami pun boleh jadi tak sama bagi setiap wanita.

Menurut beliau, antara tanda biasa ialah pendarahan faraj, sama ada titisan spotting yang sikit atau pendarahan lebat berwarna coklat, merah terang, hingga merah gelap.
”Ibu juga mungkin akan mengalami kejang perut yang lebih sakit daripada senggugut biasa, keluar ketulan tisu yang pelik, atau perasan simptom hamil seperti loya dan payudara tegang tiba-tiba hilang.”
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan pendarahan tidak bermaksud kandungan terus gagal kerana ada sahaja bayi yang kekal sihat. Namun jika UPT anda positif dan tiba-tiba pendarahan berlaku bersama rasa sakit yang kuat, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan imbasan ultrasound atau ujian darah.
Berapa Lama Darah Keluar Selepas Keguguran?
Berapa lama sebenarnya darah akan keluar lepas berlakunya keguguran? Hakikatnya, tempoh pendarahan ni tak sama untuk setiap wanita.
Ia banyak bergantung pada usia kandungan, berapa banyak tisu yang ada, dan keadaan rahim ibu sendiri selepas proses tu berlaku. Supaya anda tak tertanya-tanya, ini panduan umum mengikut usia kehamilan yang boleh bantu ibu faham situasi sebenar:
1. Keguguran Awal (4-6 Minggu)
Pada tahap ini, embrio masih sangat kecil dan kebanyakan tisu boleh keluar dengan cepat. Ramai ibu tersilap sangka ini cuma haid lewat.
- Tempoh pendarahan: Biasanya berlarutan sekitar 2 hingga 7 hari.
- Jumlah darah: Kuantitinya lebih kurang macam haid biasa, tapi selalunya sedikit lebih banyak.
- Tekstur: Ibu mungkin perasan ada keluar sedikit ketulan darah beku.
2. Keguguran 7-12 Minggu
Usia kandungan dalam lingkungan ni memerlukan rahim mengecut lebih kuat untuk keluarkan tisu, jadi rasa kejang perut (cramp) pun akan lebih terasa.
- Tempoh pendarahan: Boleh berlarutan antara 7 hingga 14 hari.
- Jumlah darah: Aliran darah lebih banyak, berwarna merah terang, dan mengandungi ketulan tisu yang lebih jelas.
- Status pendarahan: Tempoh yang agak panjang dan kuat ni selalu buat ibu-ibu musykil sama ada darah yang keluar tu darah keguguran biasa atau dah masuk hukum nifas.
3. Keguguran Lewat (Lebih 12 Minggu)
Bila keguguran berlaku pada peringkat ini, pendarahannya hampir menyerupai darah nifas selepas bersalin sebab rahim perlu mengambil masa untuk pengecutan semula.
- Tempoh pendarahan: Biasanya mengambil masa 2 hingga 3 minggu.
- Jumlah darah: Darah keluar lebih banyak disebabkan saiz tisu yang dah besar.
- Prosedur susulan: Kadang-kadang prosedur cuci rahim (D&C) diperlukan sekiranya ada sisa tisu yang tak keluar sepenuhnya secara semula jadi.
Darah Selepas Keguguran Haid Atau Nifas?
Ramai wanita keliru sama ada darah yang keluar selepas keguguran dikira haid atau nifas, kerana bentuk pendarahannya tidak sama bagi setiap wanita.
Jawapan sebenarnya bergantung kepada usia kandungan dan perkembangan janin ketika keguguran berlaku.
1. Jika Janin Sudah Ada Bentuk / Organ Jelas
Pendarahan dikira nifas jika:
- Keguguran berlaku selepas janin mempunyai bentuk anggota, walaupun kecil.
- Biasanya usia kandungan sekitar 10-12 minggu ke atas.
- Ada kantung, tisu jelas atau bentuk janin yang ketara.
Ia dianggap nifas kerana darah keluar selepas bersalin, termasuk kelahiran yang tidak sempurna (keguguran) apabila janin sudah terbentuk.
2. Jika Keguguran Terlalu Awal (4-6 Minggu)
Pendarahan bukan nifas, tetapi lebih menyerupai:
- Haid.
- Atau darah istihadhah (pendarahan luar kitaran).
Biasanya janin belum terbentuk, hanya kantung sangat kecil atau tisu darah. Dalam keadaan ini, wanita perlu:
- Solat seperti biasa.
- Berpantang secara ringan untuk pulihkan rahim.
Sebab itu istilah darah selepas keguguran haid atau nifas perlu difahami dengan situasi sebenar kehamilan.
3. Jika Ada Kantung Tapi Tiada Bentuk Janin
Keadaan ini bergantung:
- Jika ada kantung kehamilan jelas, sebahagian ulama menganggap ia hampir kepada nifas.
- Jika hanya tisu lembut yang tidak membentuk kantung, ia tidak dikira nifas.
Kes ini banyak berlaku pada keguguran usia 6-9 minggu.

Pengalaman Gugur Kandungan Di Hospital
Setiap ibu yang mengalami keguguran akan melalui proses yang berbeza. Begitu juga dengan @maryamimer, dia menceritakan pengalaman gugur kandungan di hospital.
“Saya nak kongsi sikit pengalaman gugur kandungan dekat hospital baru-baru ni. Sebenarnya dua hari sebelum tu saya dah pergi hospital sebab ada pendarahan, tapi doktor suruh tunggu dulu. Benda tu jadi makin teruk bila tiba-tiba pendarahan keluar terlalu banyak, jadi saya terus bergegas semula ke kecemasan.
Bila beritahu saya keguguran, MA terus bagi kertas kuning (separa kritikal). Masa nak bayar dekat kaunter hasil, staf situ suruh saya masuk dulu.
Tak lama tunggu dekat zon kuning, doktor PAC terus bawa saya masuk bilik pemeriksaan. Doktor terus selesaikan proses cuci rahim dekat situ juga.”
”Selesai rehat sekejap, doktor nak bagi ubat tapi saya beritahu dah ada ubat yang sama dari hari tu. Doktor kata, ‘Okey kalau macam tu, puan dah boleh balik sebab dah ada tarikh janji temu.’
Saya memang terpinga-pinga. Dari mula mendaftar sampai keluar hospital cuma ambil masa sejam setengah je, dan tak kena bayar walau satu sen pun. Tapi kali ni balik memang rasa kosong sebab ubat tak ambil, baby pun dah tak ada. Betul-betul balik melenggang,” kongsinya.
Berapa Hari Berpantang Keguguran?
Ramai wanita ingat orang bersalin je yang kena berpantang. Sebenarnya, ibu yang mengalami keguguran pun sangat perlukan masa berpantang untuk bagi peluang rahim sembuh dan pulihkan balik tenaga yang hilang.
Tempoh berpantang ni berbeza mengikut usia kandungan anda:
- Keguguran Awal (4-6 Minggu): Cukup sekadar berpantang ringkas selama 1 hingga 2 minggu. Pada waktu ni, luka pada rahim masih kecil dan proses pemulihan berlaku dengan agak cepat.
- Keguguran 7-10 Minggu: Disarankan berpantang selama 2 hingga 3 minggu. Ini disebabkan rahim dah mula membesar dan pendarahan yang keluar pun biasanya lebih banyak.
- Keguguran 11-12 Minggu: Ibu perlukan masa sekitar 3 hingga 4 minggu untuk berpantang. Tempoh ni penting supaya rahim dapat mengecut kembali ke saiz asal dengan baik.
- Keguguran Lewat (Lebih 12 Minggu): Disyorkan berpantang penuh selama 4 hingga 6 minggu. Keadaan badan ibu pada tahap ini hampir sama seperti wanita yang bersalin, jadi rahim dan hormon anda perlukan masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya.
Spotting Hamil Warna Apa?
Ramai wanita tertanya-tanya spotting hamil warna apa terutama ketika menunggu keputusan kehamilan atau berada pada awal trimester pertama.
Secara umum, spotting hamil warna apa biasanya bergantung kepada sama ada ia darah baru atau darah lama, tetapi kebanyakannya berwarna cerah dan sangat sedikit.
Warna Spotting Hamil Yang Normal
- Merah jambu (pinkish)
Warna paling biasa. Berlaku apabila sedikit darah bercampur dengan lendir serviks yang sering dikaitkan dengan pendarahan implantasi. - Coklat cair
Ini darah lama yang keluar perlahan. Masih normal selagi tidak banyak atau berbau. - Merah terang yang sangat sedikit
Kadang hanya setitik atau garis nipis, biasanya berlaku selepas hubungan intim atau pemeriksaan serviks kerana serviks lebih sensitif semasa hamil.
Kesimpulan
Mengalami keguguran bukanlah satu perkara yang mudah untuk dihadapi, sama ada dari sudut fizikal mahupun emosi. Sebab itulah penting untuk anda peka dengan setiap perubahan pada badan sendiri supaya tahu langkah seterusnya yang perlu diambil.
Sama ada tahu beza darah haid dan darah keguguran, dapatkanlah kepastian daripada pakar jika timbul sebarang keraguan.
Ibu-ibu rasa artikel ni membantu? Jangan lupa untuk share atau kongsikan artikel ini dengan rakan-rakan atau ahli keluarga yang lain. Mana tahu, maklumat ringkas ni dapat bantu tenangkan fikiran ibu-ibu di luar sana yang tengah keliru dan mencari jawapan.
8 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.