Momen nampak dua garis di UPT memang antara detik paling manis buat wanita. Tapi sayangnya, tak semua kehamilan dapat berjalan indah sampai ke penghujung. Ada ujian berat yang datang awal sangat, contohnya bila pendarahan mula keluar seawal lima minggu.

Pada fasa ni, janin tersangatlah kecil. Selalunya ibu belum sempat pun nak merasa buat scan pertama atau daftar buku pink di klinik. Sebab tu bila nampak gumpalan darah keluar, fikiran terus jadi tak tenteram.

Rasa takut dan keliru tu perkara biasa. Sebab tu penting untuk ibu tahu rupa sebenar gumpalan darah keguguran, punca hal ni jadi, dan berapa lama pendarahan tu akan berlarutan.

Apa Itu Gumpalan Darah Keguguran 5 Minggu?

Bila kandungan masuk 5 minggu, janin sebenarnya masih sangat kecil. Kadang-kadang ada ibu yang langsung belum sempat nak sahkan kehamilan dekat klinik, tapi tiba-tiba keluar pendarahan.

Gumpalan darah yang keluar masa keguguran awal ni biasanya berbentuk tisu atau darah beku pekat. Kalau ibu tengok betul-betul, teksturnya nampak macam hati ayam yang kecil atau cebisan daging lembut.

Ini sebenarnya gabungan embrio dan lapisan dinding rahim yang tak sempat nak membesar. Memang agak sukar nak bezakan gumpalan ni dengan darah haid biasa sebab warna lebih kurang sama, merah pekat atau kehitaman. Cuma bila perhati balik, gumpalan keguguran ni lebih padat dan agak berbeza teksturnya.

gumpalan darah keguguran 5 minggu
Bentuk gumpalan darah keguguran 5 minggu biasanya kelihatan seperti tisu lembut berwarna merah gelap.

Tanda-Tanda Gumpalan Darah Keguguran

Ramai wanita tidak sedar bahawa mereka sedang mengalami keguguran kerana ia berlaku terlalu awal, biasanya sebelum sempat membuat imbasan atau berjumpa doktor. Pada waktu ini, janin masih sangat kecil.

Namun begitu, ada beberapa tanda tanda gumpalan darah keguguran 5 minggu yang boleh membantu ibu mengenal pasti keadaan ini lebih awal.

1. Pendarahan Luar Biasa

Pendarahan banyak dan berketul adalah tanda utama gumpalan darah keguguran. Darah biasanya berwarna merah gelap atau kehitaman, dan kadang keluar dalam bentuk gumpalan darah keguguran yang besar atau panjang.

Jika darah keluar terlalu banyak atau disertai rasa lemah, segera ke hospital untuk pemeriksaan. Pendarahan ini menandakan rahim sedang mengeluarkan sisa kehamilan.

2. Sakit Bawah Perut Seperti Senggugut

Sakit bawah perut berlaku kerana rahim mengecut untuk mengeluarkan tisu janin. Rasanya seperti senggugut kuat atau kontraksi ringan. Jika sakit datang berulang atau menjalar ke belakang, ia mungkin tanda gumpalan darah keguguran 5 minggu sedang keluar secara semula jadi.

3. Hilang Simptom Kehamilan

Apabila janin berhenti berkembang, hormon kehamilan menurun dan simptom seperti loya, payudara tegang atau cepat letih hilang. Jika tanda ini berlaku serentak dengan pendarahan, besar kemungkinan ia berkaitan dengan gumpalan darah keguguran 5 minggu.

Bentuk Gumpalan Darah Keguguran 5 Minggu

Bila kandungan baru masuk 5 minggu, saiz embrio sebenarnya sangat kecil, lebih kurang 2 hingga 4 milimeter sahaja. Sebab tu kalau berlaku keguguran pada waktu ni, agak susah nak nampak bentuk janin dengan mata kasar.

Selalunya yang keluar cuma gumpalan darah. Antara ciri atau bentuk ketulan yang biasa ibu boleh perhatikan:

  • Warna merah gelap atau kehitaman
  • Tekstur agak lembut, lembik dan berlendir
  • Ketulan berbentuk bulat atau memanjang, kadang-kadang ada tisu kelabu halus

Kalau anda perasan ada ketulan macam ni keluar bersama pendarahan banyak serta rasa senggugut yang kuat, tolong jangan panik tapi jangan pandang ringan juga ya.

Apapun, jangan cepat buat andaian sendiri. Sebaiknya ibu terus jumpa doktor untuk buat pemeriksaan lanjut bagi memastikan sama ada kehamilan masih selamat atau sebaliknya.

gumpalan darah keguguran 5 minggu
Tanda tanda gumpalan darah keguguran 5 minggu selalunya bermula dengan spotting.

Pengalaman Keguguran 7 Minggu

Seorang ibu @shsyazulkrn telah berkongsikan pengalaman keguguran waktu usia kandungan 7 minggu.

“Mula-mula doktor bagi masa seminggu untuk tunggu dia turun secara semula jadi. Tapi selepas lebih seminggu masih tiada tanda-tanda, saya dirujuk ke hospital. Dekat hospital pun, doktor bagi janji temu seminggu lagi untuk tunggu proses tu berlaku sendiri.

Dipendekkan cerita, selepas tiga hari balik dari hospital, saya mula pendarahan dan kena contraction yang maha dahsyat. Ya Allah, sakit dia memang luar biasa, sakit sangat!

Masa bersalin czer sebelum ni pun saya tak ada sampai menangis macam ni, tapi bila kena sakit gugur ni memang tersangat sakit. Saya terus bergegas ke hospital. Bila sampai sana, doktor terus buat prosedur cuci on the spot. Ajaibnya, sebaik sahaja selesai cuci, terus hilang semua sakit yang melampau tadi.

Saya mungkin tak berapa bernasib baik sebab janin tak keluar sepenuhnya sendiri, walaupun sebenarnya dah hampir nak turun. Tapi itulah, pengalaman sakit tu memang tak dapat saya lupakan sampai bila-bila,” kongsinya.

Kenapa Kandungan Boleh Gugur?

Pernah tak ibu terfikir, kenapa kandungan boleh gugur sedangkan kita dah jaga makan, rehat dan ambil vitamin secukupnya? Bila perkara ini berlaku, perasaan sedih dan rasa bersalah tu memang sukar nak digambarkan.

Tapi ibu kena ingat, keguguran di peringkat awal selalunya bukan berpunca daripada kesilapan atau kecuaian ibu sendiri. Secara perubatan, ada beberapa faktor utama yang kerap menjadi punca:

  • Dinding Rahim Lemah: Jika rahim ada sejarah pembedahan, jangkitan atau bentuk yang tidak normal sejak lahir, ia menjadi terlalu lemah untuk menampung janin yang sedang membesar.
  • Sistem Imun Agresif: Ada kalanya sistem imun ibu tersalah anggap janin sebagai ‘benda asing’, lalu bertindak menyerangnya. Isu autoimun seperti penyakit lupus kerap menjadi puncanya.
  • Faktor Umur dan Kualiti Telur: Hamil pada usia 35 tahun ke atas meningkatkan risiko keguguran kerana kualiti telur merosot secara semula jadi, sekali gus menjejaskan perkembangan janin.
  • Pengambilan Ubat Sembarangan: Pengambilan ubat tanpa nasihat doktor atau sebarang herba tradisional yang tidak pasti kandungannya boleh memberi kesan toksik pada kehamilan awal.
  • Kondisi Kesihatan Dalaman: Masalah seperti PCOS, fibroid, jangkitan rahim atau gangguan tiroid boleh mengganggu persekitaran rahim dan menyebabkan janin sukar menempel dengan kukuh.

Apa Perlu Buat Jika Keluar Gumpalan Darah?

Jika anda mengalami bentuk gumpalan darah keguguran, langkah terbaik ialah:

  1. Jangan panik. Duduk atau baring untuk elak rasa pening.
  2. Kumpul gumpalan tersebut jika boleh, dan bawa ke klinik untuk diperiksa.
  3. Segera ke hospital jika pendarahan terlalu banyak atau anda rasa lemah.
  4. Doktor akan buat ultrasound untuk sahkan sama ada rahim sudah kosong atau masih ada tisu tertinggal.
  5. Rehat secukupnya selepas kejadian, rahim perlukan masa untuk pulih.

Kadang-kadang, doktor mungkin berikan ubat untuk bantu keluarkan sisa tisu atau melakukan prosedur D&C jika perlu.

Berapa Hari Berpantang Keguguran?

Selepas melalui keguguran, tubuh wanita perlukan masa untuk pulih. Jadi, berapa hari perlu berpantang keguguran? Ia bergantung pada usia kandungan dan keadaan rahim.

Untuk keguguran 5 minggu, tempoh berpantang disarankan antara 14 hingga 30 hari. Ibu digalakkan berehat sepenuhnya, elak angkat benda berat dan amalkan makanan panas seperti halia, kurma serta sup ayam.

Jika keguguran berlaku selepas prosedur D&C, berpantang keguguran boleh mencecah 6 minggu, sama seperti tempoh berpantang selepas bersalin.

gumpalan darah keguguran 5 minggu
Berapa hari berpantang keguguran?

Berapa Lama Darah Keluar Selepas Keguguran?

Ramai ibu tertanya-tanya, berapa lama darah keluar selepas keguguran? Secara purata, darah akan keluar selama 1 hingga 2 minggu selepas janin dikeluarkan.

Pada minggu pertama, darah keluar banyak dan berketul, kemudian semakin sedikit dan berubah warna menjadi coklat muda. Jika darah masih keluar lebih daripada 3 minggu, segera ke hospital untuk pemeriksaan.

Ini mungkin tanda masih ada sisa gumpalan darah keguguran 5 minggu dalam rahim. Tempoh berapa lama darah keluar selepas keguguran juga bergantung kepada saiz kandungan, tahap pengecutan rahim dan sama ada keguguran berlaku sepenuhnya atau tidak.

Cara Elak Keguguran Berulang

Walaupun tidak semua keguguran boleh dielak, ada beberapa langkah pencegahan yang mengurangkan risiko:

  • Ambil asid folik dan zat besi sebelum dan ketika mengandung.
  • Elak rokok, alkohol dan kafein berlebihan.
  • Amalkan gaya hidup sihat seperti tidur cukup, makan seimbang dan kawal stres.
  • Jika ada sejarah bentuk gumpalan darah keguguran sebelum ini, maklumkan kepada doktor supaya pemantauan lebih rapi dibuat pada awal kehamilan.

Bila Perlu Jumpa Doktor Segera?

Segera ke hospital jika berlaku:

  • Pendarahan berlebihan (tukar pad setiap 30 minit).
  • Demam, bau tidak menyenangkan dari faraj.
  • Sakit kuat di bawah perut.
  • Rasa pitam atau pening melampau.

Ini mungkin tanda rahim belum bersih sepenuhnya atau berlaku jangkitan.

Kesimpulan

Gumpalan darah keguguran 5 minggu ialah pengalaman yang sangat menyedihkan, namun penting untuk difahami bahawa ia bukan salah sesiapa.

Kebanyakan kes berlaku secara semula jadi kerana janin tidak berkembang dengan normal.

Kenali bentuk gumpalan darah keguguran, ambil tindakan segera jika ia berlaku, dan jangan abaikan penjagaan selepas keguguran. Dengan rehat dan rawatan yang betul, kebanyakan wanita boleh kembali sihat serta berpeluang hamil semula dengan selamat di masa akan datang.

Jika anda baru mengalami keguguran, jangan hadapi sendirian. Dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital berdekatan untuk pastikan rahim bersih dan kesihatan terjaga.

Author

  • Siti Nur Zuraikha Yaacob

    Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

    In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

    My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

10 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Symptoms -Miscarriage
  2. What really happens during a miscarriage
  3. Signs & symptoms
  4. Miscarriage
  5. Miscarriage
  6. Incomplete miscarriage
  7. Treating miscarriage
  8. Faktor risiko keguguran
  9. Keguguran: Faktor Risiko
  10. Spotting vs Keguguran Awal Kehamilan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.