Seronoknya bila tengok test kit tunjuk dua garis, lagi-lagi ibu yang memang plan nak ada anak tahun ni. Tapi tahukah ibu, paras hormon hCG dalam darah sebenarnya boleh bagi petunjuk awal sama ada kehamilan itu sihat atau sebaliknya?

Bagi kes kandungan luar rahim (ektopik), hormon hCG selalunya naik perlahan dan tak selari dengan usia kandungan. Ramai ibu terlepas pandang tanda awal ni sebab ingatkan senggugut biasa. Sebab tu penting untuk kita tahu apa yang berlaku pada badan dari awal agar dapat mengenal pasti simptom dan solusinya.

Jom tengok bagaimana untuk kenal pasti bacaan HCG bagi kandungan luar rahim.

Kenapa Terjadi Kandungan Luar Rahim?

Kandungan luar rahim berlaku apabila janin melekat di luar rahim, selalunya di tiub fallopio.

Dalam keadaan normal, telur yang disenyawakan akan bergerak ke rahim untuk implantasi.

Tetapi dalam kes kehamilan ektopik, perjalanan ini terganggu.

Antara punca kandungan luar rahim yang sering dikaitkan adalah:

  • Tiub fallopio tersumbat atau rosak akibat jangkitan, pembedahan, atau keradangan.
  • Sejarah penyakit radang pelvis (PID) yang merosakkan saluran reproduktif.
  • Endometriosis yang boleh menyebabkan parut pada tiub fallopio.
  • Penggunaan rawatan kesuburan yang meningkatkan risiko implantasi di luar rahim.

Apabila masalah ini berlaku, bacaan hCG kandungan luar rahim biasanya tidak meningkat dengan kadar normal.

Dalam kehamilan biasa, hormon hCG akan berganda setiap 48-72 jam pada trimester pertama, tetapi untuk kes luar rahim, peningkatannya lebih perlahan.

Tanda-Tanda Mengandung Luar Rahim

bacaan hcg kandungan luar rahim
Kenali tanda kandungan luar rahim.

Kandungan luar rahim boleh jadi senyap tanpa gejala, pada awalnya.

Tapi lama-kelamaan, tanda-tanda mengandung luar rahim berikut mungkin muncul:

  1. Sakit perut atau pelvis. Biasanya sebelah sahaja, semakin lama semakin kuat.
  2. Pendarahan faraj. Ringan atau seperti haid, tapi berlaku di luar waktu haid.
  3. Bahu sakit. Tanda darah terkumpul akibat pendarahan dalaman.
  4. Pening atau pitam disebabkan kehilangan darah yang banyak.

Kalau ibu sedang hamil dan mengalami gejala ini, doktor biasanya akan memeriksa bacaan hCG kandungan luar rahim bersama dengan imbasan ultrasound untuk mengesahkan diagnosis.

UPT Positif Tapi Mengandung Luar Rahim?

Bila check guna UPT (urine pregnancy test) dan keluar dua garis, automatik otak fikir mengenai journey melalui fasa kehamilan dan ada anak nanti. Tapi, tahu tak yang ujian air kencing tetap boleh jadi positif walaupun janin menempel di tempat salah?

Sebabnya mudah! Badan tetap hasilkan hormon hCG sebaik sahaja persenyawaan berlaku. Beza utamanya cuma pada cara hormon ni melonjak naik.

  • Hamil normal: Paras hCG lebih cepat berganda. Harini bacaan 1,000 mIU/mL, selang dua hari boleh melompat ke 2,000 atau 3,000 mIU/mL.
  • Kandungan ektopik: Hormon lambat naik. Dari 1,000 mIU/mL, mungkin naik sampai 1,200 mIU/mL je selepas dua hari.

Sebab tu bila wanita ada rasa tak sedap badan atau sakit di sebelah perut, doktor tak bergantung pada UPT semata-mata. Ujian darah akan dibuat berulang kali untuk lihat sama ada graf hCG naik secara sihat atau mendatar.

Jadual Perbandingan Bacaan hCG Kandungan Luar Rahim vs Normal

bacaan hcg kandungan luar rahim
Jadual lengkap perbandingan bacaan hCG normal vs luar rahim mengikut minggu.
Minggu KehamilanBacaan hCG Kehamilan Normal (mIU/mL)Bacaan hCG Kandungan Luar Rahim (mIU/mL)Catatan Penting
3 – 4 minggu5 – 4265 – 100Kenaikan perlahan, tidak berganda seperti normal
4 – 5 minggu19 – 7,34010 – 1,000Selalunya di bawah julat normal
5 – 6 minggu1,080 – 56,500500 – 5,000Kenaikan tidak capai dua kali ganda setiap 48-72 jam
6 – 7 minggu7,650 – 229,0001,000 – 15,000Perbezaan ketara mula jelas pada ujian darah
7 – 8 minggu25,700 – 288,0002,000 – 20,000Trend kenaikan semakin perlahan
8 – 10 minggu25,700 – 288,0002,500 – 25,000Bacaan mendatar atau menurun jika tiub pecah
10 minggu ke atas25,000 – 289,000< 25,000Bacaan rendah walaupun usia kandungan meningkat

Nota:

  • Bacaan ini adalah anggaran purata. Setiap wanita mungkin ada variasi sedikit.
  • Dalam kes kandungan luar rahim, bacaan hCG jarang sekali berganda seperti kehamilan normal.
  • Doktor biasanya akan memantau bacaan ini setiap 2 ke 3 hari untuk melihat trend kenaikan atau penurunan.

Pengalaman Mengandung Luar Rahim

Dalam perkongsian Dr Samhan di Instagram miliknya mengenai kandungan luar rahim, ramai ibu-ibu yang turut berkongsi pengalaman mereka.

Antaranya,

“Pengalaman ectopic pregnancy tahun 2020. Tinggal sebelah tiub & dengan sebelah tiub ni direzekikan dengan 2 cahaya mata sekarang. Alhamdulilah. Moga yang masih menunggu zuriat, diberikan kandungan yg sihat.”

“Teringat kenangan mengandung luar rahim 2 tahun lepas. Sakit perut memang tak tertahan. Alhamdulillah waktu tu Dr suggest untuk monitor bacaan Beta HCG, bacaan semakin menurun dan tak perlu buang tiub fallopian.”

Boleh Ke Kandungan Ektopik Diselamatkan?

Secara umumnya, memang tak boleh. Janin langsung tiada ruang untuk membesar di luar rahim. Tiub fallopio tu nipis sangat dan bukannya elastik macam rahim, jadi kalau biarkan janin terus membesar, tiub boleh pecah dan buatkan pendarahan dalaman yang sangat bahaya pada bakal ibu.

Bila doktor sahkan kes ektopik, tindakan pantas memang perlu diambil. Ini antara pilihan rawatan yang biasa doktor cadangkan:

  • Suntikan Methotrexate: Sesuai kalau dikesan sangat awal dan tiub belum pecah. Ubat ni bertindak menghentikan sel daripada terus membesar secara semula jadi.
  • Pembedahan Laparoskopi: Pembedahan lubang kecil untuk keluarkan janin, sambil doktor cuba selamatkan tiub fallopio kalau belum terjejas teruk.
  • Salpingektomi: Prosedur buang terus tiub fallopio yang dah rosak atau pecah demi nak selamatkan nyawa ibu.

Lepas rawatan selesai, urusan belum habis lagi ya. Ibu still kena buat ujian darah secara berkala sampai bacaan hCG turun betul-betul jadi sifar, maksudnya semua tisu kehamilan dah bersih sepenuhnya.

Cara Merawat Kandungan Luar Rahim

Rawatan bergantung pada tahap keseriusan kes:

  1. Pemantauan rapi. Jika bacaan hCG rendah dan menurun secara semula jadi, doktor mungkin hanya memantau tanpa rawatan agresif.
  2. Ubat methotrexate sesuai untuk kes awal. Ia berfungsi menghentikan pembahagian sel janin.
  3. Pembedahan perlu jika tiub sudah pecah atau risiko tinggi.

Sepanjang rawatan, bacaan hCG kandungan luar rahim akan diperiksa secara berkala untuk memastikan tiada lagi tisu kehamilan tertinggal.

Kos Pembedahan Kandungan Luar Rahim di Hospital Kerajaan

bacaan hcg kandungan luar rahim
Dapatkan konsultasi doktor untuk mengetahui lebih lanjut tentang rawatan kandungan luar rahim.

Ramai ibu risau soal kos.

Di hospital kerajaan Malaysia, pembedahan untuk kandungan luar rahim biasanya sangat rendah berbanding swasta.

Untuk warganegara, kos boleh jadi sekitar RM500 ke bawah, malah ada yang percuma jika menggunakan surat jaminan atau layak pengecualian.

Di hospital swasta, kosnya boleh mencecah RM8,000 – RM15,000 bergantung pada jenis pembedahan dan rawatan susulan.

Walau di mana pun rawatan dibuat, pemantauan bacaan hCG kandungan luar rahim tetap menjadi prosedur wajib bagi memastikan ibu benar-benar pulih.

Langkah Segera Boleh Selamatkan Nyawa Ibu

Bacaan hCG kandungan luar rahim adalah petunjuk penting yang boleh membantu doktor mengesan masalah lebih awal sebelum komplikasi serius berlaku.

Walaupun kandungan luar rahim tidak boleh diselamatkan, namun diagnosis awal dan rawatan segera boleh menyelamatkan nyawa ibu.

Kalau anda hamil dan mengalami gejala luar biasa seperti sakit perut sebelah, pendarahan tidak normal atau pening melampau, segera buat pemeriksaan.

Jangan hanya bergantung pada UPT, tetapi buat ujian darah hCG dan imbasan untuk kepastian.

Jangan tunggu sehingga gejala menjadi teruk.

Kalau anda rasa ada tanda-tanda yang mencurigakan, cepat berjumpa doktor untuk buat pemeriksaan bacaan hCG.

Nyawa anda jauh lebih berharga dari rasa takut berjumpa doktor di hospital.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

8 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. Ectopic Pregnancy
  2. Ectopic Pregnancy With Low Beta-Human Chorionic Gonadotropin (HCG) Managed With Methotrexate and Progressed to Rupture
  3. Ectopic pregnancy
  4. Expectant Management
  5. Relationship of Beta-Human Chorionic Gonadotropin to Ectopic Pregnancy Detection and Size
  6. Ectopic Pregnancy Management: Tubal and interstitial
  7. Mengandung Luar Rahim
  8. Kehamilan Luar Rahim

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.