Bila dah selamat bersalin, bermulalah fasa berpantang. Bab makan ni memang paling banyak pantang larang, kan? Ramai ibu mula risau dan check senarai buah yang tak boleh dimakan. Mana taknya, bimbang luka lambat sembuh, perut masuk angin atau badan rasa sejuk mencucuk.

Sebenarnya, buah-buahan memang bagus untuk tambah tenaga dan vitamin. Tapi hakikatnya, bukan semua ‘mesra’ dengan badan yang tengah nak pulih tu. Ada jenis buah yang bila makan, terus rasa perut memulas, darah nifas terganggu atau sistem penghadaman jadi serba tak kena.

Kenapa Perlu Elak Sesetengah Buah Semasa Berpantang?

Bila dah selamat bersalin, badan ibu memang akan rasa lembik sangat. Maklumlah, hormon tengah kucar-kacir, rahim sedang gigih mengecut balik dan luka bersalin masih baru dan pedih.

Dalam fasa kritikal ni, bab makan memang tak boleh main redah saja. Ramai ingat semua buah elok untuk kesihatan, tapi hakikatnya ada jenis yang boleh bikin masalah kalau dimakan masa badan tengah sensitif.

Antara sebab kenapa ibu berpantang kena ‘sekat’ sikit nafsu nak makan sesetengah buah:

  • Buah bersifat ‘sejuk’: Mudah buat perut kembung, badan berangin dan rasa ngilu-ngilu pada sendi.
  • Buah terlalu masam: Kandungan asid yang tinggi boleh melambatkan proses luka jahitan nak bertaut semula.
  • Buah tinggi gas: Contohnya macam jambu batu atau tembikai. Bila makan, sistem penghadaman terus terganggu dan perut terasa sebu.
  • Kesan pada darah nifas: Sesetengah buah boleh mengganggu aliran nifas, sama ada buat nifas jadi lambat kering atau keluar terlampau banyak.
buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang
Buah yang tidak boleh dimakan selepas bersalin agar ibu cepat sihat.

Jenis Buah Yang Tidak Boleh Dimakan Ketika Berpantang

Berikut ialah antara buah yang perlu dielakkan ketika pantang dan sebabnya:

1. Nanas

Nanas terkenal sebagai buah yang ‘tajam’. Ia boleh menyebabkan kontraksi pada rahim, dan bagi ibu yang baru bersalin, ini boleh menjejaskan proses pengecutan rahim serta menambah rasa sakit pada perut.

Ia juga dikatakan boleh menyebabkan darah nifas keluar berlebihan.

2. Tembikai

Walaupun menyegarkan, tembikai bersifat sangat sejuk. Bila dimakan semasa pantang, ia boleh menyebabkan badan sejuk, sendi lenguh dan perut rasa tidak selesa. Ibu juga mudah rasa menggigil dan sakit urat.

3. Jambu Batu

Buah ini keras dan tinggi gas. Bila dimakan semasa pantang, ia boleh menyebabkan masalah sembelit atau angin dalam perut. Ia juga sukar dihadam jika dimakan tanpa cukup air.

4. Mangga Muda

Mangga muda rasanya masam dan boleh menyebabkan perut berasid. Rasa masam itu juga boleh membuat luka rahim terasa pedih dan lambat sembuh.

5. Betik

Betik juga tergolong dalam buah yang perlu dielakkan ketika pantang kerana sifatnya yang sejuk dan boleh menyebabkan perut memulas.

Walaupun betik kaya dengan serat dan baik untuk pencernaan, bagi ibu berpantang yang masih lemah, ia boleh menyebabkan perut kembung dan rasa tidak selesa.

Selain itu, ada kepercayaan bahawa betik boleh mengganggu keseimbangan hormon selepas bersalin.

6. Durian

Durian sering disebut sebagai buah yang perlu dielakkan ketika pantang kerana bersifat panas dan berangin.

Meskipun rasa buah durian sedap dan kaya tenaga, pengambilan durian boleh menyebabkan peningkatan suhu badan, panas dalam serta gangguan pada penghadaman.

Ibu berpantang yang makan durian berisiko mengalami sakit perut, cirit-birit atau sembelit.

7. Pisang Masak Hijau

Pisang masak hijau antara buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang kerana boleh menyebabkan angin dan rasa tidak selesa pada perut.

Walaupun pisang mengandungi kalium dan serat yang baik, bagi ibu berpantang yang perutnya masih sensitif, ia boleh menyebabkan kembung dan sukar membuang angin.

8. Nangka dan Cempedak

Nangka dan cempedak juga tersenarai dalam buah yang tidak boleh dimakan selepas bersalin. Kedua-duanya bersifat berangin dan boleh menyebabkan kembung perut, sendawa serta sakit sendi.

9. Manggis

Manggis juga buah yang tidak boleh dimakan selepas bersalin kerana bersifat sejuk dan boleh menyebabkan darah nifas tidak keluar dengan lancar.

10. Ciku

Ciku termasuk dalam buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang kerana boleh menyebabkan sembelit dan sistem penghadaman menjadi perlahan.

11. Langsat

Langsat tergolong dalam buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang kerana boleh menyebabkan angin dan rasa sejuk dalam badan.

12. Belimbing

Belimbing ialah buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang kerana bersifat sejuk dan boleh melambatkan proses pemulihan luka jahitan bersalin.

13. Epal Hijau

Epal hijau juga antara buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang kerana rasanya masam dan boleh menyebabkan perut kembung.

buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang
Buah yang tidak boleh dimakan selepas bersalin agar ibu cepat sihat.

Buah Yang Boleh Makan Waktu Berpantang

Jangan risau, takkanlah sepanjang 44 hari langsung tak boleh makan buah, kan? Ada banyak lagi pilihan buah yang selamat, kaya vitamin C untuk pulihkan luka dan tinggi serat untuk elak sembelit.

1. Buah Kurma

Kurma adalah raja makanan berpantang. Kurma kaya dengan zat besi untuk menggantikan sel darah merah yang hilang semasa bersalin, memberikan tenaga segera serta membantu melancarkan pengeluaran susu ibu (milk booster).

2. Buah Epal Merah

Epal merah sangat bagus untuk penghadaman, tidak terlalu berasid dan mengandungi serat yang membantu mengelakkan masalah sembelit. Pastikan dibuang kulitnya jika bimbang racun perosak atau dibasuh bersih.

3. Buah Oren Sunkist

Berbeza dengan buah sitrus yang masam, oren manis jenis Sunkist kaya dengan Vitamin C yang amat diperlukan untuk pemulihan tisu dan luka bersalin. Vitamin C membantu sintesis kolagen supaya luka cepat bertaut.

4. Buah Naga

Buah naga (terutamanya jenis isi merah) sangat kaya dengan antioksidan, cecair yang stabil dan serat. Ia sangat membantu melembutkan najis supaya ibu tidak perlu meneran apabila membuang air besar.

5. Buah Anggur

Anggur yang manis (bukan yang masam) mengandungi resveratrol dan antioksidan tinggi yang membantu meningkatkan sistem imun badan ibu yang sedang lemah.

Pilihan Buah Selamat Untuk Ibu Bersalin Czer

Ibu yang melalui pembedahan caesarean perlu lebih berhati-hati. Luka pembedahan melibatkan beberapa lapisan tisu dan otot perut, jadi elakkan sama sekali makanan yang boleh menyebabkan perut kembung atau terbatuk-batuk.

Tak semua buah dalam senarai ni selamat untuk ibu yang baru lepas bersalin czer, terutamanya tembikai dan sesetengah jenis pisang.

  • Betik (Masak): Ini memang juara untuk elak sembelit. Bila isi lembut dan masak ranum, ia bantu melawaskan tanpa buat perut memulas. Jahitan czer pun selamat tak payah nak meneran.
  • Oren Sunkist Manis: Tinggi Vitamin C untuk bantu tisu luka czer cepat cantum balik. Pastikan ibu pilih yang betul-betul manis, elak yang masam sebab boleh buat ulu hati pedih.
  • Avokado: Lemak sihat (good fats) dalam avokado sangat bagus untuk beri tenaga bertahan lama dan bantu pulihkan sel badan.
  • Anggur (Merah/Hitam Manis): Kaya antioksidan dan bantu tambah darah. Makan beberapa biji sehari dah cukuplah untuk bagi badan rasa segar.

    Buah yang boleh dimakan dalam pantang czer sebaiknya diambil dalam kuantiti sederhana dan dimakan pada suhu bilik, bukan sejuk dari peti ais.

    buah yang tidak boleh dimakan ketika berpantang
    Buah yang boleh dimakan dalam pantang czer dapat mengelakkan masalah sembelit.

    Ibu Berpantang Boleh Makan Pisang Goreng Ke?

    Jawapan pendeknya: Sebaiknya elakkan dulu, terutamanya pada 2-3 minggu pertama berpantang.

    Walaupun bau pisang goreng tu memang cukup menggoda, ada beberapa sebab kenapa ia bukan pilihan yang baik untuk ibu yang tengah dalam proses nak pulih:

    Sebab Kenapa Pisang Goreng ‘Kena Hold’ Dulu

    Ini sebab kenapa ibu kena berpantang dulu dari makan pisang goreng:

    1. Berminyak dan Sangat Berminyak

    Makanan bertepung yang digoreng rendam (deep-fried) mengandungi lemak tepu yang tinggi. Minyak yang berlebihan ni susah nak dicerna, boleh menyebabkan pedih ulu hati, cirit-birit atau perut rasa sebu dan memulas.

    2. Risiko Sembelit dan Luka Terbuka

    Gabungan tepung, minyak dan pisang jenis tertentu boleh melambatkan pergerakan usus. Bila sembelit, ibu kena meneran masa membuang, benda ni sangat bahaya untuk luka jahitan (sama ada czer atau normal).

    3. Pisang Yang Digunakan

    Kebanyakan pisang goreng guna pisang nangka, pisang tanduk atau pisang nipah. Sesetengah jenis pisang ni boleh mencetuskan angin dan kembung perut bagi ibu yang badannya tengah sensitif.

    Macam Mana Kalau Teringin Sangat?

    Kalau teringin nak makan juga (mungkin bila dah masuk hujung-hujung fasa pantang, contohnya selepas hari ke-30):

    • Makan Sekadar Merasa: Ambil separuh atau 1 potong kecil sahaja, jangan makan sepinggan!
    • Lap Minyak: Lap minyak pada pisang tu guna tisu dapur sampai betul-betul kering.
    • Guna Air Fryer: Kalau buat sendiri kat rumah, guna air fryer tanpa minyak atau dengan sedikit je minyak.
    • Alternatif Lebih Selamat: Makan pisang segar yang masak ranum (seperti pisang emas atau pisang berangan). Ia jauh lebih berkhasiat, elak sembelit dan tak berisiko bikin perut kembung.

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, ibu berpantang tidak perlu elak semua jenis buah. Cuma, kena lebih peka dan elakkan buah yang bersifat ‘sejuk’, bergas atau terlalu berasid seperti nangka, durian, nenas dan tembikai.

    Langkah ini penting bagi mencegah perut kembung, masalah penghadaman serta mengelakkan gangguan pada pemulihan luka dan darah nifas.

    Fokuskan pada buah yang selamat dan mesra perut seperti kurma, epal merah, betik dan oren manis. Pemilihan buah yang betul bukan sahaja membekalkan tenaga dan mengelakkan sembelit, malah membantu proses pemulihan badan ibu baru bersalin.

    Jangan lupa untuk kongsikan artikel ini dengan ibu-ibu berpantang lain. Mana tahu, maklumat ringkas ni dapat bantu memudahkan fasa pemulihan mereka juga.

    Author

    • Siti Nur Zuraikha Yaacob

      Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

      In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

      My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

    10 Sumber Rujukan

    Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

    1. Eat Healthy While Breastfeeding: Quick Tips
    2. Postpartum
    3. Breastfeeding nutrition: Tips for moms
    4. Postpartum Nutrition – Your Road To Recovery
    5. Recommended Fruits and Vegetables for Postpartum Mothers
    6. Breastfeeding and diet
    7. What to eat before, during and after pregnancy
    8. MITOS PEMAKANAN IBU SEMASA BERPANTANG
    9. Makanan Berpantang untuk Ibu Bersalin
    10. Cara Pemakanan Berpantang

    Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.