Bila doktor tiba-tiba sebut pasal induce belon, mestilah rasa gabra, kan? Tambah lagi buat ibu yang pertama kali hamil. Mesti terbayang bukan-bukan tentang belon yang nak dimasukkan tu.
Sebenarnya, prosedur ni biasa dilakukan bila kandungan melepasi tarikh (overdue) atau ada masalah kesihatan tertentu.
Jom fahami apa itu induce belon, tempoh masa serta pengalaman ibu-ibu lain yang pernah melaluinya sebagai persediaan bersalin anda.
Apa Itu Induce Belon (Foley Catheter)?
Secara ringkasnya, induce belon atau nama perubatannya Foley catheter induction ialah kaedah merangsang bukaan pintu rahim secara fizikal. Kaedah ini selalunya jadi pilihan awal doktor sebelum beralih kepada ubat induce.
Bagi yang belum boleh bayangkan lagi, doktor akan masukkan tiub getah yang sangat halus ke bahagian serviks. Hujung tiub itu kemudian diisi cecair saline supaya ia mengembang seperti belon kecil di dalam rahim.
Berikut cara belon ini bantu persediaan bersalin ibu:
- Memberi tekanan lembut: Belon yang mengembang itu bertindak menekan serviks dari dalam. Ini secara bertahap membantu melembutkan, menipiskan dan membuka laluan bersalin.
- Jatuh sendiri bila bersedia: Ibu tak perlu risau belon tersangkut. Apabila pintu rahim dah mula terbuka sekitar 3 ke 4 cm, tiub belon tersebut selalunya akan tertanggal dan keluar dengan sendirinya.
- Kaedah tanpa hormon: Kelebihan utama prosedur ini ialah ia tak melibatkan ubat hormon sintetik. Tubuh merembeskan hormon semula jadi hasil tekanan belon tersebut, jadi risikonya lebih terkawal.
Berapa Lama Tempoh Tindak Balas Induce Belon?

Tempoh masa untuk prosedur induce belon menunjukkan hasil berbeza mengikut keadaan serviks dan tindak balas tubuh ibu.
Secara umumnya, belon ini akan dibiarkan bertapak di pintu rahim sekitar 12 hingga 24 jam sebelum pemeriksaan seterusnya dilakukan oleh pasukan perubatan.
Sesetengah ibu agak bertindak balas cepat iaitu seawal 6 jam sahaja belon dah boleh jatuh sendiri tanda bukaan rahim dah bertambah. Namun, ada juga situasi di mana prosesnya memakan masa lebih panjang dan berjalan agak perlahan hingga keesokan harinya.
Semasa belon berada di dalam, ibu sebenarnya tak perlu terlantar sepanjang masa dan masih boleh bergerak secara perlahan.
Malah, berjalan santai sekitar bilik wad sangat digalakkan kerana gabungan pergerakan badan dan daya graviti membantu menurunkan kedudukan kepala bayi untuk menekan laluan lahir.
Sekiranya selepas tempoh 24 jam pintu rahim masih belum terbuka mencukupi, doktor biasanya akan berbincang untuk menggunakan kaedah susulan.
Langkah seterusnya mungkin melibatkan induce ubat seperti prostaglandin atau bantuan drip oxytocin bagi memulakan kontraksi bersalin yang lebih teratur.
Induce Belon Sakit Tak?
Soalan paling popular tentang jenis induce ini adalah: “Induce belon sakit tak?” Jawapan jujur ya, tapi boleh tahan.
Semasa doktor masukkan belon, ibu mungkin akan rasa tak selesa, pedih atau tekanan di bahagian bawah perut dan faraj. Tapi prosedur ni biasanya cepat, sekitar 5 hingga 10 minit je.
Selepas belon dipasang, rasa sengal dan tekanan mungkin berterusan selama beberapa jam.
Ada ibu kata macam rasa senggugut kuat, ada juga yang kata cuma rasa “berat” di bawah perut.Kalau rasa sakit sangat, doktor boleh bagi ubat tahan sakit ringan atau suruh ibu mandi air suam untuk kurangkan ketegangan otot.
Yang penting, cuba relaks sebab semakin tenang, semakin mudah badan terima proses ni.
Induce Belon vs Ubat: Mana Lebih Baik?
Ramai juga tertanya, antara induce belon vs ubat, mana satu lebih berkesan dan selesa? Jawapannya bergantung kepada situasi ibu.
Indius belon lebih “semula jadi” sebab ia tak gunakan hormon buatan. Ia hanya bantu rangsang bukaan rahim secara mekanikal. Jadi, risiko komplikasi seperti kontraksi terlalu kuat atau tekanan darah jatuh agak rendah.
Induce ubat pula (macam prostaglandin atau oxytocin drip) guna bahan kimia untuk rangsang kontraksi rahim. Kesan dia lebih cepat, tapi kadang boleh jadi terlalu kuat sampai ibu rasa sakit yang lebih intensif.
Biasanya doktor akan mula dengan induce belon dulu, dan kalau tak menjadi dalam 24 jam, baru sambung dengan ubat. Gabungan dua kaedah ni sering berjaya bantu ramai ibu bersalin tanpa perlu pembedahan caesarean.
Pengalaman Ibu-Ibu
Memikirkan prosedur induce belon mungkin buat mana-mana ibu rasa berdebar, tetapi perkongsian daripada pengalaman ibu-ibu yang pernah melaluinya boleh berikan sedikit ketenangan.
Sebagaimana perkongsian seorang ibu di laman Threads, dia sendiri baharu sahaja melahirkan anak keempatnya menerusi kaedah induce belon ini. Biarpun ini merupakan kehamilan keempat, cabaran tetap ada. Namun alhamdulillah, proses kelahiran kali ini dapat dilalui dengan selamat dan dipermudahkan.

Setiap ibu memang mempunyai tahap ketahanan sakit dan respons badan yang berbeza. Ada yang menganggap rasa ngilu sewaktu belon dimasukkan itu seperti senggugut biasa, manakala sesetengah ibu rasa kontraksi datang agak cepat selepas itu.
Apa yang penting, kunci utama semasa melalui proses ini ialah kekal tenang, banyakkan berdoa dan bersiap sedia fizikal serta mental untuk menyambut kehadiran orang baru.
Cara Cepatkan Bukaan Selepas Induce Belon

Bila dah pasang belon, mesti ibu nak tahu cara cepatkan bukaan selepas induce belon, kan?
Ini antara tip yang boleh bantu:
- Banyakkan berjalan atau berdiri. Pergerakan bantu kepala bayi tekan ke bawah, sekali gus bantu buka serviks.
- Duduk di atas bola bersalin (birthing ball). Gerakan lembut atas bola boleh bantu posisikan bayi dengan betul.
- Relaks dan tarik nafas dalam-dalam. Tekanan dan panik boleh buat otot tegang, lambatkan bukaan.
- Minum air cukup dan makan ringan. Tenaga penting untuk kekal kuat sepanjang proses.
- Minta urutan lembut di belakang pinggang boleh bantu kurangkan rasa sengal semasa belon masih di tempatnya.
Yang paling penting, jangan stress kalau belon belum jatuh cepat. Kadang-kadang badan perlukan masa untuk bersedia.
Bila serviks dah cukup lembut, belon akan jatuh sendiri tanpa rasa apa-apa pun.
Cara Cepatkan Belon Jatuh
Selain tunggu secara semula jadi, ada juga beberapa cara cepatkan belon jatuh yang ibu boleh cuba (dengan kebenaran doktor, ya):
- Banyak bergerak, elak baring lama. Bila ibu bergerak, tekanan ke serviks meningkat dan bantu belon keluar.
- Gunakan posisi menunggang (all fours) beberapa minit setiap jam. Ia bantu bayi turunkan kepala dan tekan serviks dari dalam.
- Bernafas dalam dan tenang. Stress boleh ganggu hormon oksitosin semula jadi, yang penting untuk buka rahim.
- Elak tahan kencing. Bila pundi kencing penuh, ia boleh tolak rahim ke atas dan ganggu tekanan belon.
Namun, jangan paksa belon jatuh dengan tangan atau benda lain. Itu bahaya dan boleh sebabkan jangkitan!
Serahkan pada tubuh, dia tahu apa yang perlu dibuat.
Apa Yang Akan Jadi Lepas Belon Jatuh?

Bila induce belon dah jatuh, biasanya itu tanda bukaan dah sekitar 3-4 cm. Ibu akan mula rasa kontraksi lebih kerap atau lebih kuat dan doktor akan periksa semula sama ada perlu induce ubat atau tidak.
Kalau kontraksi dah aktif, ibu akan terus masuk ke bilik bersalin. Tapi kalau masih perlahan, doktor mungkin akan sambung dengan drip oxytocin untuk bantu rahim mengecut secara konsisten.
Tak lama lepas tu, bayi akan bersedia untuk keluar dan masa tu lah semua penantian selama 9 bulan berbaloi!
Induce Belon Bukan Menakutkan, Tapi Satu Langkah Bantuan!
Secara ringkas, induce belon ialah cara lembut dan semula jadi untuk bantu rahim bersedia melahirkan.
Ia lebih selamat daripada ubat hormon dan ramai ibu yang berjaya bersalin normal selepas melalui proses ni.
Walaupun ada rasa tidak selesa atau sakit sedikit, induce belon sebenarnya boleh jadi pengalaman yang positif kalau ibu tahu apa yang bakal dilalui.
Yang penting, kekal tenang, percaya pada tubuh, dan ikut arahan doktor.
6 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.