Bila doktor mula sebut pasal induce, mana-mana ibu hamil mesti rasa sedikit gementar. Yalah, orang selalu cakap induce ni sakitnya lain macam. Tapi sebenarnya, prosedur ini dibuat atas sebab keselamatan, sama ada sebab kandungan dah overdue atau ada isu kesihatan lain.
Jom fahami terus apa itu induce dan jenis induce, kenapa ia perlu dan pilihan yang ada supaya ibu rasa lebih bersedia dan tak risau berlebihan.
Apa Maksud Induce Sebenarnya?
Sebelum cerita panjang pasal jenis induce dan tekniknya, kita fahamkan dulu asasnya.
Secara ringkas, induce bermaksud rangsangan bersalin iaitu satu tindakan perubatan untuk bantu mulakan kontraksi rahim bila badan ibu belum menunjukkan tanda nak bersalin sendiri.
Biasanya, doktor akan buat keputusan ini atas beberapa faktor:
- Kandungan terlebih hari: Bila dah melepasi 41 minggu tapi bayi masih selesa di dalam.
- Air ketuban dah pecah: Tapi malangnya kontraksi tak kunjung tiba.
- Komplikasi kesihatan ibu: Contohnya bila timbul masalah darah tinggi atau kencing manis semasa hamil (GDM).
- Keadaan bayi meragukan: Pergerakan semakin berkurang atau ada tanda lemas.
Langkah ini diambil demi keselamatan ibu dan bayi. Cuma kena ingat, keadaan setiap ibu tak sama, jadi prosedur ini memang disesuaikan mengikut keperluan khusus ibu.
Prosedur Bersalin Induce dari Sudut Perubatan

Secara ringkasnya, bersalin induce berlaku apabila pakar perubatan memulakan kontraksi rahim secara tiruan sebelum tubuh ibu bersedia bersalin secara semula jadi. Sebelum memulakan prosedur, penilaian menyeluruh terhadap kesediaan serviks, kedudukan bayi dan tahap kesihatan keseluruhan akan dilakukan.
Di wad bersalin, pemantauan dilakukan secara berterusan. Jantung bayi sentiasa dipantau melalui mesin cardiotocography (CTG) dan pengurusan kesakitan ibu kekal menjadi keutamaan.
Namun begitu, tindak balas setiap ibu terhadap induce tidak sama:
- Masa bukaan: Sesetengah ibu memberi respons pantas seawal beberapa jam, manakala ada yang memerlukan masa melebihi 24 jam.
- Faktor biologi: Keadaan serviks awal, paras hormon dan kedudukan bayi mempengaruhi kelancaran proses ini.
Kenapa Kena Induce?
Soalan ni memang biasa keluar bila doktor cadangkan prosedur ni. Kenapa kena induce kalau boleh tunggu bersalin semula jadi, kan?
Antara sebab utama induce dilakukan ialah:
- Kandungan melepasi tarikh jangkaan (overdue)
Bila kandungan sudah lebih dari 41 minggu, risiko kepada bayi meningkat. Plasenta mungkin tak lagi berfungsi dengan baik, dan oksigen untuk bayi berkurang. - Masalah kesihatan ibu
Jika ibu ada tekanan darah tinggi, diabetes, atau preeklampsia, induce boleh bantu elakkan komplikasi yang lebih serius. - Air ketuban pecah awal tanpa kontraksi
Bila air ketuban pecah tapi tiada tanda bersalin, risiko jangkitan boleh meningkat. Jadi, induce dibuat untuk mempercepatkan kelahiran. - Kandungan tidak menunjukkan pertumbuhan baik
Kadang-kadang bayi terlalu kecil atau aliran darah ke plasenta tak optimum. Dalam kes ini, induce membantu bayi lahir lebih awal dengan selamat.
Jadi bila doktor cadangkan induce, ia bukan keputusan sewenang-wenangnya. Ia dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh untuk keselamatan ibu dan bayi.
Berapa Jenis Induce?

Ramai ibu terkejut bila tahu rupanya ada beberapa jenis induce bersalin, bukan satu sahaja!
Setiap jenis bergantung pada keadaan serviks dan kesesuaian ibu.
Jom kita tengok satu-satu:
1. Jenis Induce Ubat (Vaginal Prostaglandin)
Jenis induce ini melibatkan penggunaan ubat (biasanya dalam bentuk gel atau pessary) yang dimasukkan ke dalam faraj untuk melembutkan serviks dan rangsang kontraksi.
Kelebihannya, ia boleh bantu bukaan rahim berlaku secara semula jadi. Tapi kadang-kadang, ambil masa beberapa jam untuk mula berkesan.
2. Jenis Induce Drip (Oksitosin Drip)
Induce drip pula melibatkan penggunaan hormon oksitosin yang dimasukkan ke dalam badan melalui titisan intravena (IV drip).
Ini antara jenis induce yang paling cepat memberi kesan. Kontraksi boleh mula dalam masa sejam dua selepas drip dimulakan. Tapi, doktor akan pantau rapi sebab kontraksi boleh datang kuat dan kerap.
3. Jenis Induce Belon (Foley Catheter)
Induce belon atau Foley catheter ialah sejenis tiub kecil yang dimasukkan ke serviks, dan di hujungnya ada belon kecil yang diisi air.
Tekanan dari belon tu akan bantu serviks terbuka secara semula jadi.
Biasanya, prosedur ini dilakukan bila serviks masih keras atau belum sedia untuk ubat induce.
Berapa lama induce belon? Jawapannya bergantung pada setiap individu. Ada yang ambil masa beberapa jam, ada juga yang sampai 12-24 jam. Bila bukaan dah capai 3-4cm, belon akan tertolak keluar sendiri, dan proses bersalin akan diteruskan.
4. Pecahkan Air Ketuban (Amniotomy)
Kalau serviks dah terbuka sedikit, doktor boleh bantu dengan memecahkan air ketuban secara manual menggunakan alat khas. Ini juga dikira sebagai salah satu jenis induce, sebab ia bantu badan mula hasilkan kontraksi dengan lebih aktif.
Cara Cepatkan Bukaan Selepas Induce Ubat

Ramai ibu rasa risau sebab selepas induce, kadang-kadang bukaan lambat berlaku. Jadi, apa boleh buat untuk cepatkan bukaan selepas induce ubat?
Berikut beberapa cara semula jadi yang boleh bantu:
- Bergerak aktif. Cuba jalan perlahan-lahan atau duduk di atas gym ball. Gerakan badan bantu bayi turun ke posisi bersalin.
- Posisi menegak. Duduk tegak atau berdiri bantu graviti menekan kepala bayi ke serviks.
- Tarik nafas dan relaks. Bila badan relaks, hormon oksitosin bekerja lebih baik. Jangan lawan kontraksi, tapi cuba kawal dengan pernafasan dalam.
- Ubah posisi secara berkala. Jangan baring statik. Cuba pusing kiri-kanan atau duduk bersila.
- Sokongan emosi. Kadang-kadang stres boleh lambatkan bukaan. Jadi, sokongan pasangan atau doula sangat membantu.
Setiap tubuh berbeza, jadi jangan kecewa kalau bukaan ambil masa. Fokus pada pernafasan dan tenaga untuk melalui fasa-fasa bersalin dengan tenang.
Risiko & Kesan Sampingan Induce
Walaupun jenis induce dibuat atas sebab keselamatan, ia masih ada beberapa risiko kecil seperti:
- Kontraksi terlalu kuat atau kerap.
- Denyutan jantung bayi turun secara tiba-tiba.
- Keperluan untuk pembedahan caesarean meningkat.
Namun, risiko ni sangat jarang berlaku kerana doktor akan pantau setiap langkah dengan teliti.
Apa Kata Ibu-Ibu Yang Dah Lalui Induce Bersalin?
Walaupun prosedur ini nampak menakutkan di atas kertas, namun respon setiap wanita rupa-rupanya sangat berbeza. Bila membaca perkongsian para ibu yang pernah melaluinya di dalam laman Facebook 9 Bulan 10 Hari, pengalaman mereka boleh dibahagikan kepada beberapa keadaan:
- Respons cepat & terus bersalin: Ada ibu yang hanya perlu dimasukkan ubat (ubat selit) sekali sahaja. Bukaan serviks terus membesar dengan pantas dan mampu melahirkan secara normal tanpa perlu menunggu masa yang lama.
- Proses perlahan tapi selamat: Sesetengah kes memerlukan kaedah berperingkat seperti penggunaan belon atau drip, di mana bukaan memakan masa lebih 24 jam. Walaupun kontraksi terasa lebih kuat dan memenatkan, sokongan jururawat dan gabungan kaedah seperti epidural banyak membantu mengawal kesakitan.
- Beralih ke pembedahan kecemasan (c-section): Ada juga situasi di mana bukaan serviks tetap terhenti atau kadar degupan jantung bayi mula menunjukkan tanda lemah. Dalam keadaan ini, doktor akan terus membuat keputusan melakukan czer demi keselamatan bayi.
Apa yang pasti, induce bukan sekadar tentang rasa sakit, tapi proses perubatan yang dipantau rapat mengikut kesesuaian tubuh masing-masing.

Induce Bukan Menakutkan, Tapi Membantu
Jadi, sekarang ni, bila sebut tentang jenis induce, diharapkan ibu-ibu semua tak lagi rasa cemas.
Setiap prosedur bersalin ada tujuannya, iaitu untuk bantu bayi lahir dengan selamat dan kurangkan risiko komplikasi.
Sama ada induce ubat, induce drip atau induce belon, semuanya akan dipantau oleh pasukan perubatan yang berpengalaman.
Yang penting, ibu kekal tenang, faham prosesnya, dan bersedia secara mental serta fizikal.
8 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.