Ramai ibu berpantang ragu-ragu nak mandi, betul tak? Yelah, mak-mak kita selalu pesan, “Jangan mandi lama sangat, nanti masuk angin!” Rasa takut pula bila fikirkan badan nak pakai lama.
Tapi dari sudut perubatan, mandi tu sebenarnya wajib untuk jaga kebersihan, tambah-tambah lagi bila badan melekit dengan peluh lepas bertarung nyawa. Cuma kalau ibu yang bersalin czer, kena ekstra hati-hati sikit. Pastikan kawasan pembedahan dibalut kemas supaya tak kena air secara terus dan elak jangkitan luka.
Mandi ni bukan setakat nak buang bau badan je tau. Dapat kena air suam sekejap pun dah cukup buat otak rasa lapang, badan kembali segar, dan terus ada ‘energy’ nak uruskan bayi baru lahir.
Mandi Selepas Bersalin Di Hospital
Bila dah selamat bersalin kat hospital, benda pertama yang selalu berlegar dalam kepala ibu mesti pasal mandi. Boleh ke terus masuk bilik air?
Secara umumnya, tak kira hospital kerajaan atau swasta, doktor memang benarkan mandi. Malah, jururawat sendiri akan bantu lap atau bersihkan badan bila keadaan ibu dah stabil.
Untuk yang bersalin normal, kalau badan dah rasa kuat dan tak pening, seawal hari pertama dah boleh mandi suam. Tapi bagi ibu bersalin czer, selalunya kena tunggu sekurang-kurangnya 24 jam dan tengok keadaan luka pembedahan dulu.

Kesan Mandi Air Sejuk Selepas Bersalin
Ramai ibu tertanya-tanya, boleh ke mandi dengan air sejuk selepas melahirkan? Walaupun boleh menyegarkan, mandi air sejuk selepas bersalin ada kesannya yang ibu patut tahu.
1. Badan Mudah Masuk Angin
Selepas bersalin, badan ibu masih lemah dan banyak kehilangan tenaga. Kalau mandi dengan air sejuk, badan cepat menggigil dan boleh menyebabkan rasa sejuk sampai ke tulang. Akibatnya, ibu senang rasa sakit sendi, sakit pinggang, atau badan lesu.
2. Risiko Peredaran Darah Terganggu
Air sejuk boleh buat salur darah mengecut. Bagi ibu bersalin, ia mungkin menyebabkan darah nifas tidak keluar dengan lancar. Akhirnya, risiko rahim tidak bersih sepenuhnya jadi lebih tinggi, dan ini boleh ganggu proses pemulihan.
3. Luka Lambat Sembuh
Kalau ibu ada luka episiotomi (jahitan) atau luka czer, mandi air sejuk boleh melambatkan proses pengeringan luka. Luka lebih mudah rasa sakit dan ada risiko tidak sembuh dengan baik.
4. Mudah Rasa Pening dan Lemah
Suhu badan selepas bersalin belum stabil. Bila terkena air sejuk, ibu boleh jadi pening, malah ada yang rasa nak pitam. Ini berbahaya terutamanya kalau mandi seorang diri tanpa ada orang yang temankan.
5. Menggigil dan Tidak Selesa
Walaupun ada yang kata air sejuk buat segar, tapi bagi ibu dalam pantang, ia lebih cenderung menyebabkan rasa tidak selesa. Menggigil selepas mandi boleh ganggu rehat dan tidur ibu.
Hari Ke Berapa Boleh Mandi Selepas Bersalin?
Sebenarnya tak ada angka pasti kena tunggu hari ke berapa baru boleh mandi. Semua bergantung pada tahap tenaga dan jenis persalinan ibu sendiri.
- Bersalin normal: Kalau dah rasa stabil dan tak melayang selepas bersalin normal, seawal hari pertama atau kedua dah boleh bilas badan.
- Bersalin czer: Biasanya doktor bagi green light untuk mandi ringan selepas 24 hingga 48 jam, asalkan balutan luka jenis kalis air.
Paling penting, dengar cakap badan. Kalau rasa diri tu still pening atau lembik sangat, tak payah paksa diri berdiri bawah shower. Lap-lap badan guna tuala suam pun dah cukup selesa untuk hari pertama.

Cara Mandi Lepas Bersalin Yang Betul
Bila nak mandi masa berpantang ni, ada beberapa ‘step’ yang ibu kena buat supaya badan tak terkejut dan luka cepat sembuh.
- Guna air suam: Elak air sejuk sebab boleh buat badan menggigil. Air suam bantu lancarkan aliran darah dan hilangkan lenguh badan.
- Mandi singkat je: Cukup 5 hingga 10 minit. Tak payah lama-lama, nanti cepat masuk angin atau rasa pening.
- Jaga kawasan luka:
- Bersalin normal: Cuci bahagian intim dari depan ke belakang guna air bersih. Tepuk perlahan-lahan guna tuala bersih sampai kering.
- Bersalin czer: Biarkan air lalui kawasan pembedahan tanpa menggosok. Lepas mandi, pastikan keringkan luka tu betul-betul.
- Guna sabun lembut: Cari sabun yang tak ada pewangi kuat atau bahan kimia keras untuk elak iritasi pada luka.
- Keringkan badan terus: Lepas keluar bilik air, terus lap badan sampai kering dan pakai baju panas/stoking supaya badan kekal selesa.
Mandi Selepas Bersalin Czer
Bagi ibu yang bersalin secara pembedahan, mandi lepas bersalin czer perlukan lebih perhatian. Luka di bahagian perut biasanya ambil masa 4 hingga 6 minggu untuk sembuh.
Jadi apa yang ibu perlu buat?
- Jangan gosok kuat kawasan luka, cukup sekadar lap dengan kain lembut.
- Elakkan air menitis terlalu banyak pada luka, lebih baik guna span basah untuk bersihkan badan jika luka masih baru.
- Keringkan perlahan-lahan, guna tisu atau kain lembut dengan cara tekap, bukan gosok.
- Gunakan sabun lembut, elakkan sabun berbau kuat yang boleh iritasi kulit.
- Ikut nasihat doktor. Jika luka bernanah atau ada tanda jangkitan, biasanya doktor akan beri panduan khas.

Pengalaman Mandi Selepas Bersalin Di Hospital
Lepas beranak, ramai ibu dilema perlu mandi ataupun tidak. Menurut perkongsian @ilysyahirah, dia terpaksa mandi air sejuk disebabkan masa tu dekat hospital tiada air suam.
”Bila baca pasal mandi berpantang ni, teringat pengalaman sendiri. Masa siap kemas katil kat wad pukul 9 malam tu, memang rasa nak mandi tapi ralit tengok anak. Sedar-sedar dah azan Subuh.
Walaupun wad ada aircond, badan tetap rasa rimas dan berpeluh. Dah tak tahan sangat, saya capai tuala terus gi mandi. Siap syampu rambut guna air sejuk! Nikmatnya masa tu, tuhan je tahu. Tapi amaran ya, jangan pandai-pandai tiru! Takut badan tak tahan, terus bentan pula.”
”Mama saya pun jenis rimas, tapi masa dia czer dulu dia mandi air suam lepas 10 jam. Saya yang bersalin normal ni je main redah air sejuk (tapi diam-diam je, tak beritahu mama pun!).
Bila terbocor rahsia kat tukang urut, tepuk dahi mak cik tu dibuatnya. Tapi alhamdulillah, anak pun dah nak masuk 9 bulan sekarang. Kami okay je, tak ada pulak masuk angin ke apa.” jelasnya.
Hampir Pitam Ketika Mandi Sendiri
Pengalaman mandi sorang selepas bersalin bagi @maayyra memang tak boleh lupa.
”Jam 8:45 pagi saya gigih ke bilik air dengan jalan berkepit dan menunduk ambil baju dalam beg, padahal kat bawah kena jahit. Saya terpaksa mandi sebab badan berlengas, berpeluh, dan pad dah melimpah sampai lantai penuh darah.
Rasa segan nak minta tolong nurse sebab dah faham ragam diorang sepanjang 4 hari kat hospital. Sekali tengah mandi, tiba-tiba rasa pitam. Nasib baik sempat sedar dan terus duduk dekat kerusi dalam bilik air. Bila fikir balik, memang bahaya dan menakutkan mandi seorang diri dalam keadaan badan yang masih lemah,” kongsinya.
Pantang Larang Mandi Lepas Bersalin
Kalau ikut budaya Melayu, ada banyak petua tentang mandi. Walaupun tidak semua disokong perubatan moden, sebahagiannya masih diamalkan kerana logik dan manfaat tersendiri.
Antara pantang larang mandi lepas bersalin adalah:
- Elakkan mandi malam kerana suhu badan mudah jatuh dan boleh sebabkan ibu menggigil.
- Gunakan air rebusan herba seperti serai wangi, daun pandan, atau limau purut. Air herba ni bukan saja wangi, tapi juga beri rasa segar dan hangat pada badan.
- Jangan terlalu lama dalam bilik mandi sebab ibu berpantang cepat penat, jadi mandi ringkas lebih baik.
- Balut kaki dengan kain atau pakai stokin selepas mandi untuk elak rasa sejuk meresap ke badan.
Petua-petua ni boleh diikut jika rasa sesuai, tapi kalau ada nasihat doktor yang lebih penting, utamakan kesihatan ya.
Bila Waktu Mandi Wajib Selepas Bersalin?
Selain mandi biasa untuk kebersihan, ada juga mandi wajib selepas nifas berhenti. Mandi wajib selepas bersalin dilakukan apabila darah nifas berhenti, biasanya selepas 40 hingga 44 hari, tapi boleh jadi lebih cepat atau lambat bergantung pada individu.
Niat mandi wajib selepas bersalin boleh dilakukan sama seperti mandi wajib biasa. Contoh niat mandi wajib selepas bersalin:
“Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Ta’ala.”
Selepas mandi wajib, ibu boleh kembali menunaikan solat seperti biasa.
Kesimpulan
Ingat ya ibu-ibu, mandi selepas bersalin ni bukanlah benda yang ‘taboo’ atau menakutkan. Malah, ia kunci utama untuk elak jangkitan dan buatkan tubuh lebih segar.
Kunci utamanya cuma satu: buat dengan betul. Gunakan air suam, tak perlu mandi lama-lama, dan paling penting, pastikan kawasan luka terutamanya untuk ibu czer, dikeringkan sepenuhnya selepas mandi. Bila badan bersih, nak jaga si manja pun rasa lebih bersemangat!
Kongsikan artikel ini dengan kawan atau saudara yang sedang berpantang supaya mereka pun tahu cara mandi yang betul selepas bersalin.
7 Sumber Rujukan
Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.
- Your body after the birth
- Why Delaying the First Bath after Birth is a Good Thing
- Your first few days after giving birth
- Caring for Yourself After Delivery
- Your body after the birth (the first 6 weeks)
- Panduan Penjagaan Selepas Bersalin
- Lepas Caesarean: 9 Tabu Yang Sebenarnya OK & 5 Larangan Yang Doktor Jarang Bagitahu
Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.