Bagi ibu yang baru lepas bersalin, isu payudara bengkak susu memang boleh buat emosi terganggu. Bila susu mula ada kat payudara, ada yang sampai mengigil badan dan menangis tahan sakit berdenyut.

Jangan risau, masalah ini sebenarnya perkara biasa dan ada jalan penyelesaiannya. Artikel ini akan kongsikan punca utama payudara membengkak, tanda yang perlu diberi perhatian serta petua selamat untuk cara hilangkan bengkak susu supaya proses penyusuan kembali lancar.

Sebenarnya, Apa Itu Bengkak Susu?

Pernah tak rasa payudara tiba-tiba keras, tegang dan ‘suam’panas’ bila disentuh? Ringkasnya, bengkak susu terjadi bila penghasilan cecair itu melebihi apa yang keluar.

Awal-awal lepas bersalin, kilang badan kita tengah ‘huru-hara’ menyesuaikan kitaran penghasilan susu mengikut keperluan bayi. Bila si comel tak menyusu sampai habis atau jadual perahan terlepas, cecair terperangkap di dalam saluran susu. Lama-kelamaan, kawasan dada mula rasa padat, berdenyut dan disentuh sedikit pun boleh buat ibu ngilu dan sakit.

Masalah ini nampak remeh, tapi kalau diabaikan, ia boleh membawa kepada mastitis atau jangkitan kuman yang memerlukan rawatan antibiotik. Sebab itulah penting untuk ibu cam tanda awal dan tahu langkah melegakannya segera. Ia bukan sahaja demi kelancaran penyusuan, tapi juga kesihatan emosi ibu sendiri.

Punca Bengkak Susu Yang Sering Ibu Terlepas Pandang

cara hilangkan bengkak susu
Punca bengkak susu.

Sebelum cuba pelbagai petua, elok fahamkan dulu apa yang membuatkan saluran payudara tiba-tiba tersekat:

  • Lekapan Bayi Tak ‘Kemas’: Bila posisi latching tak betul, hisapan baby jadi tak efektif. Kesannya, susu tak dapat dikeluarkan habis.
  • Terlepas Sesi Menyusu: Terskip waktu pam sebab sibuk atau sengaja menangguhkan penyusuan akan buatkan susu mula terkumpul dan menyumbat saluran susu.
  • Kuantiti Susu Melimpah: Awal kelahiran, hormon badan tengah melonjak naik sampai pengeluaran susu melebihi apa yang si kecil mampu minum.
  • Baju Dalam Terlalu Ketat: Pemakaian nursing bra yang sempit atau berdawai boleh menekan tisu payudara dan menghalang aliran cecair secara semula jadi.
  • Baki Susu Dibiarkan: Tak mengosongkan payudara sepenuhnya (sama ada menerusi perahan atau terus menyusu) selepas bayi selesai makan.

Kenal Pasti Tanda Bengkak Susu

Sebelum bertindak melegakan sakit akibat bengkak susu, pastikan ibu tahu membezakan antara payudara penuh biasa dengan bengkak yang memerlukan perhatian segera:

  • Tisu Rasa Berketul & Senak: Payudara mula terasa padat, tegang dan berat bila dipegang.
  • Kulit Memerah atau Berkilat: Kawasan dada kelihatan kemerah-merahan dan permukaan kulit ditarik tegang hingga berkilat.
  • Sakit Apabila Disentuh: Rasa berdenyut yang amat sangat walau hanya terkena geseran baju.
  • Badan Mula Rasa Nak Demam: Suhu badan mula memanas atau timbul rasa seram sejuk seperti nak demam.
  • Puting Jadi Leper: Bentuk puting tertarik ke dalam hingga bayi sukar untuk melekap (latching).

Jika tanda-tanda ini sudah mula timbul, jangan tunggu lagi. Ibu perlu segera lakukan rawatan kendiri di rumah sebelum ia melarat menjadi jangkitan yang lebih parah.

8 Cara Hilangkan Bengkak Susu Yang Mudah & Selamat

cara hilangkan bengkak susu
Cara berkesan hilangkan bengkak susu.

Jom kita tengok cara hilangkan bengkak susu yang boleh bantu legakan rasa tak selesa tu. Petua-petua ini bukan saja senang, tapi ramai ibu yang sudah cuba dan berjaya.

1. Menyusu Dengan Kerap & Betul

Kalau boleh, susukan bayi setiap 2-3 jam. Pastikan posisi dan latch baby betul. Dagu baby kena sentuh payudara, bibir terjuih keluar. Apabila baby menyusu dengan betul, susu akan keluar lancar dan tidak terkumpul.

Tips: Mulakan penyusuan dari payudara yang rasa paling bengkak dahulu.

2. Pam Susu Apabila Perlu

Kalau bayi tak habiskan susu atau tidur lama, jangan biar susu berkumpul. Pam guna tangan atau breast pump untuk kosongkan payudara. Ini antara cara hilangkan bengkak susu yang paling cepat.

Pro tip: Jangan pam terlalu lama, cukup untuk rasa lega sahaja. Terlebih pam boleh buat badan hasilkan lebih banyak susu!

3. Gunakan Teknik Urutan Lembut

Tahu tak, ada urutan hilangkan bengkak susu? Ibu boleh lakukan sendiri di rumah atau minta suami tolong.

Caranya, urut perlahan-lahan dari bahagian luar payudara ke arah puting semasa menyusu atau sebelum pam. Ini akan bantu ibu melancarkan aliran susu dan membuka saluran tersumbat.

Bonus: Ibu boleh guna minyak kelapa dara untuk buat urutan rasa lebih selesa.

4. Kompres Sejuk Untuk Kurangkan Bengkak

Letak tuala sejuk atau pek ais dibalut kain dan tekapkan pada payudara selama 10-15 minit. Ini bantu kurangkan radang dan rasa sakit.

Nota: Gunakan kompres sejuk selepas menyusu. Untuk bantu pengaliran susu, boleh guna kompres suam sebelum menyusu.

5. Mandi Air Suam atau Tuam Air Hangat

Air suam boleh bantu buka saluran susu. Semasa mandi, urut payudara perlahan di bawah pancuran air suam. Atau, ibu juga boleh tuam dengan kain hangat sebelum menyusu.

Ini juga cara semula jadi yang berkesan untuk hilangkan bengkak susu.

6. Tukar Posisi Penyusuan

Kadang-kadang baby tak habiskan semua susu sebab posisi penyusuan tak sesuai. Cuba posisi berbeza macam posisi “football hold” atau baring menyusu. Posisi ini bantu kosongkan bahagian tertentu payudara yang mungkin tidak dikeluarkan sepenuhnya.

7. Pakai Bra Yang Selesa & Tak Ketat

Bra yang terlalu ketat boleh menekan payudara dan halang aliran susu. Pilih bra menyusu yang selesa, bernafas dan cukup sokongan. Jangan sesekali pakai wired bra semasa menyusu ya!

8. Rehat & Kekal Terhidrat

Kadang-kadang ibu terlalu sibuk sampai terlupa nak jaga diri sendiri. Minum air secukupnya, makan makanan berkhasiat dan rehat apabila boleh. Badan sihat bantu penghasilan susu yang seimbang dan kurangkan risiko bengkak.

Selain mencuba cara di atas, ibu juga boleh dapatkan ubat bengkak susu di farmasi.

Bila Kena Jumpa Doktor?

Kalau ibu dah cuba pelbagai cara hilangkan bengkak susu tapi masih sakit atau ada tanda jangkitan, cepat-cepatlah berjumpa doktor.

Tanda-tanda bahaya:

  • Demam lebih 38.5°C.
  • Payudara sangat merah dan sakit.
  • Rasa berdenyut kuat.
  • Ada ketulan keras yang tidak hilang.
  • Keluar nanah.

Mungkin itu bukan lagi sekadar bengkak susu, tapi mastitis (ini perlukan rawatan antibiotik).

Cara Hilangkan Bengkak Susu Cara Tradisional Yang Ramai Ibu Kongsi

Selain teknik moden, ada juga petua kampung yang boleh bantu hilangkan bengkak susu. Tapi ibu kena cuba dengan hati-hati dan pastikan sesuai dengan tubuh masing-masing.

Berikut cara hilangkan bengkak susu cara tradisional:

  • Cara hilangkan bengkak susu guna kubis: Simpan daun kubis dalam peti ais, lepas tu tekap pada payudara. Ia dikatakan bantu kurangkan bengkak.
  • Air barli suam: Ramai ibu minum air barli suam untuk bantu pengaliran susu.
  • Daun sirih suam: Ada yang tuam dengan daun sirih yang dilayur atas api, tapi pastikan suhu tak terlalu panas ya!

Ibu Jangan Stres!

cara hilangkan bengkak susu
Ibu jangan stres jika alami masalah bengkak susu.

Bengkak susu bukan saja sakit fizikal, tapi boleh buat kita stres. Apabila stres, hormon susu (oksitosin) pun terganggu.

Jadi, ibu kena cuba bertenang, tarik nafas dan minta bantuan apabila perlu.

Pengalaman Ibu Lain Atasi Bengkak Susu

Bila ibu-ibu di komuniti Kelab Ibu Mengandung Malaysia (KIMM) berkongsi rasa, rupanya bermacam petua yang pernah dicuba mengikut keserasian badan masing-masing. Ada yang lega bila tuam air sejuk dulu untuk redakan rasa berdenyut, kemudian lekapkan daun kubis yang disejukkan dari peti ais sampai layu untuk lembutkan payudara yang bengkak.

Selain petua tradisional, ramai ibu berkongsi pengalaman mengamalkan suplemen Lecithin untuk bantu cairkan gumpalan lemak susu yang tersumbat, diikuti teknik marmet (perah guna tangan) secara perlahan-lahan. Ada juga yang memilih untuk urut lembut di bawah jirusan air suam sewaktu mandi. Kunci utamanya satu sahaja! Jangan biarkan cecair terperangkap terlalu lama tanpa sebarang tindakan.

Jangan Biarkan Bengkak Susu Ganggu Emosi Ibu

Bengkak susu memang menyakitkan, tapi dengan ilmu, teknik betul dan sokongan, insyaAllah ia boleh diatasi. Jangan rasa bersalah kalau ada hari yang ibu rasa tak mampu menyusu. Apa yang penting, kita cuba yang terbaik.

Author

  • nazrah

    Nazrah Nazarudin ialah seorang penulis dan editor berpengalaman lebih 15 tahun dalam bidang kewartawanan, penulisan digital dan penyuntingan. Pernah berkhidmat sebagai Editor Kanan di Hello Doktor selain pengalaman sebagai Penulis/ Editor di majalah Mamapapa dan Wartawan di surat khabar, Sinar Harian. Beliau mahir menyunting artikel perubatan, keibubapaan dan gaya hidup. Berkemahiran menyunting artikel untuk ketepatan fakta, gaya bahasa dan SEO, serta berpengalaman memimpin penulis dan merancang strategi kandungan.

6 Sumber Rujukan

Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

  1. 6 tips to treat breast engorgement while breastfeeding
  2. Breast Engorgement: Care Instructions
  3. Engorged Breasts – avoiding and treating
  4. Engorgement
  5. Treatments for breast engorgement during lactation
  6. Punca Payudara Bengkak dan Cara untuk Melegakan

Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.