Ubat bengkak susu di farmasi selalunya jadi penyelamat bila payudara tiba-tiba keras, berdenyut-denyut, lepas tu penuh sangat. Bukan takat rasa tak selesa, tapi boleh buat ibu stres sebab baby pun mula meragam nak susu.

Bila dah jadi macam ni, nak buat kerja lain pun serba tak kena. Dalam artikel kali ni kami kongsikan pilihan ubat bengkak susu di farmasi serta beberapa tip ekstra untuk kurangkan rasa sakit sebagai panduan anda.

Apa Itu Bengkak Susu?

Bila saluran susu tersumbat atau susu terkumpul terlalu banyak, mulalah payudara rasa tegang dan keras. Situasi inilah yang dipanggil bengkak susu. Selalunya benda ni jadi masa awal-awal fasa menyusu, ataupun bila jadual menyusu baby dah mula tak menentu.

Antara tanda biasa yang ibu-ibu selalu kena:

  • Payudara terasa keras, tegang dan berdenyut sakit
  • Ada rasa ketulan kecil bila sentuh
  • Kawasan kulit nampak kemerahan
  • Susu tersumbat dan susah nak keluar, walaupun bayi dah kerap menyusu

Ramai ibu ingat bengkak susu ni perkara biasa dan tahan saja sakit tu. Tapi sebenarnya, kalau dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh melarat jadi mastitis (jangkitan payudara) yang jauh lebih menyakitkan.

Jenis Ubat Bengkak Susu Di Farmasi

Bila masuk farmasi, ibu sebenarnya ada beberapa pilihan ubat bengkak yang selamat dan selalu diambil oleh ibu menyusu. Antaranya:

  • Paracetamol: Ini ubat tahan sakit paling asas dan selamat untuk ibu menyusu. Bagus kalau ibu mula rasa nak demam. Boleh makan setiap 6–8 jam bila perlu.
  • Ibuprofen: Selain hilangkan sakit, Ibuprofen ni ada kesan antiradang. Jadi ia amat membantu surutkan bengkak pada payudara.
  • Krim / Gel Antiradang: Ada juga farmasi jual gel sapuan. Bila sapu dekat kawasan bengkak (elakkan kawasan puting ya), rasa sejuk tu terus bagi kurangkan ketegangan otot payudara.
  • Suplemen Lecithin: Ramai ahli farmasi syorkan lecithin kapsul ni. Fungsi utamanya membantu cairkan lemak susu supaya saluran tidak tersumbat lagi.

Satu perkara kena ingat, ubat bengkak susu di farmasi ni sekadar nak legakan simptom sakit sahaja. Kalau sakit still tak surut atau makin teruk, jangan tunggu lagi dan segera jumpa doktor.

Cara Hilangkan Bengkak Susu Cara Tradisional

Bila payudara mula rasa tegang dan keras, tak semestinya kena bergantung pada ubat bengkak susu di farmasi semata-mata. Banyak petua tradisional yang mak-mak dulu amalkan sebenarnya sangat membantu nak legakan rasa sakit.

Ini antara 7 cara tradisional yang ibu boleh cuba dekat rumah:

  • Tuam Ais atau Demah Panas: Sebelum menyusu, tuam guna tuala suam untuk melancarkan aliran susu. Lepas dah selesai menyusu, guna tuala sejuk untuk surutkan bengkak dan kurangkan rasa panas.
  • Petua Daun Kubis Sejuk: Ini antara petua paling popular dan berkesan. Ambil daun kubis segar, simpan dalam peti ais kejap, lepas tu lekapkan terus dekat payudara. Bila daun dah mula layu atau tak sejuk, boleh tukar yang baru.
  • Urutan Lembut (Urutan Marmet): Urut secara perlahan dari bahagian atas payudara mengarah ke puting. Boleh guna sedikit minyak kelapa dara atau minyak zaitun. Lakukan urutan ni masa mandi air hangat supaya otot lebih rileks.
  • Perah Susu Secara Manual: Kalau bayi sukar nak latch sebab payudara terlalu keras, cuba perah sikit guna tangan dulu. Bila payudara dah lembut sikit, baru senang bayi menyusu dengan betul.
  • Daun Sirih Warm Compress: Layurkan beberapa helai daun sirih atas api kecil sekejap. Kemudian lekapkan pada payudara untuk bantu mengurangkan rasa sengal dan bengkak.
  • Kerap Susukan Bayi: Petua paling mudah sebenarnya adalah menyusu bayi sekerap yang boleh, selalunya setiap 2 ke 3 jam. Biar bayi habiskan sebelah payudara dulu sebelum tukar ke sebelah lagi.
  • Mandian Air Hangat: Biarkan pancuran air hangat mengalir ke atas bahu dan belakang badan. Rasa tenang tu bantu merangsang hormon oxytocin untuk melepaskan aliran susu secara semula jadi.

Satu petua ekstra yang ibu boleh amalkan adalah dengan pakai bra penyusuan yang tak terlalu ketat sebab dawai bra pun boleh menyumbang pada masalah saluran susu tersumbat.

    ubat bengkak susu di farmasi
    Cara keringkan susu badan dengan cepat mengambil masa beberapa hari.

    Urutan Bengkak Susu

    Urutan bengkak susu sebenarnya untuk melancarkan aliran yang tersumbat dan melegakan ketegangan, bukan diurut secara kasar atau ditekan terlalu kuat.

    Urutan terlalu kuat boleh menyebabkan tisu payudara semakin cedera atau bengkak. Berikut adalah langkah urutan bengkak susu yang betul untuk ibu menyusu:

    • Persiapan Awal: Sebelum mula mengurut, letakkan tuala suam pada payudara selama 3 hingga 5 minit. Suhu suam membantu membesarkan saluran susu dan melancarkan aliran. Ibu juga boleh guna sedikit minyak kelapa dara atau minyak zaitun dekat tangan supaya geseran tak melukakan kulit.
    • Guna Hujung Jari (Gerakan Membulat): Gunakan 2-3 jari, buat gerakan membulat secara perlahan di sekeliling kawasan payudara. Mulakan dari bahagian atas payudara (berdekatan tulang dada/ ketiak) dan gerak perlahan-lahan mengikut pusaran menuju ke kawasan areola (bulatan hitam payudara).
    • Usapan Ringan (Light Strokes): Gunakan tapak tangan atau sebelah tepi tangan, usap payudara secara lembut dari bahagian pangkal menuju ke arah puting. Bayangkan macam ibu tengah ‘mengarahkan’ susu keluar.
    • Fokus Pada Bahagian Keras: Jika terasa ada kawasan yang keras atau berketul, tekan secara lembut dengan hujung jari dan buat urutan membulat secara perlahan di situ. Elakkan menekan sehingga rasa terlalu sakit.
    • Teknik Marmet (Perah Guna Tangan): Selepas diurut, payudara biasanya akan mula lembut sedikit. Gunakan ibu jari dan jari telunjuk (membentuk huruf ‘C’ di belakang areola), tekan ke arah dinding dada dan picit secara perlahan untuk mengeluarkan sisa susu yang tersumbat.
    • Selesaikan Dengan Tuam Sejuk: Bila dah selesai mengurut dan menyusukan bayi (atau memerah susu), lapkan minyak dan tekapkan ice pack atau tuala sejuk selama 10-15 minit untuk surutkan bengkak serta kurangkan denyutan sakit.

    Pengalaman Bengkak Susu

    Bersalin anak pertama penuh dengan cabaran kerana tiada pengalaman dalam menguruskan diri sepanjang tempoh berpantang. Bayangkan pada minggu pertama kena tahan sakit luka bersalin, jaga bayi baru lahir dan juga menyusukan anak.

    Pengalaman saya pada beberapa tahun lepas, saya tidak tahu ada masalah bengkak susu sehinggalah ada ketulan besar di bawah ketiak.

    Dengan bantuan ibu dan kakak, mereka telah buat urutan bengkak susu. Pada mulanya saya terpaksa korbankan perasaan malu. Dalam beberapa minit selepas urutan pada ketulan bengkak dekat payudara, saya dapat rasa ada percikan susu badan keluar. Kemudian saya buat teknik perahan untuk mengosongkan payudara. Perasaan ketika itu terlalu lega.

    Saya juga belajar untuk pegang dan susukan bayi dengan betul. Tapi proses penyusuan kali pertama ni bagi saya sangat sakit, puting melecet dan pedih. Setiap kali saya berdepan masalah ni, saya akan sapu nipple cream. Lama-kelamaan saya dah terbiasa dan syukur dapat menyusu hingga anak 2 tahun.

    Cara Keringkan Susu Badan Dengan Cepat

    Ada banyak sebab kenapa ibu nak hentikan penyusuan. Antaranya kerana bayi dah besar, ibu perlu kembali bekerja, atau faktor kesihatan tertentu.

    Proses mengeringkan susu badan (atau weaning) sebaiknya dilakukan secara bertahap supaya tak menderita sakit bengkak susu atau risiko mastitis.

    Ini antara cara yang biasa diamalkan:

    • Tuam Sejuk (Cold Compress): Gunakan ice pack atau tuala sejuk yang dibalut dan tekap dekat payudara selama 15-20 minit beberapa kali sehari. Suhu sejuk membantu mengecilkan salur darah, mengurangkan bengkak, dan secara tak langsung memperlahankan penghasilan susu.
    • Petua Daun Kubis Sejuk: Cuci bersih daun kubis segar, simpan dalam peti ais, lepas tu lekapkan terus pada payudara. Tukar bila daun dah layu atau hilang sejuknya. Cara ni popular untuk melegakan ketidakselesaan serta membantu surutkan penghasilan susu.
    • Minum Teh Peppermint atau Sage: Sesetengah herba seperti sage dan peppermint mengandungi sebatian semula jadi yang dipercayai boleh menurunkan paras hormon prolaktin . Ibu boleh cuba minum teh herba ini 1-2 cawan sehari.
    • Perah Sedikit Sahaja: Bila payudara rasa terlalu penuh dan sakit, jangan perah sampai kosong. Prinsip penyusuan adalah demand and supply. Lagi banyak dikosongkan, lagi banyak badan hasilkan susu. Cukup sekadar perah sedikit guna tangan atau pam untuk kurangkan ketegangan supaya tak bengkak.
    • Gunakan Bra Yang Selesa: Pakai bra yang selesa dan menyokong payudara dengan baik. Elakkan merangsang kawasan puting, termasuk elak pancuran air panas terus ke dada semasa mandi.
    • Ubat Tahan Sakit: Ibu boleh ambil ubat tahan sakit dan antiradang seperti Ibuprofen atau Paracetamol atas nasihat doktor atau ahli farmasi untuk kawal rasa sakit dan denyutan sepanjang proses ini.
    • Ubat Pengering Susu (Atas Preskripsi Doktor): Kalau keadaan memerlukan susu dikeringkan dengan serta-merta, jumpa doktor untuk dapatkan ubat khas (seperti cabergoline atau bromocriptine). Ubat ini berfungsi menghentikan hormon prolaktin, tetapi wajib mengambilnya bawah pemantauan perubatan sahaja.

    Kesimpulan

    Sakit bengkak susu memang boleh buat ibu rasa serba tak kena, tapi sebenarnya ada banyak cara nak legakannya. Ubat bengkak susu di farmasi macam Paracetamol, Ibuprofen, gel sejuk, dan kapsul Lecithin dekat farmasi memang banyak membantu kurangkan rasa tegang dan berdenyut tu.

    Tapi, jangan lupa gandingkan sekali dengan petua dekat rumah. Rajin tuam, buat urutan lembut, dan teruskan menyusu sekerap mungkin.

    Bila ibu sihat dan tenang, barulah perjalanan penyusuan baby jadi lebih lancar. Kalau sakit masih tak kebah atau mula ada tanda jangkitan, terus jumpa doktor ya. Jangan lupa share artikel ini untuk bantu ibu-ibu lain.

    Author

    • Siti Nur Zuraikha Yaacob

      Hi! I’m a digital content writer who specialises in motherhood, baby health, and family topics. I graduated with a Bachelor of Communication from UPM Serdang and started writing in 2015 as a part-time contributor for an entrepreneurship website.

      In 2018, I gained newsroom experience as a lifestyle intern journalist at Utusan Malaysia, and in 2019, I continued writing for theAsianparent Malaysia, focusing on parenting and maternal health content. As of August 2025, I write for bukupink.my, creating friendly, factual, and well-researched articles for Malaysian parents.

      My goal is simple: to share clear, reliable, and reader-friendly information that helps families make confident decisions.

    7 Sumber Rujukan

    Buku Pink hanya menggunakan sumber berkualiti tinggi untuk menyokong setiap fakta dalam artikel kami. Baca Proses Editorial Kami untuk mengetahui cara kami menyemak fakta dan memastikan kandungan tepat serta boleh dipercayai.

    1. Breast Engorgement
    2. Breast pain and breastfeeding
    3. Engorgement
    4. Breast Engorgement
    5. Breast engorgement
    6. Punca Payudara Bengkak dan Cara untuk Melegakan
    7. Mastitis Semasa Penyusuan Susu Ibu

    Buku Pink menyediakan maklumat umum untuk ibu dan bayi. Ia bukan pengganti nasihat perubatan profesional — sila rujuk doktor atau klinik kesihatan anda untuk keadaan tertentu.